Impetigo adalah jangkitan pada kulit yang disebabkan oleh bakteria tertentu (Streptococcus atau Staphylococcus). Bakteria tersebut memasuki bahagian kulit yang rosak disebabkan menggaru, luka atau lain-lain masalah kulit. Ia biasa berlaku pada bayi dan kanak-kanak. Ia juga mudah tersebar kepada orang lain.
Ia bermula dengan gelembung-gelembung kecil dan akhirnya pecah dan mengeluarkan cecair. Cecair tersebut akan kering dah menghasilkan kulit keras yang berwarna coklat kekuningan. Ia selalu dilihat pada bahagian muka di sekeliling mulut dan hidung. Bagaimanapun ia juga boleh terjadi pada bahagian lain badan terutamanya bahagian yang terdedah.
BAGAIMANA IMPETIGO BOLEH BERJANGKIT?
1. Bersentuhan badan dengan orang yang dijangkiti penyakit ini.
2. Berkongsi pakaian, tuala atau tempat tidur dengan orang yang dijangkiti. Ia juga boleh merebak daripada satu bahagian badan kepada bahagian badan lain.
Ads
KOMPLIKASI IMPETIGO
Jika impetigo tidak dirawat, kanak-kanak akan mengalami :
1. Demam/Sepsis
2. Cellulitis
3. Osteomyelitis
4. Kadang-kala jangkitan bakteria Streptococcus ini boleh membawa kepada penyakit buah pinggang yang serius dipanggil Glomerulonephritis.
5. Pada bayi, penyakit ini lebih tersebar luas dan lebih teruk.
Sekiranya anak anda mengalami impetigo, bawalah anak berjumpa doktor. Rawatan dengan ubat sapu dan antibiotik melalui mulut mungkin diperlukan jika penyakit ini tersebar luas dan lebih teruk.
Ads
Selain itu anda juga boleh basuh dengan cermat bahagian kulit yang keras dengan sabun / larutan antiseptik dan air 3 – 4 kali sehari dan juga harus menahan diri daripada menggaru bahagian tersebut untuk mengelakkan ia merebak ke bahagian lain.
BAGAIMANAKAH JANGKITAN INI DAPAT DIELAK?
1. Jauhkan kanak-kanak daripada sekolah atau pusat jagaan sehingga sembuh
2. Elakkan berkongsi tuala, pakaian dan cadar
3. Basuh tangan dengan bersih menggunakan sabun dan air selepas bersentuhan dengan kulit yang dijangkiti
4. Pastikan kuku sentiasa pendek dan bersih
5. Pastikan ubat diambil mengikut preskripsi doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Peranan ibu ayah dalam kehidupan anak-anak sangat besar. Setiap apa yang kita sediakan untuk anak menentukan masa depan mereka. Itulah sebabnya kita dianggap seperti SUPERHERO pada mereka. Dengan hanya RM20, banyak ilmu yang akan mama papa dapat. Yang paling best, akan dapat AKAUN SSPN secara automatik!
Bila anak-anak demam ibu ayah memang akan risau. Tambah pula bila suhu badan anak terlalu tinggi yang mana keadaan ini juga boleh menyebabkan demam sawan.
Biasanya demam sawan boleh berlaku dikalangan kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 5 tahun. Semoga Perkongsian daripada Dr Zubaidi Hj Ahmad mengenai tanda-tanda dan gejala serta risiko demam sebegini berulang kepada si kecil mama dapat dijadikan panduan.
SAWAN DEMAM
Sawan adalah keadaan di mana kanak-kanak tidak sedarkan diri dan biasanya diikuti oleh kekejangan atau penyentakan kaki dan tangan. Demam sawan adalah sawan yang berlaku dengan suhu badan yang tinggi di kalangan kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 5 tahun.
Sawan demam adalah sawan yang disebabkan oleh demam panas dikalangan bayi atau kanak-kanak kecil yang normal. Diagnosa sawan demam hanya boleh dibuat selepas doktor mendapati tidak ada punca-punca lain yang menyebabkan sawan selain dari suhu badan yang tinggi (biasanya melebihi 38ºC).
TANDA & GEJALA
Anak akan tidak sedar diri atau tidak menunjukkan tindak balas bila dipanggil.
Kedua-dua kaki dan tangan kejang atau tersentak-sentak.
Mata mungkin terbeliak ke atas.
