Sedang kita kalut menukar lampin si bongsu, selepas penat memasak dan mengemas rumah tiba-tiba si abang tertumpah nasi berlauk di atas karpet yang baru dibeli.
Aduh bukan main marah kita kan. Sabar ibu sabar. Jangan diikut perasaan. Si abang tak sengaja. Gunakan tips ini untuk elak marah dan elak dari memukul anak.
1. Bertenang (pause) selama beberapa saat. Ingat! mulut lebih laju dari akal.
Ambil masa untuk bertenang beberapa saat. Tarik nafas dan hembus beberapa kali. Pastikan hati sudah cukup tenang sebelum mengeluarkan apa-apa perkataan. Konsep ‘pause’ ini sangat membantu kita untuk rasional semula.
Rasulullah pesan ketika marah, jika berdiri duduklah, kalau belum reda maka baringlah. Bila sudah okey barulah datang kepada anak dalam senyuman. Senyuman dapat memberi arahan kepada otak agar respon diri terhadap situasi lebih positif.
2. Minum segelas air
Air dapat menyejukkan hati. Air juga adalah elemen lawan bagi api iaitu elemen syaitan dan kejahatan. Tiupkan bismillah kepada air dan selawat. Bacakan doa semoga hati dilembutkan. Juga boleh guna cara mencuci muka agar rasa lebih lega.
Ingat kemarahan adalah salah satu cara syaitan memanipulasi hati.
Setelah tenang barulah dekati anak dan nasihat dengan cara baik.
3. Tinggalkan tempat kejadian
Cuba pergi ke ruangan lain dari tempat kejadian. Dengan cara ini sebenarnya bukan sahaja kita dapat mengawal semula emosi tetapi juga sebagai tanda kita tidak suka dengan perbuatan si anak.
Di ruangan lain cuba fikirkan tindakan yang paling terbaik untuk kita katakan kepada anak.
4. Hidu haruman wangi
Haruman wangi adalah aroma terapi untuk membantu menstabilkan semula emosi. Kewangian akan membantu kita lebih positif dan rasional. Jika perlu semburkan wangian aroma terapi setiap masa.
Setelah tenang minta anak untuk mengaku kesalahan dan jangan lupa berikan pelukan setelah mereka meminta maaf.
5. Berzikirlah
Semoga Allah sentiasa memberi kita ketengan dan kedamaian dalam apa jua situasi mendidik anak.
Amalkan zikir ini ketika marah
La haula wala quwwata illa billah
(Tiada daya upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah)
InsyaAllah kita akan ingat bahawa tindakan marah dan memukul anak hanya akan mendera emosi dan menghidupkan rasa dendam yang mempengaruhi kehidupan mereka sehinga dewasa.
Berlembut dengan anak bukan bermakna kita memanjakan mereka tetapi sebaliknya terapkan rasa hormat dalam diri anak terhadap kita dan diri mereka sendiri. Dalam masa yang sama bertegaslah secara kreatif dan berhikmah. Jadi sekiranya anda mempunyai masalah untuk mengawal emosi ketika marah kepada anak, cubalah tips ini hari ini!.
Kredit: Nazifatunnisa Salim
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)