Jangan gelar anak saya ‘monyet’ dia terasa. Itu permintaan ikhlas seorang ibu apabila anaknya sering diejek dengan panggilan ‘monyet’ oleh rakan-rakan sebayanya.
Nurul Afidah Baltisya Razi, 10 tahun yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Kemudi di Bachok sering berkecil hati apabila digelar sedemikian.
Menurut ibunya, Asliza Omar, 36 tahun, harapan Nurul Afidah hanya untuk menjalani kehidupan biasa seperti kanak-kanak sebaya yang lain.
“Dulu dia selalu tanya, kenapa dia berbulu. Saya cakap dia comel. Di sekolah dia rajin belajar,” kata Asliza.
Sekitar tahun 2012, Nurul Afidah pernah menjadi perhatian semua pihak dan kini sudah boleh menyesuaikan dirinya dengan rakan-rakan di sekolah.
Walaupun sebelum ini penampilannya dianggap ganjil serta menjadi bahan ejekan rakan sekelas, namun semuanya ditempuhi dengan semangat untuk menimba ilmu.
Bahkan, Nurul Afidah merasakan dirinya unik dan berbeza dengan rakan lain.
Menurut Asliza lagi, anak ketiga dari lima beradik ini dilahirkan dengan keadaan badan dan muka berbulu.
“Sebelum ini, Nurul Afidah rasa malu untuk bertemu dengan sesiapa, namun kini dia lebih bersemangat, lebih matang, aktif di sekolah bahkan peramah dengan sesiapa,” katanya.
Katanya, anaknya tidak mengalami sebarang penyakit kulit; hanya kerana hormon yang dimilikinya menyebabkan dia dilahirkan dalam keadaan berkenaan.
“Dulu dia selalu tanya, kenapa dia berbulu. Saya cakap dia comel. Di sekolah dia rajin belajar.
“Ada sekali ketika dia Tahun Satu, dia pernah melenting di sekolah sebab ada budak ejek dia. Sekarang, dia dah cerdik, kalau ada sesiapa ejek dia, dia akan mempertahankan dirinya,” ujar Asliza.
Jelasnya, anaknya kini tidak lagi bersedih sekiranya diejek, bahkan dia akan menjawab, dirinya cantik dan unik.
Ayah Afidah, seorang nelayan, juga banyak memberikan semangat kepadanya, kata Asliza.
Tambahnya, anaknya itu meminati seni tarian dan aktif bersukan terutama lumba lari bahkan ringan tulang apabila diminta membantu buat kerja rumah.
Sebulan Sebelum Hamil Nampak Lembaga Berwarna Hitam Dan Berbulu
Sementara itu, menurut laporan Sinar Harian pada tahun 2012 sebelum ini, keadaan tubuh Nurul Afida yang dilahirkan berbulu itu menyebabkan dia mempunyai kad kanak-kanak kurang upaya(OKU).
Menceritakan keadaannya, Asliza berkata, dia tidak pernah mengalami kejadian yang pelik semasa mengandungkan Nurul Afida, namun mengakui pernah melihat lembaga semasa berada di pantai.
“Sebulan sebelum saya hamil, beberapa minit sebelum Maghrib, saya bersiar-siar di pantai dan tiba-tiba terlihat satu lembaga seperti seekor kambing yang datang dari arah laut.
“Ia berwarna hitam dan berbulu, saya tidak terkejut atau menegur makhluk itu dan menganggap ia biasa sahaja. Beberapa minggu selepas itulah baru saya hamilkan Nurul Afida,” katanya.
Bagaimanapun, Asliza berkata, keadaan Nurul Afida tidak seteruk yang dihidapi beberapa kes sama yang berlaku di dunia, sehingga menjejaskan kehidupan seharian.
Menurutnya, bulu yang tumbuh pada badan Nurul Afida hanya kelihatan lebat, namun tidak menjejaskan saluran pernafasan atau penglihatannya.
Sumber: Astro Awani & Sinar Harian