Bahaya atau tidak demam yang dialami semasa hamil adalah bergantung kepada jenis jangkitan kuman. Tambahan lagi pada masa kini, terlalu banyak jangkitan baru. Oleh itu, paras bahaya atau tidak demam itu kepada anda yang sedang hamil adalah bergantung kepada pendedahan diri kepada kuman yang ada.
Demam boleh menjadi salah satu simptom yang menunjukkan ibu hamil mengalami jangkitan kuman. Jadi, tidak boleh dikatakan sama ada ia okay ataupun sebaliknya sekiranya dialami oleh ibu hamil. Pemeriksaan doktor perlu dilakukan untuk mengetahui punca demam itu disebabkan oleh apa, lebih-lebih lagi jika demam itu melebihi daripada 38°C.
Sekiranya demam yang dialami terus tinggi iaitu antara 39°C hingga 40°C dan pada masa yang sama ada simptom berkaitan seperti anda keletihan, tidak berselera makan dan kurang minum air, itu menunjukkan demam itu bukan simptom yang biasa.
Oleh yang demikian, anda perlu segera ke hospital. Dalam kes seperti ini, ia perlu dilakukan kerana anda memerlukan pemeriksaan doktor. Jika perlu, ujian darah dan rawatan sokongan seperti drip intravenous perlu dilakukan.
Lazimnya, semasa mengandung, daya ketahanan tubuh wanita mengandung seseorang itu lebih rendah berbanding orang biasa. Disebabkan itulah, anda mudah mendapat jangkitan. Kadang-kadang orang biasa tidak mudah mendapat jangkitan seperti yang dialami oleh wanita hamil.
Walau bagaimanapun, jika demam itu adalah kurang daripada 38°C dan pada masa yang sama anda rasa okay dan tiada simptom sampingan lain, maka boleh ambil paracetamol. Selain daripada paracetamol, terdapat beberapa ubat untuk mengubati demam namun tidak begitu berkesan. Jadi, paracetamol adalah ubat paling berkesan untuk mengatasi demam. Tambahan pula, paracetamol mudah didapati. Jadi, pengambilannya sudah mencukupi.
Risiko boleh menular kepada kandungan
Bergantung kepada jenis demam dan jangkitan kuman yang disyaki, ia boleh memberi kesan kepada bayi di dalam kandungan. Apa yang membimbangkan oleh para doktor ialah jangkitan virus yang dialami anda boleh menular kepada bayi. Biasanya jika demam itu dialami dalam trimester pertama.
Ia boleh menjejaskan proses pembentukan organ. Penyakitnya adalah seperti rubela, German measles atau measles. Lantaran itulah, trimester pertama adalah tahap paling kritikal sepanjang tempoh kehamilan.
Satu lagi yang dirisaukan ialah apabila anda mendapat jangkitan chicken pox semasa trimester ketiga. Perlu anda ketahui bahawa di dalam mukus faraj terdapat banyak gelembung virus. Dalam proses kelahiran, bayi akan melalui saluran peranakan dalam proses kelahiran normal boleh terdedah kepada jangkitan yang sama.
Ads
Hal ini terutamanya jika anda mengalami chicken pox dua minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin. Sekiranya demam anda aktif dalam tempoh kritikal itu, maka doktor akan menasihatkan anda untuk menjalani proses kelahiran melalui pembedahan caesarean.
Di dalam lain masa, risiko jangkitan boleh berlaku jika demam ada ada simptom. Jangkitan kuman merebak kepada bayi mengikut jenisnya. Suhu badan yang terlalu tinggi boleh menyebabkan nadi bayi menjadi laju. Hal ini kerana apabila suhu badan tinggi dan anda mengalami dehidrasi kerana kekurangan air, ia akan menjadikan aliran darah kepada bayi menjadi kurang, lalu nadi bayi pun menjadi laju. Lama-kelamaan bayi boleh mengalami distress.
Jadi, anda perlu cepat berjumpa doktor. Impaknya, ia boleh buat bayi distress dan paling teruk bayi meninggal dalam kandungan. Jika hal ini berlaku semasa di trimester ketiga dan usia kandungan lebih 34 minggu, bayi boleh dikeluarkan. Sebaliknya, jika umur kandungan kurang daripada itu, ia boleh sebabkan risiko kematian. Oleh sebab itu, sangat penting untuk anda kekal dehidrasi dan turunkan suhu dengan cepat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap pasangan yang berkahwin tentunya mengimpikan kedatangan zuriat untuk menjadi pelengkap keluarga selain dapat menambahkan kebahagiaan dalam perkongsian hidup berumahtangga.
