Mesti ramai ibu bapa tak suka kalau ada orang banding-bandingkan anak kita dengan anak orang lain. Kononnya umur sebaya tapi kenapa yang si A tak pandai jalan lagi tapi si B dah laju berjalan. Perlu diingat setiap kanak-kanak adalah berbeza tahap perkembangannya walaupun umur mereka sebaya.
Jangan juga bandingkan tahap perkembangan anak sulung dan anak kedua. Ibu bapa perlu ada ilmu untuk memahami tahap perkembangan setiap anak ya.
Fahamkan penerangan tentang tahap perkembangan kanak-kanak seperti dikongsi oleh saudara Hazhari Ismail, Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan & Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Memahami Tahap Perkembangan Kanak-kanak (Developmental Milestone)
Dari peringkat sebelum kelahiran sehinggalah dewasa, manusia akan undergo pelbagai perkembangan. Lazimnya, proses perkembangan di peringkat kanak-kanak adalah tempoh yang kritikal kerana tempoh ini perkembangan yang pesat sedang berlaku.
Jadi, apabila bercakap tentang tahap perkembangan kanak-kanak, ia merujuk kepada apakah tahap perkembangan yang boleh dicapai pada peringkat dan umur-umur tertentu. Ia mencakupi semua bidang perkembangan seperti fizikal, sosioemosi dan kognitif.
Jadi kenapa memahami Developmental Milestone ini penting terutama untuk kanak-kanak?
Contohnya dalam perkembangan fizikal, di antara umur 9 hingga 15 bulan kanak-kanak sudah mampu untuk berdiri, malah boleh berlari. Julat umur ini ditetapkan berdasarkan perkembangan kanak-kanak yang AVERAGE.
Kalau sehingga umur 18 bulan pun kanak-kanak itu tidak bermula belajar untuk berjalan, maka ibu bapa perlu berjumpa dengan doktor dan pakar terapi untuk maklumkan kelewatan tersebut. Jika tidak, ia akan mengganggu perkembangan yang seterusnya yang lain.
Walaubagaimanapun, perkembangan manusia ini adalah UNIK. Perkembangan kanak-kanak itu unik. Semua kanak-kanak tidak akan mencapai tahap perkembangan dalam masa yang sama. Ada yang cepat, ada juga yang sedikit lambat, walaupun umur yang sama. Maka, ia tidak bermaksud kita boleh sewenang-wenangnya untuk menghukum si kecil itu genius dan yang lambat itu ‘special’.
Inilah yang dinamakan INDIVIDUAL DIFFERENCES yang wujud dalam proses perkembangan. Yang mana faktornya boleh jadi pelbagai, dari genetik, jantina sampailah perbezaan persekitaran, ia mampu menyumbang ke arah perbezaan individu ini.
Proses perkembangan kanak-kanak bersifat berterusan dan berkait. Contohnya, untuk kanak-kanak itu berjaya berdiri, mereka perlu melalui merangkak dan duduk, kemudian baru berdiri. Mereka perlu melalui semua proses ini. Macam nak naik tangga, kita tak boleh nak skip tangga-tangga tertentu untuk sampai ke atas.
Tahap perkembangan kanak-kanak ini selalunya disandarkan dengan julat umur. Contoh saya bagi tadi umur 9-15 bulan, kanak-kanak dah mula untuk berjalan. Maka, di antara tempoh julat ini, mereka akan mula untuk berjalan, yang mana boleh jadi seawal 9 bulan atau selewat 15 bulan. Ia normal.
Julat umur untuk peringkat bayi, toddlers dan kanak-kanak ini pula beza rangenya.
Untuk peringkat bayi, perkembangan berlaku dengan pantas. Ia boleh dibezakan mengikut bulan. 3 bulan bayi dan 6 bulan bayi banyak bezanya dalam aspek perkembangan. Begitu juga dengan 12 bulan bayi atau 18 bulan.
Tapi, untuk peringkat kanak-kanak, julat umur mereka pula mengikut tahun. 4 tahun berbeza dengan 5 tahun atau 6 tahun. Sebab perkembangan di peringkat ini tidak sepantas perkembangan ketika bayi.
Boleh jadi juga, berlaku overlap development seperti julat milestone ditetapkan 3-4 tahun, 4-5 tahun, dan 5-6 tahun. Ia boleh berlaku kerana contohnya bulan kelahiran di awal dan hujung tahun yang memberikan perbezaan yang signifikan kepada tumbesaran mereka.
Ibu bapa akan ada tendecy untuk membanding-bezakan anak yang kedua dan yang sulong. Abang cepat sikit bercakap, si adik lambat sikit bercakap. Si kakak tumbuh gigi awal, si adik lambat tumbuh gigi.
Guru dan pengasuh ada kebarangkalian untuk membanding anak muridnya di dalam kelas. Si A dah berjaya menulis, Si B nak pengang pensel pun masih tidak boleh. Si A dah membaca sampai buku 6, yang mana Si B pula Buku 1 pun masih merangkak.
Akan wujud ibu bapa yang terlalu ambitious untuk memastikan anak-anak mereka terkehadapan. Anak baru umur 3 tahun, sudah mula membelek milestones untuk 6 tahun. Itu kalau ibu bapa yang terlebih advanced in a negative way.
Ada ibu bapa yang tidak peduli tentang milestone ini, asalkan mengikut trends. Maka, dimangsakan anak-anak mereka untuk mencapai kehendak masyarakat.
Normal bagi pandangan masyarakat dan jiran tetangga, tidak semestinya normal dari kaca mata proses perkembangan kanak-kanak yang sebenar.
Kanak-kanak bukan robot. Jika ia gagal berfungsi, maka kita kata robot itu rosak. Robot tiada emosi. Tetapi tidak untuk manusia. Kita perlu bertoleransi dengan sifat perkembangan mereka.
Maka, memahami tahap perkembangan ini penting dan boleh dijadikan sebagai garis panduan kepada ibu bapa, guru dan profesional yang terlibat dalam perkembangan kanak-kanak.
Jika ada anak-anak terlalu lambat dari tahap perkembangan, intervensi awal boleh dilakukan supaya masalah-masalah perkembangan yang berpontesi untuk berlaku boleh kita elakkan, dikurangkan, atau dibuang jauh-jauh.
Tapi, dengan ilmu ya. Bukan dengan cakap-cakap orang.
Sumber: Hazhari Ismail