
Self esteem setiap anak ini asalnya normal. Namun dia boleh jadi rendah apabila kita sebagai orang tua yang duduk di sekelilingnya gagal membangunkan dirinya.
“Jangan panjat, nanti jatuh.”
“Jangan lari-lari.”
Jangan keluar.”
“Jangan macam itu, jangan macam ini.”
Jangan… jangan… jangan… yang akhirnya kebolehan anak terbantut dan keyakinan dirinya rendah.
Akibatnya si anak akan selalu sebut, “abang tak pandai… abang tak tahu nak buat… susahlah.”

Solusinya latih anak dengan diberikan tugasan mudah yang mereka boleh bebas lakukan.
Misalnya, “ikan laga ini abah belikan untuk along, along jaga ye… bagi makan dan hiaskan ‘rumahnya’ ye.”
“Along teman abah pergi kedai jom. Nanti along tolong abah bayarkan ye.”
Beri mereka galakan dan sokongan. Jangan ditegah dan dihalang. Dan satu lagi, adakala gurauan kita yang suka menyakat anak kecil ini jangan sampai ‘berlebih-lebih’.
“Saja nak sakat. Nak tengok dia nangis dengan marah. Comel.”
Hati-hati ye. Kita sedang membentuk karakter pembuli dan amarah dalam dirinya. dan mungkin sedang membunuh semangatnya sehingga menjadi rendah diri kerana selalu dipermainkan dengan gurauan yang tidak sesuai dengan usianya. Anak-anak emosinya berbeza dengan kita. Lebih halus dan tenang.
Jadi jangan sebarang-sebarang dan langgar saja. Apatah lagi membentak dan memukul sesuka hati kita.
Ingat, anak-anak adalah anugerah dan amanah yang mesti dididk memgikut acuan Allah. Bukan mengikut acuan selera tekak kita.
Ingat ya.
Sumber: Aizuddin Kamarul Zaman
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak Dapat Sesuatu Bukan Main Mengamuknya. Fasa Ini Mak Ayah Perlu Tahu Skil Kawal Anak

Pasti semua mak ayah akan menghadapi fasa anak susah kawal diri, dimana jika ada sesuatu yang tidak kena walaupun sekecil-kecil benda. Mereka akan mengamuk sampai tak ingat dunia. Contohnya:
– Anak nak makan satu bekas makanan yang disukai seperti ais krim, selagi tak habis selagi itu anak akan minta.
– Anak mengamuk bila tersalah masuk kaki semasa memakai seluar.
– Anak campak mainan bila tersalah pasang atau terlalu susah baginya.
Menurut Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi, jangan risau, ia adalah SANGAT NORMAL terutamanya bagi anak yang berumur 2 tahun ke bawah kerana waktu ini adalah waktu paling sensitif untuk anak belajar mengurus emosi sendiri.
Kita semua tidak dilahirkan dengan mempunyai Pengawalseliaan Diri (Self regulation) kerana semasa lahir, otak kita masih belum lagi dalam proses berkembang dan membesar. Skil ini akan mula berkembang semasa bayi berumur 12 bulan ke atas. Semakin kita membesar, semakin susah untuk belajar sesuatu skil kerana otak kita dah semakin kurang fleksibel berbanding otak kanak-kanak.

