Susu ibu merupakan makanan utama buat bayi yang berumur 6 bulan dan ke bawah. Bayi yang seusia tersebut tidak memerlukan makanan lain untuk membesar dengan sihat. Namun ada juga di kalangan masyarakat kita yang percaya bahawa pemberian air kanji pada usia bayi akan membuatkan bayi cepat kenyang.
Dalam satu perkongsian yang dibuat oleh Dr. Imelda Balchin, Pakar Kesihatan Ibu Hamil & Janin yang cukup terkenal menjelaskan bahawa hidangan tersebut sebenarnya tidak sesuai diberikan kepada bayi.
Menurutnya, air kanji hanya mengandungi karbohidrat semata-mata dan tidak mengandungi protin yang mana ia penting untuk tumbesaran seorang bayi.
Tambahnya lagi, tanpa protin yang cukup, hati bayi berisiko untuk tidak berfungsi dengan baik dan kadar penghasilan sejenis protin (albumin) oleh organ tersebut turut berkurangan.
Secara tidak langsung ia boleh menyebabkan kwashiorkor iaitu keadaan di mana perut bayi menjadi kembung dan bahagian otak boleh terjejas. Tumbesaran bayi juga boleh terbantut.
Untuk bayi yang berusia 6 bulan dan ke bawah
Kwashiorkor.
Semalam saya sudah sampaikan ilmu pengetahuan kenapa jangan bagi bayi di bawah umur 6 bulan minum air kanji.
Saya sudah berikan penjelasan bahawa kanji itu hanya mengenyangkan bayi dengan karbohidrat dan tiada protin. Apa yang bayi perlukan ialah protin susu ibu untuk membesar. Jika kekurangan protin, pembesarannya boleh terbantut.
Jika bayi hanya dikenyangkan dengan kanji dan tidak diberi susu ibu, kekurangan protin yang serious bukan hanya menyebabkan pembesarannya terbantut tetapi akibat yang lebih serious ialah penyakit kwashiorkor.
Inilah bayi yang ada penyakit kwashiorkor. Perutnya kembung. Kenapa kembung?
Sebabnya yang pertama ialah, tanpa cukup protin, fungsi hatinya merosot dan hatinya menjadi bengkak. Sebabnya yang kedua ialah, salah satu fungsi hati ialah membuat sejenis protin yang dinamakan albumin. Tanpa protin dalam pemakanan bayi ini, kandungan albumin dalam darah berkurangan. Albumin ini diperlukan untuk menarik air di dalam darah. Jika kekurangan albumin dalam darahnya maka air dalam saluran darah akan meresap keluar dan berkumpul di bahagian badan yang lain. Sebab inilah bahagian abdomennya bengkak dengan air, pembesaran terbantut dan boleh mendapat kerosakan otak.
Masalah kwashiorkor ini masih lagi kita lihat di kalangan bayi di benua Afrika dan beberapa negara miskin di Asia, dimana ibu tidak memberi susu ibu kepada bayi dan mengenyangkan bayi dengan hanya kanji .
Jadi, janganlah tuduh susu ibu menyebabkan perut bayi kembung. Jangan menakutkan ibu-ibu yang menyusukan bayi dan tuduh apa ibu makan menjadi penyebab perut bayi kembung melalui susunya. Sebaliknya TIADA yang lebih baik dari susu ibu dan kita mesti terus memberi galakan positif kepada ibu-ibu yang berusaha menyusukan bayinya tanpa tuduh ibu macam-macam.
Kesimpulannya susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi yang berusia 6 tahun ke bawah. untuk ibu-ibu yang menyusukan bayi anda dengan susu ibu sepenuhnya, tahniah diucapkan. Bagi ibu-ibu yang lain jangan putus asa dan teruskan memberi susu ibu buat si kecil anda. Semoga anak-anak anda semua membesar dengan sihat dan baik.
Sumber: Imelda Balchin
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI