Hidup berkeluarga ni sememangnya tidak mudah. Ada pasang surutnya, ada rasa bahagia dan sakitnya. Jadi baik suami atau isteri kena saling memberi supaya kasih sayang makin kuat dan utuh. Kena lebihkan perhatian, jangan hanya harapkan isteri atau suami sahaja, kita pun sama.
Perkongsian doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan mengenai kehidupan seorang doktor ini memang menarik untuk kita baca. Realiti kehidupan doktor, lebih-lebih lagi doktor yang sudah berkeluarga dan punya anak-anak seperti orang lain. Sungguhnya tak mudah!
Kerjaya sebagai seorang doktor sememangnya mulia. Mendahulukan pesakit berbanding keluarga sendiri. Malah adakalanya keperluan diri sendiri pun terlupa untuk difikirkan. Inilah hakikatnya. Jadi janganlah pandang enteng pada doktor. Jika doktor nasihatkan kita untuk buat beberapa perkara yang memang baik untuk kesihatan kita, buat sajalah. Untuk kesihatan kita jugakan. Kesian mereka kerja siang dan malam untuk kita.
Memang tak mudah jadi suami kepada seorang doktor. Banyak cabarannya. Pasti banyak perkara suami perlu tolak ansur. Namun ketahuilah, lebih besar cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang doktor perempuan yang berkeluarga.
Semasa aku bertugas di hospital, aku rasa tak ada masa nak fikir untuk diri sendiri. Kalau ada masa sikit, rasa nak tidur je. Rehat.
Dalam sibuk macam tu, rakan seperjuangan aku yang perempuan ni ada yang buat perkara yang bagi aku selfless (tak kasihankan diri). Ketika pesakit semua dah tidur, mereka tumpang seterika baju suami di bilik on-call.
Aku tak tipu! Ada!
Ada pula yang dah ada anak. Bila wad tenang, dia jalankan tanggungjawab sebagai ibu. Kami faham maksudnya dia nak pam susu. Biasanya kami tak kacau dia melainkan situasi kecemasan. Bukan lama pun.
Ada yang jahit lencana pada baju anak sekolah di antara jadual waktu pembedahan. Paling kerap nampak, doktor perempuan minta resepi dari jururawat. Katanya nanti cuti nak masak sedap untuk suami.
Yang bagusnya, tak pula mereka abaikan tanggungjawab mereka sebagai doktor. Kerja semua selesai.
Sejujurnya tak pernah lagi aku nampak doktor lelaki buat kerja-kerja macam tu. Memanglah lelaki tak boleh pam susu dari kelenjar susu mereka, tapi yang lain tu boleh buat, kan? Namun tak juga dibuat pun.
Benda macam ni, perempuan je cukup “gila” untuk buat.
Tak sangkal, bila isteri kerap tiada di rumah, suami mesti akan rasa macam tak ada isteri. Semua benda kena buat sendiri(seorang diri). Namun semua itu sebenarnya persepsi yang boleh diubah.
Suami tak akan rasa tak ada isteri jika dia suami sentiasa lakukan sesuatu untuk isterinya tu.
Aku ada nampak juga suami doktor-doktor ni kadang-kadang datang bawa makanan kepada isteri. Selalunya masa shift petang atau malamlah. Kadang bawa makanan lebih untuk staf wad juga.
Ada juga suami yang datang untuk ambil bekalan susu badan yang dah dipam oleh si isteri. Kadang bawa sekali anak jumpa ibu. Dapatlah anak tu minum susu badan terus dari ibunya. Sekejap pun jadilah.
Aku tak rasa suami-suami tu rasa macam dia tak ada isteri. Kerana suami-suami ni rasa mereka ada isterilah mereka buat macam tu, agar si isteri ni dapat rasa ada suami.
Pendek kata, nak rasa ada pasangan, selain kita harapkan pasangan beri kita perhatian, kita kena berilah juga perhatian pada mereka. Benda ni hubungan dua hala.
Tak usahlah asyik tadah sahaja, haruslah memberi juga.
Apapun, terima kasih kepada para suami yang sudi meminjamkan isteri mereka untuk berkhidmat kepada ummah. Semoga ada kebaikan atas pengorbanan kalian.
Tuhan sahaja dapat membalas.
Saya juga harap doktor perempuan tidak abaikan tanggungjawab sebagai isteri. Tak usah lalai, kerana suami ni kadang-kadang dia tak bersuara, tapi dalam hati terbuku perasaan.
Sama-samalah kita tunaikan tanggungjawab kita, dan beralah dalam banyak hal demi kesejahteraan bersama.