Maka, sangat penting untuk mak ayah yang mempunyai anak kecil untuk mempelajari bagaimana membantu anak mengawal diri dalam pelbagai situasi.
Kebanyakan anak yang mempunyai masalah tingkahlaku adalah disebabkan isu pengawalan diri dan selalunya mempunyai masalah pengurusan diri juga . Sebab itu, kami terapis cara kerja selalu tekankan skil pengurusan diri anak seperti pakai dan buka baju seluar sendiri, berus gigi sendiri, sikat rambut, makan sendiri dan sebagainya. Setiap kali anak belajar menguruskan diri sendiri, setiap kali itu juga belajar mengawal diri sendiri.
Skil pengurusan diri awal memberi kesan pada skil sosial, pengurusan emosi, malah sangat penting juga untuk pembelajaran anak di masa akan datang. Semua skil ini sangat berkait rapat antara satu sama lain.
Saya beri analogi mudah, jika anak umur 7 tahun masih baling barang atau mengamuk bila mainan yang dimain terlampau susah baginya, adakah anak boleh mengawal dirinya daripada putus asa atau mengamuk jika tidak dapat menjawab soalan matematik di sekolah?
Membesarkan anak memang sangat mencabar kerana kita bukan sahaja membesarkan fizikal mereka tetapi juga membesarkan skil-skil asas penting dalam kehidupan termasuklah skil mengurus emosi diri.
TIPS MEMBANTU ANAK MENGAWAL DIRI MENGIKUT UMUR
Untuk membantu anak mengawal diri, mak ayah tidak boleh lakukan secara drastik. Perlu lakukan sedikit demi sedikit mengikut umur dan tahap anak. Mak ayah boleh cuba tips saya mengikut umur seperti dibawah️
0-12 BULAN
– Akan menangis setiap kali sedih, marah, sakit atau lapar.
– Tenang apabila dipeluk dan dibelai mak ayah. Mula belajar untuk tenangkan diri sendiri dengan cara menghisap jari ataupun mengigit mainan.
TIPS
– Elakkan membiarkan bayi berumur 6 bulan kebawah menangis terlampau lama kerana bolen memberi kesan jangka panjang pada perkembangan emosi anak.
– Banyakkan memeluk dan membelai anak semasa anak menangis, jadikan mak ayah sendiri sebagai “agen penenang” anak berbanding gadget atau TV.
1-2 TAHUN
– Mula belajar mengawal diri dan emosi tetapi ada kalanya masih kerap kalah dengan emosi apabila berhadapan situasi baru atau mencabar.
TIPS:
– Beri sokongan bila anak berhadapan situasi mencabar contohnya apabila main mainan yang susah.
– Beri sokongan, bukan buatkan
– Semasa ini anak sangat suka meniru perbuatan orang dewasa, mak ayah perlu jadi model terbaik untuk anak apabila berhadapan situasi mencabar.
– Main mainan mengikut umur anak dan mak ayah juga perlu buat-buat rasa susah juga.
– Contohnya “Susahnya nak buka mainan ni, tapi jom kita cuba lagi” (dengan muka berkerut).
– Usaha sama-sama sehingga berjaya.

2-3 TAHUN
– Mula belajar beratur dan menunggu giliran.
– Mendengar arahan dan cuba belajar memahami keadaan semasa dengan bantuan mak ayah.
– Kadang kala sengaja melanggar peraturan jika berhadapan situasi mencabar.
TIPS:
– Banyakkan bercerita tentang emosi dengan anak seperti sedih, marah, gembira, suka, tak suka dan sebagainya.
– Tanya perasaan anak apabila berdepan situasi gembira atau sedih.
– Kadang-kala, memujuk bukanlah cara terbaik untuk menenangkan anak semasa ini.
– Beri ruang untuk anak meluahkan perasaan dengan cara menangis, pujuk apabila anak sudah buka mata dan tenang.
– Beritahu situasi dan peraturan apabila berada di situasi baru atau tempat.
– Puji anak jika berkelakuan baik dan berjaya lakukan sesuatu perkara baru.
3-4 TAHUN
– Mula belajar memahami situasi dan tingkahlaku yang sesuai contohnya mengawal diri dari menaiki tangga rumah orang lain atau memperlahankan suara apabila bayi sedang tidur.
TIPS
– Sentiasa beritahu tentang keadaan semasa setiap kali pergi ke tempat baru contohnya senyap di panggung wayang atau jangan berlari di kedai kaca. Terangkan kesan dan akibat apabila berpelakuan begitu.
– Kerapkan memuji anak jika anak berkelakuan baik.
– Bantu anak belajar mengurus emosi apabila berdepan dengan situasi mencabar seperti kawan rampas barang atau kematian haiwan peliharaan.
– Beri mereka ruang untuk menangis dan belajar meredakan perasaan sendiri juga.
4 TAHUN
– Sudah tahu kesan dan akibat setiap perlakuan yang dilakukan.
– Mula bertolak ansur dan bertoleransi semasa bermain dengan orang lain.
– Suka bersaing dalam pelbagai situasi.
TIPS:
– Jika mak ayah ada tetapkan peraturan, elakkan melanggar peraturan sendiri kerana akan mula belajar yang tiada kesan jika melanggar peraturan.
– Perkenalkan anak dengan permainan yang ada unsur kalah dan menang supaya anak belajar menerima kekalahan. (Snakes, and Ladder, Jenga, Chess, Dam Haji, dll)
Sumber: Maryam Jamadi
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Guna 7 Cara Ini Untuk Elak Mama Papa Jadi Singa Bila Anak Mengamuk, Kaedah Psikologi Tanpa Perlu Pukul & Cubit