Itulah yang dialami oleh Maryam Elyas yang begitu gembira dengan berita kehamilan yang diterima. Tambah pula hamil Bersama kawan baik yang sentiasa ada waktu suka dan duka. Namun kegembiraan itu hampir diragut saat dirinya mengalami pendarahan. Doktor menyatakan bahawa itu mungkin tanda-tanda keguguran. Kisah ini dikongsi oleh wanita ini menerusi laman Facebooknya.
Namun apa yang dilakukan adalah berdoa kepada Yang Maha Esa dan ternyata betapa kuatnya kuasa doa. Syukur semuanya selamat dan kini zuriatnya yang berusia hampir 5 tahun membesar dengan sihat dan baik.
MAAF PUAN, INI TANDA-TANDA… ALLAHU…
Sedih sangat sehingga nak meraung bila dengar khabar yang disampaikan oleh doktor.
Inilah kisah empat tahun lalu….
Seronok Hamil Dengan BFF
9 Julai 2014:
Pagi itu, aku dengan bahagianya pergi ke Klinik Kesihatan untuk membuat buku pink. Almaklumlah anak pertama. Lebih seronok buat buku pink dengan bff aku. Kami pregnant sama-sama!
Siap buat buku pink, aku ke tempat kerja seperti biasa. Kerja sebagai wartawan, aku agak banyak berjalan sebab ada photoshoot pada hari itu.
Alami Pendarahan Lepas Photoshoot
Petang itu, siap photoshoot aku perasan aku ada alami pendarahan. Agak banyak. Tak pasti di mana silapnya. Lantas aku terus bagitahu pada bff aku dan selepas habis waktu kerja, dia hantar aku ke klinik berhampiran pejabat.
Dari klinik, kami terus ke hospital besar atas nasihat doktor. Masa tu suami aku niaga malam seperti biasa.
Sampai di hospital, aku ingat lagi masa tu bulan puasa. Kakitangan hospital berbuka puasa. Namun kedatangan aku disambut dengan baik.
Agak lama aku disoal selidik. Misalnya jumlah pendarahan. Aku agak nerves sebab lepas tu perut aku kena scan, siap masuk kamera lalu bawah. Eh macam serius je ni.
Jantung aku mula dub dap dub dap. Tak sedap hati.
Tak lama kemudian mereka panggil doktor pakar. Tap tap tap. Bunyi tapak kasut doktorjalan agak laju ke arah tempat aku berbaring. Doktor dan seorang jururawat yang sejak dari tadi amik kes aku ni mula menerangkan satu demi satu kepada doktor pakar. Aku diperiksa sekali lagi.
Hening dalam bilik rawatan itu menambah emosiku. Ada pelbagai emosi yang sukar aku ungkapkan. Yang pastinya tiba-tiba aku terasa ketakutan. Takut jika aku kehilangan sesuatu dalam rahimku.
Doktor Maklumkan Pendarahan Mungkin Tanda Keguguran, Allah Saja Yang Tahu Perasaannya!
Setelah pemeriksaan sekali lagi dibuat, doktor menarik nafas panjang. Helaan nafas doktor itu begitu berat pada pendengaranku.
Aku pandang wajah doktor dan jururawat di hadapanku. Bagaikan memahami pandanganku, doktor pakar di sebelah kananku berdehem. Kemudian dia bersuara.
“Maaf puan. Pendarahan puan ini mungkin tanda-tanda keguguran.”
Lembut suara doktor itu sampai ke telingaku. Namun zasssss! Bagaikan halilintar bunyinya pada pendengaranku. Sakitnya perasaan aku bagai dicabut nyawa.
Jantungku berdegup lebih laju. Dup dap dup dap. Suami aku mana? Aku tercari-cari bahu untuk aku menangis. Tapi tiada. Doktor di dalam bilik itu semuanya lelaki. Terhenjut-henjut bahuku menahan tangis. Sekeras-keras hati aku sebagai wartawan yang selalu berdepan dengan permainan duniawi ini akhirnya tewas juga dengan ujian keguguran zuriat.