Kadang-kala kekejangan atau sentakan hanya berlaku pada sebahagian anggota badan sahaja, seperti satu tangan atau satu kaki.
Sawan biasanya berhenti dengan sendiri selepas 2-3 minit atau kurang, dan jarang melebihi 10 minit. Bagaimanapun dalam kes di mana sawan melebihi 5 minit, kanak-kanak tersebut perlu di bawa ke klinik berdekatan secepat mungkin.
Semasa sawan, kanak-kanak mungkin tercedera (akibat jatuh) atau mungkin tercekik makanan/air liur di dalam mulut.
Kebanyakan kanak-kanak dengan sawan demam mengalami suhu badan tinggi melebihi 38.5oC.
Kanak-kanak dengan sawan demam tidak semestinya mendapat epilepsi (epilepsi atau “sawan babi” adalah kejadian sawan yang berulang-ulang dan tidak dicetuskan oleh demam).
Kebanyakan sawan demam berlaku pada hari pertama kanak-kanak demam.
Majoriti besar sawan demam adalah tidak membahayakan. Tidak ada bukti kukuh yang mengatakan bahawa sawan demam boleh menyebabkan kerosakan otak. Kajian perubatan mendapati kanak-kanak yang sawan demam memperolehi pencapaian yang normal di sekolah dan mempunyai tahap kecerdasan yang sama seperti adik-beradik lain yang tidak mengalami masalah sawan demam. Malah dalam kes-kes yang jarang berlaku di mana sawan berlarutan sangat lama melebihi satu jam, didapati kanak-kanak tersebut juga pulih sepenuhnya.
FAKTOR-FAKTOR RISIKO UNTUK SAWAN DEMAM BERULANG
1. Usia muda (kurang daripada 15 bulan) semasa serangan sawan yang pertama.
Sawan terjadi sejurus selepas demam bermula atau bila suhu badan adalah normal.
Sejarah sawan demam di kalangan ahli keluarga terdekat (ibubapa dan adik-beradik).
Sejarah penyakit epilepsi (sawan babi) di kalangan ahli keluarga terdekat.
APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN JIKA ANAK MENGALAMI SAWAN?
1. Baringkan anak anda secara mengiring sebelah kiri atau kanan.
Jauhkan anak anda dari sebarang benda yang berbahaya atau tajam.
Jangan sekali-kali memasukkan sesuatu ke dalam mulut anak anda semasa berlakunya sawan.
Jangan menampar, menggoncang atau mengurut badan anak anda untuk menyedarkan dirinya semasa sawan.
Catatkan masa dan tempoh berlakunya sawan.
Bawa anak anda ke hospital dengan segera, jika sawan berlaku.
Anak anda perlu diperiksa oleh doktor selepas berlakunya sawan untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang jangkitan kuman pada otak.
Alhamdulillah syukur pada Allah! Bayi yang alami pendarahan otak akibat kemalangan di lebuh raya PLUS Ipoh baru-baru ini kembali sihat dan telah dibenarkan pulang ke rumah. Bagaimanapun, rawatan susulan masih diteruskan untuk kecederaan yang dialami di beberapa bahagian badan.
Berkongsi perkembangan terkini Aqasha Alhaq, ibunya, Natasya Nadia memberitahu selepas lebih sebulan menerima rawatan, akhirnya Aqasha sudah dibenarkan pulang ke rumah.
Alhamdulillah syukur anak kami Aqasha Alhaq bin Aiman Hazim dah discharge hari ni. Berakhir 36 hari di HRPB (3 hari di PICU & selebihnya di Wad Pembedahan Pediatrik) Terima kasih kepada keluarga kami, sahabat, pakar/doktor, staff nurse & semua yang membantu kami dari segi semua aspek.
Tak terbalas jasa dan doa anda semua. Rawatan susulan masih diteruskan setiap minggu di sini sehingga Aqasha Alhaq pulih seperti sediakala.
Keajaiban & kuasa yang Maha Esa menyelamatkan anak kami. Tak lupa juga untuk anda semua.
Ada yang tanya Aqasha masih meniarap ke? Sampai bila?
