Sendawakan bayi ialah satu kewajipan setiap kali selepas penyusuan walau pun ia mengambil masa dan bayi susah disendawakan.
Ada segelintir tidak mempedulikan kepentingan sendawa pada bayi. Jangan culas untuk sendawakan bayi walaupun bayi sudah tertidur selepas menyusu. Biasanya bayi baru lahir akan mudah tertidur selepas penyusuan. Walaupun bayi tidur, anda perlu sendawa bayi setiap kali penyusuan iaitu secara terus daripada payudara, menggunakan botol atau minum dengan cawan kecil.
TUJUAN BAYI DISENDAWAKAN
a)ELAK KEMBUNG PERUT
Sendawa penting untuk mengelak bayi kembung atau kolik. Ia bertujuan untuk mengeluarkan udara yang masuk ke dalam perut bayi semasa bayi menyusu atau menangis. Sekiranya bayi tidak disendawakan, udara akan terkumpul di dalam perut dan bayi akan berasa tidak selesa.
Tindakan sendawakan bayi boleh mengurangkan risiko berlakunya kolik. Walau pun kembung perut boleh dirawat, tapi langkah mengelakkannya dari awal adalah lebih baik. Tambahan pula, bahaya jika bayi dibiarkan menangis terlalu lama kerana ia mungkin akan mengundang risiko sawan tangis. Bayi juga akan keletihan dan tidak cukup tidur. Malah, mama papa juga akan keletihan setelah berjaga malam untuk meredakan tangisan anak.
b)BANTU BAYI TIDUR NYENYAK
Apabila angin dapat dikeluarkan, bayi lebih selesa dan tenang. Ini secara tidak langsung akan membantu mereka tidur lebih nyenyak.
c)BAYI LEBIH CERIA DAN AKTIF
Bayangkan jika diri anda mengalami kembung perut dan sebu, tentu ia tidak menyeronokkan. Begitu juga keadaan si kecil jika tidak disendawakan. Mereka akan menangis, meragam dan tidak selesa. Dengan menyendawakan, bayi lebih ceria, selesa dan aktif. Maka dia boleh bermain dan melalui perkembangan yang baik seiring usianya.
4 CARA SENDAWAKAN BAYI
Untuk sendawakan bayi, adakalanya mama dan papa perlukan kesabaran. Ini kerana ada sesetengah bayi mengambil masa agak lama untuk mengeluarkan ‘udara’ yang terperangkap. Jadi anda perlu menggunakan beberapa teknik untuk sendawa bayi anda. Lakukan dengan kesabaran untuk semua teknik ini sehingga bayi anda sendawa.
1.SANDAR PADA BAHU
Cuba dukung bayi menggunakan sebelah tangan dan meletakkan kepala bayi bersandar pada bahu anda. Tepuk belakangnya perlahan-lahan dengan sebelah tangan lagi sehingga bayi sendawa. Posisi ini dilakukan secara berdiri atau duduk di kerusi. Bagi mungkin akan jeluak atau termuntah susu, jadi jangan lupa alas bahu anda dengan sapu tangan kecil.
2.DUDUK
Bayi duduk secara posisi tepi atas riba dan tepuk lembut bahagian belakangnya. Dudukan bayi pada salah satu belah paha anda (kiri atau kanan)dengan membongkokkan sedikit badan bayi. Tahan dadanya dengan tangan anda. Hati-hati kerana mungkin ia akan membuatkan bayi muntah jika tersalah pegang. Kemudian sebelah tangan lagi untuk usap belakang bayi perlahan-lahan. Cara ini dikatakan bayi mudah sendawa.
3.MENIARAP
Pegang dan baringkan bayi secara meniarap atas perutnya dengan posisi melintang dengan kedudukannya atas paha anda. Pegang bahagian dada bayi dengan sebelah tangan. Pastikan kedudukan kepala bayi sedikit tinggi daripada badannya. Sebelah tangan lagi, perlahan-lahan menepuk belakang bayi atau urut pun boleh dalam cara usap naik dan turun.
4.DUKUNG
Pelbagai posisi sudah dicuba tapi belum berjaya untuk buat bayi sendawa. Mungkin anda boleh dukung bayi dan rapatkan pada dada. Hanya perlu dukung bayi dan goyang-goyangkan badan kita kanan ke kiri akan membuatkan bayi sendawa sendiri. Sambil itu, anda boleh usap bahagian belakang bayi dengan berjalan-jalan di sekitar rumah anda.