“Puan balik dulu. Dalam masa seminggu jika…”
Aku dah tak berapa dengar apa kata doktor kerana fikiranku lebih kepada suami. Apa nak aku sampaikan kepadanya sedangkan baru beberapa hari lepas kami kegembiraan kerana aku positif hamil.
Keluar dari bilik rawatan, aku bagitahu bff apa yang berlaku. Kemudian telefon dihulur supaya aku telefon suami.
Rasa Lemah Longlai, Berdoa Pada Yang Esa Agar Zuriat Yang Dikandung Selamat
Terbayang wajah suami, aku tak mampu nak buat apa-apa. Telefon terlepas daripada genggaman. Lemah sungguh sehingga aku tiada tenaga untuk berbuat apa pun. Akhirnya bff aku yang memaklumkan kepada suami.
Malam itu suami aku menutup perniagaannya lebih awal. Dan di rumah aku duduk di atas tikar sembahyang. Berdoa supaya berlaku suatu keajaiban terhadap nyawa di dalam rahimku ini. Aku menangis sesungguhnya. Tangisan yang aku rasakan paling ikhlas dari hati dan sanubariku.
Ya Allah, sayangi aku Ya Allah. Aku manusia berdosa. Aku mengharap belas ihsan-Mu. Ampunkan aku. Sayangi aku dan berikan kekuatan kepadaku. Aku sayangkan zuriatku.
Aku mampu hadapi ujian lambat bertemu jodoh. Aku reda diuji pelbagai hinaan kerana lambat berkahwin. Aku rela diuji pelbagai kata nista namun aku tak mampu jika kehilangan zuriat ini, Ya Allah.
Allah Dengar Doa Hambanya, Zuriat Masih Bernyawa.
Allahu. Allah memakbulkan doaku. Seminggu kemudian aku ke hospital nyata zuriatku masih bernyawa! Keajaiban apakah ini? Syukur.
Janin itu berkembang dengan sihat dan selamat aku lahirkan pada 5 Mac 2015. Terima kasih Allah. Mama sayang kakak, Salma Afifah.
Tatkala di hujung kehamilan & perut makin membesar. Pakaian yang longgar dan selesa menjadi pilihan kebanyakan ibu. Selalunya pakaian suami lah yang selalu jadi opsyen terbaik!
Mawar Rashid yang sedang sarat hamil memuat naik gambar di Instagram memakai baju T suaminya, Raf Yaakob. Katanya, baju berkenaan dibelikannya untuk si suami, namun dipakai sendiri olehnya.
Para peminat turut memberikan komen mengakui tentang kebenaran yang baju suami selesa dipakai masa mengandung. Lebih-lebih lagi bila menghampiri tarikh jangkaan bersalin. Material pakaian lelaki yang kebanyakannya menggunakan kain kapas juga lebih mesra pada kulit.
Hamil luar rahim sangat bahaya kerana boleh akibatkan pendarahan banyak. Turut mengingatkan untuk scan pada minggu 6-8 pastikan kedudukan kandungan.
Kehamilan luar rahim atau ectopic pregnancy adalah situasi yang banyak berlaku di awal kehamilan. Ia mungkin tidak dapat disedari oleh para ibu kerana kerap terjadi pada peringkat awal kehamilan.
Perkongsian daripada Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak ini mengenengahkan isu hamil luar rahim membincangkan lebih lanjut tentang simptom, ibu yang berisiko, diagnosis serta rawatan yang akan diberikan.
Bahaya ke Kehamilan Luar Rahim (Ectopic pregnancy ) ?
Kehamilan luar rahim adalah kehamilan yang terjadi dan membesar di luar rahim. Nisbah 1 dalam 90 kehamilan adalah kandungan luar rahim. Wanita yang mempunyai sejarah kehamilan luar rahim mempunyai risiko yang tinggi untuknya berulang.
Kehamilan luar rahim sangat berisiko dan berbahaya kepada wanita.
Secara normalnya, telur wanita yang telah disenyawakan akan digerakkan masuk ke dalam rahim melalui Tiub Fallopian, di dalam rahim inilah telur yang disenyawakan menempel dan berkembang menjadi janin dan seterusnya bayi. Jika keadaan ini tidak berlaku, telur yang disenyawakan ini akan menempel di luar rahim dan terjadinya kandungan luar rahim.