Ya masih meniarap untuk kurangkan najis masuk ke tempat tampal kulit(skin graft). Jadi bila meniarap najis akan turun ke depan. Tempat skin graft masih lembab (kawasan yang paling dekat dengan anus tu)
Kulit tu tengah struggled nak hidup sebab lembab tu. Kawasan atas dah kering dah. Aqasha boleh tidur mengiring jugak tapi kami bagi mengiring masa menyusu ja. Kalau malam tu memang meniarap sbb takut mama papa tak sedar bila dia berak. Setakat sekarang dia okay ja meniarap takda meragam jadi kami akan teruskan sampai betul-betul pulih skin graft tu.
Setiap minggu perlu ke klinik plastic untuk cuci & tengok perkembangan kulit tu.
Rupa tempat skin graft : pinggul kiri leper sebab dah operation 1st dah buang semua kulit mati & berparut.
Tulang peha (femur) yang patah tu macam mana?
Alhamdulillah tulang dah tumbuh semula (bercantum). Mungkin ada senget sikit tapi utk budak Doc ckp tak perlu risau. Masih ada appointment lagi 3 minggu untuk x-ray balik dengan pakar ortho.
Pendarahan dalam kepala?
Lagi 3 minggu akan jumpa semula dengan pakar neurologi. Buat masa sekarang tak da tanda-tanda yang abnormal. Alhamdulillah.
Aqasha aktif gerakkan kaki dia sendiri jadi maksudnya sakit tu dah berkurangan jadi Doc cadangkan ubat tahan sakit makan bila perlu saja.
Boleh dukung macam biasa tapi kena berhati-hati. Selagi tak menangis maksudnya dia okay. Balik rumah tak ada meragam langsung, baik sangat. MasyaAllah.
Kami sekeluarga masih di Meru, Ipoh (rumah mentua) & belum balik ke Putrajaya sebab esok papa Aqasha akan operation yang sama macam Aqasha : skin grafting di tangan kanan.
Setiap pasangan suami isteri pasti mengimpikan anak sebagai pelengkap rumah tangga. Namun apabila Allah uji di peringkat awalnya pasti ia sedikit terkesan apatah lagi kandungan itu adalah yang pertama.
Pengalaman menghadapi keguguran itu akan diingati sampai bila-bila. Berkongsi mengenai kisah tersebut, Nurul Aqmar Mohd Ismail, 29, menceritakan bagaimana dia terpaksa berdepan situasi terpaksa berpantang seperti selepas bersalin tetapi tiada bayi.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan di media sosial, wanita yang menetap di Semenyih, Selangor ini, menceritakan pengalamannya sewaktu tempoh kehamilan yang dianggap sangat mudah dan tidak bermasalah.
Berkongsi perasaan itu kepada Mstar sebelum ini, rezekinya dapat mengandung masa Ramadan 2020. Saya puasa sebulan sebab mampu buat penuh. Ada je orang sekeliling nasihatkan saya masa tu, tak galakkan saya puasa sebab kandungan masih baru dan perlukan banyak khasiat untuk perkembangan bayi.
Wanita ini yakin untuk berpuasa kerana tidak memiliki simptom seperti kebiasaan ibu mengandung.
“Tapi saya rasa larat je jadi saya teruskan saja berpuasa. Lagi buat saya yakin nak puasa sebab tak ada morning sickness, tak ada rasa mual-mual, makan pun berselera je.
“Bila saya tak ada semua simptom tu saya ingat itu satu perkara baik, tapi rupanya tidak. Selepas keguguran baru saya tahu rupanya kandungan dan baby mungkin tak kuat dan tak sihat sebab tu saya tak alami semua simptom tu,” ujarnya.
Wanita yang mesra disapa Aqmar ini berkata dia kehilangan cahaya mata yang pertama itu ketika kandungan memasuki usia empat ke lima bulan.
Keluar setitik cecair seakan darah
Usahawan itu memberitahu, masalah mula timbul apabila dia pulang ke kampung di Ipoh, Perak untuk meraikan Aidiladha tetapi memutuskan untuk tidak memberitahu suaminya kerana tidak mahu lelaki itu bimbang.
“Masa tu suami tak dapat cuti raya. Jadi saya ikut mak ayah balik kampung beraya. Elok sampai dekat rumah opah, saya perasan macam ada setitik cecair seakan-akan darah tapi saya cuma abaikan saja. Lagipun cuma setitik kecil sahaja.
“Suami masa tu tak ada bersama. Bila jadi macam tu saya tak tahu macam mana nak beritahu dia. Saya tak nak dia bimbang. Sudahlah dia jauh, tengah kerja pula.
