
Bila anak mengadu sakit telinga, ibu bapa kena ambil berat. Mungkin bagi anak kecil mereka tak boleh nak beritahu secara terus tetapi ibu bapa kena peka dengan ketidakselesaan yang ditunjukkan anak.
Menurut Doktor Telinga, Hidung dan Tekak jangkitan telinga sangat berbahaya jika tidak diberi rawatan awal. Jangan dibiar jika anak anda mengadu sakit telinga, keluar cecair kuning, nanah, darah atau apa-apa yang tidak normal. Tahukah anda bahawa komplikasi akibat jangkitan pada dalam telinga berpotensi untuk mengancam nyawa?
Jangan dibuat main!
Struktur telinga kita sebenarnya bersambung dengan hidung, tekak dan juga ada sambungan dengan rongga-rongga sekitar seperti rongga mastoid dan sebagainya.
Jika jangkitan pada telinga tidak dikawal pada peringkat awal, ia boleh merebak ke kawasan-kawasan yang saya sebutkan ini. Masalah lain dan lebih serius boleh berlaku.
Mastoiditis merupakan jangkitan yang berlaku pada kaviti mastoid yang terletak di bahagian belakang telinga. Ia merebak dari telinga tengah untuk membentuk abses atau nanah di ruang udara mastoid tulang temporal.
Pesakit yang mengalami mastoiditis kebiasaannya akan mengalami gejala klinikal dan sistematik yang sangat tidak sihat.
Jadi, apa simptom dan gejala pesakit yang mengalami mastoiditis ini? Macam mana nak tahu?
Pesakit yang mengalami mastoiditis akan dilihat septik: iaitu demam, lemah dan lesu. Kanak-kanak akan menjadi tidak selesa, kerap menangis dan tidak akan makan serta minum. Pesakit akan mempunyai tanda dan gejala dari jangkitan telinga yang lebih teruk. Akan ada tanda kemerah-merahan dan sakit serta bengkak yang signifikan di belakang telinga.
Adakah mastoiditis ini akan berhenti setakat itu sahaja? Jawapannya Tidak.
Mastoiditis boleh merebak lagi jauh ke dalam sel-sel udara untuk membentuk abses atau nanah subperiosteal dan kawasan-kawasan sekitarnya!
Oleh itu, jika anak-anak anda ada mengalami dan mengadu sakit telinga, disertai demam, ada cecair keluar dari telinga, sakit juga di bahagian belakang telinga, jangan tunggu lagi. Bawa jumpa doktor untuk pemeriksaan. Pemeriksaan menyeluruh dan terperinci akan berjaya mengenalpasti masalah anak anda, walaupun untuk sesetengah kes agak sukar untuk mendiagnos pesakit pada peringkat awal.
Sumber: Dr. Ezairy M.Sallih
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ini Sebab Anak Kena Ada ‘Peneman’ Bila Mak Ayah Tiada Di Sisi, Tapi Jangan Sampai Jadi Punca Sakit!

Anak ada bantal atau patung untuk teman tidur itu mungkin perkara biasa. Tapi pernah atau tidak kita terfikir kenapa si kecil membutuhkan barangan sedemikian?
Perkongsian oleh Dr Redza Zainol tentang mengapa si kecil memilih untuk ada peneman bersama tatkala ditinggalkan oleh ibu ayah di rumah pengasuh atau sebagainya mungkin menjadi jawapan kepada persoalan tersebut.
Tapi kadang sampai tak lalu nak tengok bantal atau patung yang ada sebab tak pernah dibasuh. Alasannya kalau basuh anak-anak akan mengamuk dan menangis.
Tak salah kalau anak-anak nak ada bantal busuk atau patung mereka sendiri, tapi ibu ayah sendiri kena ajar mereka untuk menjaga barangan kesayangan dan bukan membiarkan sahaja warna bantal bertukar dan bercapuk. Paling penting kena selalu basuh barulah kesihatan anak-anak juga akan lebih terjamin.
ikuti perkongsian beliau:
“Pernah basuh bantal ni?” saya tunjuk pada bantal yang si kecil tengah peluk.
Maknya geleng saja.
Warna bantal tu coklat dan bercapuk. Boleh jadi dah bertahun tak dibasuh. Tak berani saya nak datang dekat, takut tak lalu nak makan malam pula.
Kalau macam ni gayanya, patutlah anaknya asyik masuk ke wad sebab demam dan batuk. Bantal tu dah jadi sarang bakteria.