Bila anak mengamuk, mama papa boleh jadi singa. Sebenarnya ia boleh dielak, ada 7 tip ini boleh diguna, yang penting ia bukan pukul dan cubit. Bab taktik psikologi ini semua ibu ayah perlu terror!
Kita sering lihat kanak-kanak kecil menjerit dan menangis sambil menghentak-hentakkan kaki jika tidak mendapat apa yang mereka inginkan. Jika dipujuk dan dijanjikan untuk memenuhi keinginan mereka, maka berhentilah mereka daripada membuat perangai.
Namun, kejadian anak membuat perangai atau tantrum pasti akan berulang. Adakah betul cara si ibu tersebut menangani tantrum anak? Ketahui tips yang betul tentang bagaimana untuk bertindak jika anak menunjukkan tantrum. Cara ini boleh digunakan tidak kiralah di manapun anak anda menunjukkan tantrum; baik di rumah mahupun di tempat awam.

7 PERKARA INI ELAKKAN TANTRUM
Jika boleh, cuba untuk mengelakkan tantrum. Terdapat beberapa cara yang anda boleh lakukan bagi mengurangkan tantrum daripada berlaku:
- Kurangkan tekanan. Kanak-kanak yang penat, lapar dan terlebih rangsangan lebih mudah untuk menunjukkan tantrum
- Berikan perhatian yang positif. Jika anak anda menunjukkan perilaku yang baik, berikan pujian dan perhatian kepada kelakuan positif
- Fahami perubahan emosi anak. Kenal pasti perubahan mood mereka. Anda boleh bercakap tentang perubahan mereka dan membantunya untuk menguruskan perasaan. Jika anda dapat mengenali lebih awal akan perasaan mereka, anda boleh cuba untuk mengalih perhatian kanak-kanak daripada melayani emosi mereka yang tidak stabil
- Cuba berikan kanak-kanak kawalan untuk sesetengah perkara. Tawarkan sedikit pilihan seperti “Adik nak jus oren atau jus epal?” ataupun “Adik nak berus gigi sebelum mandi ke ataupun selepas mandi?” Dengan cara ini anda membantu anak anda untuk memilih, berbanding dengan jika anda bertanyakan “Adik nak berus gigi sekarang?”- yang jawapannya sudah tentu “taknak”
- Kenal pasti punca tantrum. Contohnya, si kecil mungkin akan mengalami tantrum semasa anda berada di pusat membeli-belah. Jadi, anda boleh rancang lebih awal untuk menghadapi kemungkinan situasi tersebut atau menukar persekitaran bagi mengelakkan tantrum. Sebagai contoh, mungkin anda boleh pergi ke pusat membeli-belah selepas waktu meridap anak anda ataupun selepas mereka menikmati snek
- Alih perhatian anak anda. Ambil peluang untuk mengubah sekejap perhatian anak anda dengan cara menawarkan mereka benda lain. Mulakan aktiviti baru untuk menggantikan barang yang mereka tidak dapat
- Bercakap tentang emosi dengan anak anda. Apabila anak anda berperang dengan emosi sendiri, galakkan mereka untuk bercerita tentang perasaan yang mereka alami dan puncanya. Contohnya, “Adik buang mainan tu sebab apa? Dah tak boleh guna? Apa lagi yang adik boleh buat?”

KALAU DAH ANAK TANTRUM, APA PERLU IBU AYAH BUAT?
Tantrum akan tetap berlaku walau bagaimana cara pun anda cuba untuk mengelakkannya. Kadangkala ia di luar kawalan, ia perlu diakui! Berikut merupakan cara untuk membantu anda mengendalikan anak tantrum:
#1 Ambil masa untuk bertenang jika anda perlukannya. Situasi akan menjadi lebih sukar jika anda berada dalam keadaan marah. Tarik nafas dalam-dalam dan kawal emosi anda. Jika anda perlu bersuara, pastikan anda mengawal suara anda dan jangan melenting.
#2 Akui akan perasaan anak anda. Contohnya, “Adik kecewa kan tengok aiskrim adik jatuh?” Dengan cara ini, anda dapat membantu mengelakkan anak anda berkelakuan luar kawalan dan memberikan si kecil peluang untuk membetulkan semula emosinya
Tunggu sehingga anak habis tantrum sebelum mula bercakap. Dekati anak anda supaya dia tahu anda berada dengannya. Akan tetapi, jangan cuba untuk bertanyakannya sebab ataupun mengganggunya.

#3 Bertanggungjawab apabila perlu. Jika tantrum berlaku disebabkan anak anda mahukan sesuatu barang, jangan berikannya apa yang dia inginkan. Jika anak anda tidak mahu membuat sesuatu, gunakan pertimbangan anda. Contohnya, jika anak anda tidak mahu keluar dari bilik mandi, lebih selamat jika anda menarik keluar palam berbanding mengangkatnya keluar.
#4 Sentiasa konsisten dan bertenang dalam pendekatan anda. Jika kadangkala anda menurut kemahuan anak semasa dia menunjukkan tantrum, dan adakalanya tidak mahu mengikut kehendaknya, maka masalah akan menjadi lebih teruk.
#5 Jika anak anda berada di luar kawalan, pegang anak anda erat-erat dan tenangkannya. Beritahunya bahawa anda sayangkannya dan tidak akan memberikan apa yang dia mahukan. Biar anak anda tahu bahawa tantrum bukanlah perlakuan yang baik. Jika ia masih tidak membantu, keluarkannya daripada situasi itu dengan cara meletakkannya pada fasa time-out untuk membiarkannya bertenang.
#6 Apabila anak anda berkelakuan baik, berikannya ganjaran berbentuk pujian.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak Tak Pandai Nak Buat Kawan Baru? Ibu Ayah Kena Ajar Si Kecil 7 ‘Skill’ Ini

Seiring dengan peningkatan usia si manja, perkembangan sosial kanak kanak juga perlu diperluaskan. Terdapat 7 skil perkembangan sosial anak yang perlu anda terapkan dalam diri mereka.
Jom baca!
Perkembangan sosial kanak kanak
Kanak-kanak yang mempunyai perkembangan sosial yang seimbang pastinya akan memiliki hubungan dengan rakan sebaya yang lebih baik. Ini kerana ia membantu kanak-kanak untuk mudah berinteraksi dan bergaul bersama rakan mereka.
Namun, manfaat perkembangan sosial anak tidak terhenti setakat untuk penerimaan sosial semata-mata. Sudah pastinya ia menawarkan beberapa manfaat lain untuk kehidupan si kecil.
Sebagai contoh, dalam 1 kajian yang dilakukan pada tahun 2019 mendapati, kanak-kanak yang dihantar ke pusat asuhan dan mempunyai kemahiran sosial yang baik akan kurang mengalami tekanan.

Berada jauh daripada keluarga mungkin akan memberikan tekanan kepada kanak-kanak, ditambah pula dengan kurangnya skil sosial mengakibatkan tekanan itu semakin membebankan.
Penyelidik menyifatkan kanak-kanak akan mengalami penurunan hormon kortisol apabila mereka mempelajari kemahiran sosial baharu. Malahan, kanak-kanak yang mudah bergaul dengan rakan sebaya akan mudah memperolehi kawan baharu.
Jadi ini bererti skil sosial pada kanak-kanak adalah penting. Tetapi, bagaimana ingin membentuk perkembangan sosial kanak-kanak?
Pembentukan skil sosial kanak-kanak
Skil sosial adalah kemahiran yang kita gunakan setiap hari bagi berinteraksi dan berkomunikasi dengan individu lain. Ia termasuk komunikasi lisan dan bukan lisan seperti ucapan, isyarat, ekspresi wajah dan bahasa badan.
Pengetahuan tentang peraturan bertulis dan yang diaplikasi dalam kehidupan seharian membolehkan seseorang individu untuk memiliki kemahiran sosial yang kukuh.
Begitu jugalah kepada kanak-kanak, kemahiran sosial adalah penting untuk membolehkan mereka berinteraksi dengan bukan sahaja rakan sebaya, bahkan melibatkan individu di sekeliling mereka.
7 skil sosial kanak-kanak yang penting
Kanak-kanak yang kurang kemahiran sosial dan emosi cenderung untuk mengalami isu seperti buli, perhubungan harian dan juga melibatkan undang-undang. Mereka juga dikatakan akan lebih bergantung kepada bantuan sekeliling.
Berita baiknya, perkembangan sosial merupakan 1 perkara yang boleh diajar. Jika anda berasakan si kecil mungkin kurang kemahiran sosial, jangan risau! Anda tidak pernah terlewat untuk mendidik mereka.

Berikut disenaraikan 7 kemahiran sosial yang perlu diterapkan dalam diri anak anda:
Berkongsi
Kesanggupan untuk berkongsi makanan atau permainan adalah antara cara terbaik membantu si kecil untuk mempunyai dan kekal berkawan. Berdasarkan kajian pada tahun 2010 yang diterbitkan dalam Psychological Science, kanak-kanak seawal usia 2 tahun akan menunjukkan keinginan untuk berkongsi dengan individu lain hanya apabila sumber yang mereka miliki banyak.
Kanak-kanak pada usia 3 hingga 6 tahun akan lebih mementingkan diri daripada berkongsi apabila sumber yang dimiliki sedikit. Pada usia 7 atau 8 tahun, kebanyakan kanak-kanak lebih prihatin dan bersedia berkongsi.
Secara keseluruhan, kajian menunjukkan kanak-kanak yang berkeyakinan diri lebih mudah berkongsi. Tindakan tersebut juga membuatkan mereka berasa lebih baik tentang diri mereka. Jadi ajarkan anak anda berkongsi untuk tingkatkan rasa yakin dalam diri mereka
Bekerjasama
Ia melibatkan kerjasama bagi mencapai matlamat. Kanak-kanak yang bekerjasama akan lebih mematuhi permintaan individu lain. Mereka juga akan menyumbang, mengambil bahagian dan membantu.
Pada usia 3 ½ tahun, kanak-kanak boleh mula bekerjasama dengan rakan sebaya bagi matlamat yang sama. Ia mungkin sekadar melibatkan kerjasama untuk membina menara mainan bersama-sama.
Ada kanak-kanak mungkin akan mengambil posisi sebagai pemimpin, sementara yang lain akan lebih selesa sebagai pengikut. Apa pun, bekerjsama adalah 1 peluang untuk anak-anak belajar tentang diri mereka.
Mendengar
Bukan sekadar duduk diam semata-mata, tetapi ia melibatkan proses penyerapan maklumat yang disampaikan seseorang. Mendengar adalah 1 komponen penting dalam komunikasi sihat.
Ini merupakan antara kemahiran sosial kanak-kanak yang perlu ditekankan dalam kehidupan si kecil. Ia dapat membantu anak untuk lebih berjaya di sekolah dengan kemampuan mendengar apa yang disampaikan guru.
Mengikuti arahan
Kanak-kanak yang sukar mengikuti arahan adalah lebih cenderung untuk mengalami masalah kemudian hari. Disebabkan itu, adalah penting untuk si kecil mempunyai keupayaan menerima dan mengikuti arahan.
Jika anak melakukan kesilapan daripada arahan yang diberikan, ia adalah normal. Ini kerana kanak-kanak sememangnya mudah terganggu dan lupa apa yang harus mereka lakukan. Anggap kesilapan tersebut sebagai cara mempertajamkan kemahiran mereka.
Hak privasi
Kanak-kanak mungkin sukar memahami apa itu hak privasi tetapi itu tidak bermakna mereka boleh berbuat sesuka hati mereka. Atas sebab itu adalah penting untuk mengajar anak menghormati hak privasi individu. Sebagai contoh, anda boleh mengajar si kecil untuk mengetuk pintu yang tertutup sebelum membukanya.
Komunikasi mata
Hubungan mata ketika berkomunikasi adalah 1 skil sosial kanak-kanak yang perlu dipupuk. Anak anda mungkin malu, tetapi terangkan kepada mereka pentingnya untuk membuat hubungan mata ketika berkomunikasi.
Ia mungkin sukar, tetapi anda boleh memberikan galakkan dan pujian kepada anak jika mereka berjaya membuat hubungan mata apabila bercakap dengan seseorang.
Mempunyai adab
Ucapan terima kasih, maaf dan tolong merupakan antara adab yang paling penting dalam kehidupan seseorang, khususnya si kecil. Ia membantu si kecil mendapatkan pujian yang sewajarnya apabila mereka berjaya melakukannya tanpa sebarang paksaan.
Sudah tentu ia memerlukan kesabaran. Tetapi percayalah ia merupakan perkembangan sosial anak paling utama yang perlu sentiasa diterapkan dalam kehidupan.
Sentiasa mengingatkan si kecil
Ia adalah normal untuk si manja terlupa apa yang telah anda ajarkan kepada mereka. Usah marah, sebaliknya tegurlah dengan cara yang baik dan berhemah. Sentiasa mengingatkan mereka tentang kepentingan skil sosial dalam kehidupan mereka.
Kredit: Hello Doktor

KLIK UNTUK DAFTAR PA&MA EWORSHOP
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