KEHAMILAN LUAR RAHIM BERBAHAYA
Kehamilan luar rahim berbahaya kerana apabila kehamilan ini berkembang dan menjadi besar, ianya boleh pecah menyebabkan kesakitan yang amat, dan pendarahan di ruang abdomen.
Kebanyakkan kehamilan luar rahim terjadi pada tiub Fallopian (Tubal Pregnancy), walaupun begitu, 3-5 % kehamilan luar rahim boleh juga berlaku di tempat lain.
KEHAMILAN YANG TIDAK DIKETAHUI LOKASINYA
Apakah maksud kehamilan yang tidak diketahui lokasinya (Pregnancy of Unknown Location)?
Bermakna seseorang wanita itu disahkan hamil, walau bagaimanapun kehamilan itu tidak kelihatan melalui pemeriksaan Ultrasound.
Boleh terjadi atas beberapa sebab :
Kehamilan masih terlalu awal, berada dalam rahim tapi terlalu kecil untuk dilihat melalui pemeriksan ultrasound
Ketidakpastian ini menyebabkan anda berasa stress, begitu juga dengan ahli keluarga anda yang lain. Ianya memerlukan sedikit masa untuk doktor membuat diagnosis yang betul sebelum doktor memberikan jenis-jenis rawatan yang ada.
Anda akan dinasihatkan untuk menjalani ujian darah untuk memeriksa paras hormon kehamilan dan rawatan susulan akan ditentukan berdasarkan keputusan darah ini, pemeriksaan ultrasound dan pemeriksaan klinikal.
TANDA-TANDA HAMIL LUAR RAHIM
Apakah simptom-simptom kehamilan luar rahim ?
Setiap wanita yang mengalami masalah ini mempunyai gejala yang berbeza-beza. Ada yang tiada langsung simptom, ada yang mempunyai beberapa simptom, malah ada yang ada pelbagai simptom.
Lazimya wanita akan mempunyai simptom pada minggu ke 6 kehamilan ( selepas 2 minggu tak datang haid ). Anda mungkin sedar atau tidak sedar anda sebenarnya mengandung lebih-lebih lagi jika haid tidak teratur atau pun kaedah perancangan keluarga anda gagal/tidak berjaya.
Simptom yang berbeza antara individu ke individu menyebabkan ianya bukan perkara yang mudah untuk membuat diagnosis kehamilan luar rahim.
Simptom-simptom yang biasa diperhatikan termasuklah :
#1: Sakit di bahagian bawah perut – Kadang-kadang sakit ini datang tanpa sebab musabab, dan datang secara tiba-tiba untuk beberapa hari, dan boleh terjadi pada sebelah bahagian sahaja.
#2: Pendarahan pada alat kelamin/vagina -tompokan darah mungkin kelihatan, ataupun anda mengalami pendarahan yang bukan seperti haid anda yang biasa.
#3: Sakit pada bahu ( shoulder tip pain ) – sakit ini disebabkan darah yang terkumpul di dalam ruang abdomen akibat kehamilan luar rahim yang telah pecah. Anda boleh mengalami sakit perut yang amat dan boleh pengsan secara tetiba, akibat kehilangan darah yang banyak. Dalam keadaan kecemasan ini, seharusnya berjumpa kakitangan kesihatan/doktor dengan segera.
5 IBU BERISIKO ALAMI KEHAMILAN LUAR RAHIM
Adakah saya berisiko untuk hamil luar rahim?
Semua wanita dalam umur reproduksi ( child bearing age ) boleh mengalami kehamilan luar rahim. Risiko ini meningkat sekiranya :
Anda mempunyai sejarah kehamilan luar rahim terdahulu
Anda mempunyai tiub Fallopian yang rosak, sama ada pernah mengalami pembedahan pada tiub Fallopian, termasuklah pembedahan mengikat tiub Fallopian ( tubal ligation ) atau mempunyai jangkitan pada tiub Fallopian (pelvic inflammatory diseases )
Anda mengandung walaupun telah memakai alat dalam rahim ( Intrauterine Device ) atau anda memakan pil perancangan keluarga yang mengandungi hormon progesteron sahaja ( mini Pill)
Kehamilan kali ini adalah melalui in vitro fertilisation (IVF) atau intracytoplasmic sperm injection (ICSI)
Anda merokok.
5 CARA UNTUK DIAGNOSIS HAMIL LUAR RAHIM
Bagaimana kehamilan luar rahim dikenalpasti ?
Hampir kesemua kandungan luar rahim dijangka berlaku pada tempoh kandungan 6 hingga 10 minggu. Walau bagaimanapun kehamilan luar rahim boleh dikesan cepat.
Perlu diingat, sekiranya masih berada di peringkat awal kehamilan, doktor boleh mengambil masa yang sedikit lama untuk membuat diagnosis kehamilan luar rahim.
Diagnosis dibuat berdasarkan :
Pemeriksaan doktor – doktor akan menanyakan beberapa soalan berkaitan serta sejarah perubatan kemudian melakukan pemeriksaan kepada abdomen anda. Dengan kebenaran anda, doktor akan melakukan pemeriksan vagina dengan kehadiran female chaperone – untuk menemani anda sepanjang pemeriksaan.
Ujian kehamilan – jika ujian kehamilan belum dilaksanakan, sampel kencing akan diminta untuk melakukan ujian ini. Jika keputusan nya negatif, biasanya ianya bukanlah kehamilan luar rahim.
Pemeriksaan ultrasound – alat ultrasound akan dimasukkan secara perlahan ke dalam alat kelamin/ vagina ( transvaginal scan ) kerana pemeriksaan jenis ini lebih tepat berbanding dengan scan yang dilakukan ke atas abdomen ( transabdominal scan ). Maka anda akan diberikan cadangan untuk melalui pemeriksaan transvaginal ultrasound untuk mengenalpasti lokasi sebenar kehamilan anda. Walaupun begitu, ianya bukan mudah untuk mengenalpasti kedudukan kehamilan lebih-lebih lagi pada peringkat awal kehamilan, dan anda mungkin perlu mengulang pemeriksaan ini selepas beberapa hari.
Pemeriksan darah – untuk memeriksa paras hormon kehamilan ( beta- HCG). Lazimnya, pemeriksaan darah ini akan dijalankan setiap 48 jam. Jika hormon ini meningkat sebanyak 63% setiap 48jam ( doubling time ) maka kehamilan selalunya berada di dalam rahim. Sebaliknya , jika paras hormon in rendah dan tidak meningkat seperti sepatutnya atau kekal pada nilai yang sama, berkemungkinan besar anda mengalami kandungan luar rahim.
Laparoskopi – jika keadaan masih tidak pasti dan masih tidak dapat mengenalpasti lokasi kehamilan, sejenis pembedahan akan dilakukan, anda akan diberikan bius penuh. Beberapa lubang kecil akan dilakukan pada abdomen supaya kamera dan peralatan lain boleh dimasukkan. Jika kandungan luar lahim sudah dikenalpasti, rawatan membuang tiub yang mengandungi kandungan luar rahim akan dilakukan dengan kebenaran anda, sebelum pembedahan ini dilakukan, melainkan dalam keadaan kecemasan yang boleh meragut nyawa.
ADAKAH IA BOLEH BERULANG?
Bagaimana dengan kehamilan berikutnya ?
Peluang untuk hamil seterusnya bukanlah satu masalah buat anda, walaupun anda mempunyai satu tiub Fallopian tiub sahaja.
Untuk kebanyakkan wanita, kehamilan luar rahim ini terjadi sekali sahaja. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya peluang anda mendapat sekali lagi kehamilan luar rahim meningkat 7-10% jika dibandingkan nisbah 1 dalam 90 dalam populasi amnya.
BERJUMPA DOKTOR AWAL & SCAN PADA MINGGU 6-8 KEHAMILAN
Anda seharusnya berjumpa doktor awal bila mengetahui anda sebenarnya hamil. Pemeriksan ultrasound akan dilakukan awal dalam 6 hingga 8 minggu kehamilan untuk memastikan kandungan anda kali ini berada dalam rahim.
Jika anda belum lagi bersedia untuk hamil, boleh dapatkan khidmat nasihat perancangan keluarga dari klinik perancangan keluarga ataupun doktor sendiri kerana ada jenis-jenis perancangan keluarga yang lebih sesuai selepas mengalami kehamilan luar rahim.