Selalu juga saya nasihat mak ayah, tak salah nak ada bantal atau selimut busuk. Cuma kenalah basuh selalu.
1. Bantal busuk selalunya mula ada sejak usia 8-12 bulan.
2️. Hanya bersifat sementara.
️3. Kanak-kanak boleh mula berenggang dengan “bantal busuk” pada usia 2-5 tahun.
Bila anak asyik berjauhan dengan mak ayah, si kecil tu sebenarnya rasa tak selesa dan gelisah. Bukan tu je, dia juga akan rasa tertekan bila dijaga oleh penjaga baru selama beberapa jam setiap hari di tempat baru.
Ada 1 kajian dibuat, si kecil usia 3 tahun yang diletak di rumah pengasuh selama seharian akan cenderung untuk ada bantal/ selimut/ patung busuk berbanding mereka yang cuma pergi selama separuh hari.
Bantal busuk ni sebenarnya mereka gunakan untuk kurangkan rasa tak selamat bila asyik berjauhan dari mak dan ayah.
Bila dapat peluk dan pegang bantal busuk, terus rasa tenang, selesa dan selamat.
Kalau anak dah umur 5 tahun dan masih tak boleh berpisah dengan bantal/ patung/ selimut busuk, boleh cuba 5 cara ni:
1. Peluklah anak dan beri perhatian setiap hari, supaya anak tak bergantung kepada “bantal busuk” sahaja untuk dapat ketenangan.
2. Tetapkan had.
Contoh:
“Harini kita tinggalkan Teddy kt rumah ye, kalau bawak keluar nanti Teddy kotor..”
3. Minta anak tolong jaga “bantal busuk”.
Contoh:
“Teddy pon kena mandi barulah wangi macam adik..”
4. Jangan melekehkan “bantal busuk” anak.
5. Jangan paksa anak tinggalkan “bantal busuk”nya jika dia belum bersedia.
Bantu saya #sebarkan ilmu ni pada mak ayah yang lain.
Sumber: Redza Zainol
Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Rangsang Kepintaran Anak Bukan Tahu Membaca Aje Tetapi Biarkan Anak-Anak Melukis Dan Mewarna. Ini Sebabnya Ibu Ayah Mesti Tahu

Jika anak itu, tidak minat membaca lagi, ibu ayah boleh rangsang kepintaran anak dengan cara melukis dan mewarna. Secara rawak ramai ibu bapa risau jika anak tidak tahu membaca dan menulis. Betulkan? Memang betul anak-anak perlu tahu semua ini sebelum melangkah ke sekolah rendah. Namun harus diingat anak-anak perkembangan setiap anak berbeza-beza. Jika anak itu, tidak minat membaca lagi, ibu ayah boleh rangsang kepintaran anak dengan cara melukis dan mewarna.
Ya betul! Hampir kebanyakan kanak-kanak suka melukis dan mewarna. Banyak kebaikan mewarna kepada kanak-kanak. Apabila kanak-kanak melukis, mereka belajar cara berkomunikasi menggunakan simbol. Kereta yang dilukis oleh anak kecil mungkin tidak menyerupai kereta sebenar jika dilihat dari sudut pandangan orang dewasa, tetapi sebenarnya mereka belajar cara berkomunikasi idea dan perasaannya.
Melakar dan mewarna halaman kertas yang dilakukan oleh kanak-kanak melibatkan aktiviti penyelesaian masalah. Menerusi lakaran dapat membantu kanak-kanak menjadi lebih peka terhadap persekitaran fizikal. Mereka belajar tentang bentuk, saiz dan warna.
Ingat kanak-kanak melukis berdasarkan apa yang dilihat menerusi pemikirannya bukan berdasarkan pemerhatian tentang persekitarnya. Kanak-kanak tidak menitik beratkan sesuatu yang dilihatnya. Kanak-kanak kecil keupayaannya tidak sama seperti mana kanak-kanak yang lebih berusia atau orang dewasa melukis tentang sesuatu untuk kelihatan menyerupai objek sebenar.
Ibu bapa dan orang dewasa perlu memahami peringkat perkembangan lukisan kanak-kanak. Menerusi kefahaman tahap perkembangan kanak-kanak melukis dan melakar kita tidak akan merasa atau menilai lukisan atau lakaran yang dihasilkan itu tidak memberi makna atau keindahan. Sebaliknya kita akan memahami perkembangan anak dan maklumat yang ingin disampaikan menerusi idea spontan.
Lakaran Lukisan Mengikut Tahap Umur
Setiap apa yang anak-anak lukis itu ada maknanya mengikut tahap usianya. Bagi peringkat pertama semasa kanak-kanak berumur 2 hingga 3 tahun lakaran atau lukisan lebih kepada lakaran rawak yang merupakan tanda awal kanak-kanak secara universal. Tanpa mengira bangsa, budaya dan kelas kehidupan semua kanak-kanak melalui tahap lakaran rawak. Mereka mencuba menggunakan pelbagai alat untuk melakar dan meninggalkan kesan tanda pada kertas. Pada perkingkat ini kanak-kanak merasa seronok meneroka dan membuat penemuan. Jangka masa peringkat ini bergantung kepada galakkan dan dorongan orang dewasa, kesihatan kanak-kanak, pertumbuhan otot, koordinasi, intelegen dan kuantiti dan kekerapan peluang untuk melakukan lakaran rawak.
Peringkat kedua usia kanak-kanak antara 2 tahun hingga 4 tahun peringkat ini dikenali sebagai kawalan rawak yang lebih signifikan kepada bentuk-bentuk geometrik seperti bulat, bujur, empat segi, tiga segi dan palang pada lukisan kanak-kanak. Kanak-kanak dapat berupaya untuk mengawal otot dan mula untuk mencuba mengatur persekitarannya. Garisan beralun dan berombak dengan jalinan pelbagai corak bulat dihasilkan oleh kanak-kanak.
Pada peringkat ketiga usia kanak-kanak antara 3 tahun hingga 5 tahun, apabila kanak-kanak sudah mula mengenali objek, mereka melukis mengikut nama objek. Walau pun lakaran objek itu tidak dapat dikenalpasti oleh orang dewasa, hasil lakaran itu lebih kepada tingkah laku untuk menamakan objek yang mempunyai signifikan. Pada kanak-kanak objek yang mereka lukis mudah dikenalpasti.
Mesti Tahu
Sekiranya kanak-kanak berusia 5 tahun masih lagi di peringkat lakaran bukan bermakna lambat pembelajarannya atau kesan ketidakupayaan belajar. Mereka perlu menguasai kawalan otot untuk menghasilkan lakaran.
Peringkat simbol atau gambaran apabila kanak-kanak mengikut usia 5 tahun hingga 7 tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak sudah mula menyedari pemikiran boleh dinyatakan menerusi perlambangan. Oleh itu, mereka akan melukis apa yang dirasa, bukan tentang perkara yang sebenarnya.
Contohnya jika kanak-kanak tadika disuruh melukis kucing. Kucing yang dilukis mungkin lebih besar daripada kanak-kanak sebab kucing itu lebih penting dalam kehidupannya. Kemungkinan juga kanak-kanak akan melukis kucing berwarna merah kerana merah adalah warna kegemarannya.
Ibu bapa perlu sedar bahawa setiap kanak-kanak perkembangan lukisannya adalah berbeza dan tidak sama sebagaimana perkembangan yang lain. Oleh yang demikian jangan mengabaikan lakaran kanak-kanak kerana peringkat ini adalah situasi penting sebagai sebahagian proses pembelajaran.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Tak Bergaduh Sehari Tak Sah, Ada Je Yang Tak Puas Hati. Kaunselor Ini Kongsi Peranan Ibu Bapa Hadapi Pergaduhan Anak-Anak

Bergaduh adik beradik memang menjadi kebiasaan. Kalau dalam tempoh masa sehari tidak bergaduh sesama mereka, memang tak sah! Ada- ada yang tidak kena.
Kaunselor ini kongsi peranan ibu hadapi pergaduhan anak-anak, bukan menjadi hakim tentukan siapa yang salah.
Menurut Puan Farhan Salleh, seorang kaunselor dan juga ibu kepada dua anak, pergaduhan antara anak hanyalah gaduh-gaduh sayang. Berikut ialah perkongsian beliau;
GADUH GADUH SAYANG
Ada orang kata semakin lama kita menjadi ibu atau ayah, kita akan jadi semakin matang. Semakin bertambah anak semakin kita tahu bagaimana mengurus anak anak. Namun hakikanya bertambahnya bilangan anak anak di dalam rumah akan menyebabkan bertambahnya cabaran.