“Saya abaikan je pasal setitis darah tu dan sambut je raya macam biasa dengan keluarga dekat kampung. Memang tak ada rasa sak1t atau rasa pelik lepas darah menitik tu dan tak ada masalah lain pun,” ujar Aqmar.
Hampir 2 minggu bayi meninggal dalam perut
Menurut wanita ini, perkara tersebut dibiarkan berlarutan sehingga dia pulang semula ke rumahnya di Semenyih dan ketika itulah dia memberitahu suami, Muhifuddin Mansur, 31, tentang perkara yang dianggap tidak serius itu.
Pasangan ini kemudian pergi ke klinik berdekatan untuk mendapatkan kepastian tentang apa yang berlaku dan tidak menyangka ia menjadi suatu titik hitam yang mengubah kehidupan mereka selepas itu.
“Lepas saya cerita, suami saya nak pengsan dengar. Terus esok tu dia bawa saya pergi ke klinik. Bila doktor buat pemeriksaan, dia cakap dah tak ada degupan jantung. Lagi sedih bila doktor maklumkan baby dah mengecut.
“Maksudnya bayi saya mungkin dah meninggal dalam kandungan lebih kurang dua minggu cuma saya je yang tak perasan dengan keadaan tu. Rupanya saya dah dua minggu kendong bayi yang dah meninggal.
“Hati saya luluh dengan apa yang doktor sampaikan. Masa tu saya harap sangat dapat tahu lebih awal dan lebih bersedia, jadi saya boleh ucap selamat tinggal dekat baby. Saya juga nak cakap terima kasih dekat dia sebab bagi peluang saya ‘merasa’ bawa dia dalam perut saya,” ujar wanita itu.
Dalam pada itu, kehilangan bayi ini tidak hanya memberi kesan terhadap dirinya yang asyik menyalahkan diri sendiri, malah suaminya turut bersedih.
Namun di sebalik ujian getir yang dilalui, Aqmar bersyukur kerana masih dikelilingi keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberi semangat dan sokongan kepadanya sejak mereka mendirikan rumah tangga pada 12 Oktober 2019.
“Saya bersedih agak lama selepas alami keguguran tu. Rasa badan saya khianati diri saya. Saya banyak salahkan diri sebab tak jaga kandungan betul-betul.
“Keluarga suruh suami jaga saya betul-betul sebab risau dengan kesihatan mental lepas keguguran tu. Semua orang cuma risaukan tentang saya sebab terpaksa berpantang tanpa anak, tapi tak ada siapa tanya suami saya OK ke tak masa tu.
“Ada satu malam tu, suami bawa makanan ke bilik sebab saya tak rasa nak keluar makan. Masa tengah makan sambil berborak dengan suami, tiba-tiba dia menangis tanpa henti.
“Sedangkan masa tu kami tengah cakap pasal topik lain. Saya rasa dia dah pendam lama kesedihannya tapi tak boleh nak buat apa-apa sebab terpaksa tunjuk kuat depan saya. Masa tu baru sedar apa yang saya alami ni, suami alami juga,” tambah Aqmar.
Ujian berat ini cukup memberi impak yang mendalam kepada pasangan ini namun pepatah ada mengatakan selepas hujan pasti akan muncul pelangi kerana rezeki tetap ada untuk setiap hamba-Nya.
Jelas Aqmar, dia telah diberi peluang lagi sekali untuk hamil pada Januari 2021 setelah mendapatkan nasihat doktor dan bayi perempuan telah selamat dilahirkan walaupun dia terpaksa mengalami ‘morning sickness’.
Wanita ini bersyukur kerana masih diberi peluang untuk mengandung buat kali kedua.
“Terasa macam dunia ni ada warna kembali. Doa kami yang tak putus-putus tu dah didengari Allah. Saya dapat peluang lagi sekali untuk mengandung. Kali ni saya happy bila kena morning sickness teruk sebab saya tahu maksudnya bayi saya sihat.
“Saya diberi peluang lagi sekali selepas keguguran. Sebab tu orang panggil bayi yang dilahirkan selepas keguguran sebagai ‘rainbow baby’. Memang terasa seperti diberi sinar baharu selepas peristiwa hitam tu,” katanya.
Kredit: TikTok aqmarism & Mstar
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!