Jangan berhenti memeluk anak-anak baik lelaki atau perempuan. Walaupun anak dah makin membesar pelukan itu juga mampu beri rasa selamat, ketenangan dan meredakan tekanan.
Pelukan ayah ibu dapat meredakan ledakan emosi yang dialami anak. Apabila anak-anak mengalami ‘temper tantrum’ atau tekanan, anak menghadapi masalah dengan regulasi emosi. Pelukan mengurangkan hormon stres (cortisol) dan menaikkan hormon kasih sayang (oxytoxin) yang meredakan emosi.
Bukan itu sahaja, pelukan anak-anak juga dapat meredakan tekanan yang sedang dialami ayah dan ibu.
Jika dari kecil diamalkan, tidak ada sesiapa yang akan merasa kekok. Jika baru hendak bermula, teruskanlah, tidak ada salahnya. Tidak haram bagi ibu memeluk anak lelaki dan tidak haram bagi ayah untuk memeluk anak perempuan.
Jika ada yang melarang ayah dari memeluk anak perempuan dan sebaliknya, itu bermakna orang yang melarang itu mungkin pernah mengalami pengalaman yang tidak elok dengan ayahnya atau dengan lelaki dewasa rapat dalam keluarganya. Oleh itu nasihat tersebut tidak releven untuk keluarga normal dan harmoni seperti keluarga anda.
Peluklah anak lelaki dan anak perempuan anda. Itulah cara termudah dan termurah untuk membina ‘connection’ pada zaman di mana kita sering sibuk terkejar-kejar masa.
Pelukan tidak menjadikan anak lelaki lembik, sebaliknya ia memberi kekuatan dalaman kepada mereka.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy