Menyusukan anak bukanlah tugas mudah. Ibu akan mengalami letih badan serta gangguan emosi. Perlu sentiasa diberikan sokongan dan perhatian dari suami. Jika isteri mengalami kemurungan kerana tidak cukup rehat, ia memungkinkan kepada terjadinya masalah yang lebih serius.
Artikel Menarik: [Biasalah Lapar Selepas Menyusukan Anak. Tapi Ada Caranya Untuk Mama Kawal Berat Badan]
Sebagai suami yang prihatin dan bertanggung jawab, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk meringankan beban isteri. Sudah tentu suami tidak dapat bertukar tempat dengan isteri untuk menyusukan anak, tetapi ada perkara lain yang boleh dibuat sebagai inisiatif bagi membantu si isteri yang keletihan.
BELAJAR DAN CARI MAKLUMAT
Tidak perlu tunggu isteri melahirkan, suami boleh mengikut isteri ke kelas penyusuan. Jika tidak sempat meluangkan masa untuk ke kelas, suami boleh mengikuti grup penyusuan di laman sosial. Banyakkan pembacaan dan usah segan untuk bertanya kepada rakan-rakan yang mempunyai pengalaman.
DAPATKAN SUPLEMEN TAMBAHAN
Sesetengah ibu menyusu mungkin berhadapan dengan masalah susu kurang. Anda boleh belikan mereka suplemen tambahan atau makanan penambah susu yang ada di pasaran. Selain membeli yang sedia ada, anda boleh buat sendiri untuk mereka. Antaranya adalah susu kurma bercampur badam atau minuman herba longan kering dan kurma merah. Tidak susah pun untuk menyediakannya, anda boleh dapatkan resipinya dari internet sahaja.
BELIKAN ALATAN PENYUSUAN
Selain membuat persediaan mental, anda harus mempunyai pengetahuan tentang proses penyusuan. Bukan sahaja ketika bayi menyusu dari badan bahkan proses mengepam susu. Untuk memudahkan isteri membuat bekalan susu untuk si kecil, anda perlu tahu jenis alatan yang diperlukan. Selain mesin pam, dapatkan juga maklumat tentang alatan lain seperti beg penyejuk, pek atau blok ais, botol susu, pek susu, dan banyak lagi.
JAGA EMOSI DAN PERASAAN ISTERI
Ini yang paling utama. Bagi menunjukkan sokongan anda terhadap mereka, pastikan kehadiran anda ketika isteri sedang menyusukan anak. Jika isteri bangun tengah malam untuk mengepam, sebaiknya anda berjagalah bersama dia. Sementara menunggu, anda boleh bersembang dengannya. Lebih baik lagi jika anda dapat menghulurkan bantuan untuk mengurut bahu dan belakang badan isteri ketika mereka sedang menyusukan atau mengepam susu.
Artikel Menarik: [Ibu Makan Pelbagai Makanan Sewaktu Susukan Anak Bantu Anak Menjadi Seorang ‘Pemakan’]
Buat para suami yang menemani isteri untuk anak sulung, anda harus sama-sama menyelami perasaannya. Inilah pengalama pertama payudara isteri membengkak, putingnya melecet ataupun masalah susu tidak mahu keluar. Jika anda tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya berusahalah untuk mencari pakar yang dapat menyelesaikan masalah ini. Sebagai contoh, isteri mengalami bengkak susu. Anda boleh dapatkan pandangan dari doktor atau cari tukang urut berpengalaman untuk membantu isteri.
BERIKAN BAYI SUSU PERAHAN
Tugas utama suami adalah untuk memperkenalkan susu perahan kepada bayi. Kebanyakan bayi akan menolak jika ibunya sendiri yang menyuakan susu perahan dalam botol. Jika ayah yang memberi susu dalam botol, bayi akan lebih terbuka untuk meminumnya. Selain iu, suami juga boleh belajar cara-cara penyimpanan susu perahan atau mencuci peralatan mengepam.
URUSKAN ANAK
Dalam tempoh berpantang, ibu memerlukan rehat yang secukupnya. Emosi mereka juga mudah terganggu kerana masih tidak sembuh sepenuhnya. Sebagai seorang suami yang peka dengan keadaan isteri, anda boleh membantu untuk menguruskan anak seperti memandikan dan memberi mereka makan. Sekiranya anda mempunyai anak-anak lain selain bayi yang baharu lahir, adalah lebih baik anda uruskan mereka tanpa mengganggu si isteri.
Artikel Menarik: [Bayi Lebih Suka Tengok Individu Cantik. Individu Yang Cantik Dapat Bantu Bayi Kenal Dunia Sosial]
RAJINKAN DIRI BUAT KERJA RUMAH
Ibu menyusu biasanya mudah letih dan tidak sempat menguruskan hal lain. Sebagai suami, jangalan pula anda marahkan mereka. Ringankan bebanan mereka dengan sama-sama membantu buat kerja rumah. Apa yang boleh anda bantu, buatlah.