Saya teringat dahulu ketika anak hanya seorang saya hanya berdepan dengan kerenah Aufa sahaja, namun bila dia dah ada adik semakin banyak kerenah yang saya perlu tempuhi dan hadapi.
TERIMA ADUAN
Bukanlah namanya adik beradik kalau tidak bergaduh dalam sehari. Kita dahulu pun sama kan? Ada sahaja perasan tak puas hati sesama adik beradik.Pengalaman saya sendiri, dalam sehari tidak sah sekiranya tidak ada bunyi ini.
“Ibu!!! Tengok adik ni”
“Ibu, adik kacau kakak menulis”
“Ibu…adik gigit kakak”
Adakalanya Si adik datang pada saya dengan bekas gigitan di tangan dan menangis tersedu sedu tanda mengadu. Si kakak pula menjeling tajam
“Bukan kakak buat, adik dulu koyak kertas kakak”
Phewww. Berpeluh kita menerima aduan setiap hari. Kalau boleh dicatat berjela jela aduan dalam sehari. Itulah lumrah adik beradik kan. Bagaimanapun, kita sebagai ibu bapa haruslah bijak menghadapi situasi seperti ini.
TINDAKAN
Dalam situasi yang saya ceritakan di atas, biasanya apa tindakan yang kita buat?
Mungkin ada yang terus marah pada anak yang lebih besar
Mungkin ada yang bagi sepit ketam aka cubit kepada kedua dua anak yang terlibat
Mungkin juga ada tidak memberi apa apa respon dan membiarkan sahaja segalanya selesai sendiri.
Sejak kedua dua anak saya membesar, saya belajar cara yang lebih bijak untuk membantu mereka apabila mereka bergaduh. Sebenarnya, bila anak anak bergaduh dan kita mahu menyelesaikan isu pergaduhan itu, jangan hanya fokuskan kepada misi menghentikan pergaduhan.
Sebaliknya, dalam masa yang sama kita harus memastikan anak anak kita dapat menjaga hubungan sesama mereka.
Kuncinya:
Solving issue and at the same time maintaining relationship
JADI ORANG TENGAH, BUKAN SEBAGAI HAKIM
Biasanya bila Aufa dan adiknya bergaduh, saya akan datang sebagai orang tengah atau mediator. Bukan sebagai hakim untuk menentukan siapakah yang betul atau salah. Apabila saya jadi orang tengah, saya tidak akan memihak kepada sesiapa.
Sebaliknya saya akan pegang kedua kedua tangan anak saya dan seorang akan berada di sebelah kiri dan seorang akan berada di sebelah kanan.
Ketika itu, sebenarnya masih sempat lagi mereka menyambung bergaduhan mereka.
Tetapi, sebagai orang tengah saya haruslah SABAR dan TIDAK MENGHUKUM sesiapa pun.

BERI MASA BERTENANG
Sebelum memulakan proses menyelesaikan masalah, saya beri mereka masa untuk bertenang dalam 5 minit.Setelah kedua-dua sudah agak reda dan tidak lagi naik kaki dan tangan, saya mula memainkan peranan saya.
Memandangkan hanya si kakak yang boleh bercerita, saya mula mendengar cerita dari pihak kakak.
“Ibu, bukan salah kakak, adik yang buat kakak dulu. Kakak tengah buat kerja, lepas tu dia datang tarik buku kakak”
Panjang lebar aduan kakak
“Ok, lepas adik tarik buku kakak, apa jadi selepas itu?”
“Kakak tolak lah dia, dia pun jatuhlah. Tapi bukan salah kakak!”
(Masih lagi mahu menang)
“Ok, faham, maknanya adik kacau kakak, lepas tu kakak tolak dia sebab marah?”
“Yelah, adik buat kakak dulu, bukan kakak, kakak tak kacau pun dia”
“Ok, kakak, ibu tahu kakak tak suka adik kacau, tapi kakak tolak dia sampai jatuh tu bagus tak?”
“Tak…”
Balas Aufa perlahan
PELUK ANAK, PASTIKAN MINTA MAAF & SALING BERPELUKAN
Biasanya ketika ini, saya akan peluk kedua dua mereka. Saat ini biasanya kedua duanya sudah semakin tenang.
Langkah seterusnya yang saya ambil adalah, memastikan kedua duanya meminta maaf dengan penuh perasaan dan kesedaran. Bukan memaksa mereka untuk meminta maaf, tetapi saya ajar mereka.
“Ok adik, sekarang minta maaf kakak. Adik ambil tangan kakak. Aminnn kakak”
“Ok, kakak pula minta maaf pada adik”
Oleh kerana kakak sudah besar, saya biasanya akan ajar dia meminta maaf dengan cara yang lebih berkesan. Biasanya ayat yang saya ajarkan kepada Aufa begini
“Adik, kakak minta maaf sebab……(tolak adik)”
“Lain kali kakak tak nak buat dah”
“Sayang adik”
Selepas si adik bersalam, saya akan menyuruh kedua kedua peluk antara satu sama lain.
Maka selesai lah 1 babak drama dalam rumah saya.
PISAHKAN SEKETIKA KALAU TIDAK MAHU MENGALAH
Harus saya ingatkan proses di atas bukanlah 1 penyelsaian magic. Adakalanya anak tetap akan keras dan tidak mahu mengalah. Kalau saya, biasanya saya akan pisahkan mereka seketika apabila kedua keduanya tidak mahu beralah. Biasanya saya akan dukung si adik bawa dia ke tempat lain sementara kedua duanya bertenang. Tetapi, pada kebiasaanya saya akan gunakan jalan penyelesaian seperti dibawah.
Kalau perhatikan cara saya di atas itu banyak melibatkan si kakak kerana anak saya yang sulung berumur 5 tahun dan adiknya baru sahaja setahun setengah. Jadi, sekiranya anak tuan dan puan sekalian kedua duanya berumur 3 tahun lebih dan ke atas kedua duanya harus dilibatkan dalam setiap langkah yang saya ceritakan.
Contohnya, dalam proses bercerita tentang apa yang terjadi, sekiranya kedua dua sudah mencecah usia 3 tahun lebih dan sudah pandai bercerita. Maka dengarlah cerita dari kedua dua belah pihak.
- Ketika anak anak anak bercerita tentang apa sebenarnya yang berlaku jangan menyampuk atau mencelah. Dengar sahaja dengan penuh minat.
- Ibu dan ayah jangan sesekali menyebelahi atau menyalahkan mana mana pihak yang terlibat.
- Cuba untuk memahami perasaan anak anak kita dan jangan merendah rendahkan mana mana pihak.
- Elakkan kekerasan ketika menyelesaikan masalah pergaduhan anak anak kerana cara kita itu akan digunakan semula apabila mereka bergaduh.
RINGKASAN
- Harus ingat dalam menyelesaikan pergaduhan anak anak jangan lupa, dalam masa yang sama kita harus maintain hubungan mereka.
- Ibu dan ayah bukan hakim untuk tentukan siapa bersalah tetapi jadi lah orang tengah yang tidak menyebelahi mana mana pihak
- Orang tengah itu harus sabar dan tenang. Bukan menghukum
- Adakan tempoh bertenang sebelum mula menyelesaikan masalah anak bergaduh
- Dengar dengan penuh perhatian cerita dari mulut anak anak
- Rasionalkan pemikiran mereka tanpa menyalah kan mana mana pihak. (Betul tak tindakan kakak tolak adik tadi?)
- Ajar anak anak meminta maaf dari hati dan tanpa paksaan
- Peluk
Apa yang penting, mereka harus faham bahawa kedua dua nya menyumbang kepada pergaduhan itu.Walaupun ada 1 pihak yang memulakan, tetapi kedua duanya tetap menyumbang kepada pergaduhan itu. Jadi kedua keduanya perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan pergaduhan antara mereka.
Pergaduhan adik beradik itu lumrah yang kita sebagai ibu ayah perlu hadapi setiap hari. Cuma akhirnya terpulang bagaimana kita melatih anak dalam menghadapi setiap masalah itu agar mereka membesar menjadi insan yang tahu untuk menyelesaikan masalah dengan baik tanpa perlu menggunakan kekerasan dan kekasaran.
Anak anak kita, gaduh gaduh pun mereka tetap sayang antara satu sama lain. Kadang kadang saya terharu juga melihat anak anak sendiri. Siang bergaduh, tetapi bila malam sebelum tidur masing masing bergurau manja seolah olah tidak pernah bergaduh. Bila tiada pula masing masing rindu menyebut di mulut. Itulah gaduh gaduh sayang. Bila tiada terbayang-bayang.
Sumber: Puan Farhan
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI