Pemergian wanita yang menjadi mangsa keracunan puding buih semalam sebenarnya banyak membuka mata banyak pihak. Sebagai ibu bapa, kita tidak terlepas dalam menyediakan juadah berasaskan telur kerana telur sememangnya cukup disukai anak-anak kecil kita. Selain dibasuh terlebih dahulu, pastikan telur di masak. Itu sewajarnya dilakukan ibu bapa.
Telur mentah sememangnya mengandungi khasiat yang tinggi namun berisiko mengandungi bakteria Salmonella yang berbahaya untuk semua. Walaupun risiko Salmonella dalam telur hanya 1 dalam 20,000 telur, namun hanya sebiji telur yang berkuman boleh merebakkan bakteria kepada telur lain dan makanan berdekatan. Kuman pada telur walau kebanyakannya berada pada kulit, namun boleh ada dalam isi telur juga.
Perkongsian Dr Redza Zainol ini wajar dijadikan panduan untuk ibu ayah sebelum menyediakan menu berasaskan telur untuk anak. Nampak mudah dan remeh, namun penting untuk memeriksa samada telur yang bakal diberikan kepada anak itu masih baru ataupun telur lama yang sudah tidak boleh dimakan. Penting!
Puas ditanya berkali-kali, barulah ibu ni teringat yang dia ada gunakan telur yang hampir tamat tempoh dalam masakannya. Anaknya makan pada waktu pagi dan mula muntah serta cirit birit pada sebelah malamnya.
Esoknya, dia mula demam tinggi dan jadi lemah tak bermaya. Dah 15 kali muntah dan cirit birit sampai kosong isi muntahnya. Keputusan sampel najis yang dihantar ke makmal memang sah ada bakteria Salmonella non typhi.
Bakteria Salmonella ni selalunya berpunca dari makanan seperti telur dan daging yang tak dimasak dengan betul atau dari susu yang dah tamat tempoh. Jangkitan oleh bakteria Salmonella ni dikira bahaya jika tak dirawat dengan segera.
Cara Bezakan Telur Lama & Telur Baru
Saya kongsikan 4 cara mudah yang boleh bantu kita bezakan telur tu masih segar atau tak.
1.Goncangkan telur. Kalau dengar bunyi kocakan, maksudnya telur itu dah lama. Telur yang segar tak akan mengeluarkan bunyi bila digoncangkan.
2.Rendam telur ke dalam air sejuk dan perhatikan telur tu. Jika telur turun sepenuhnya sampai ke dasar gelas bermakna telur masih segar.
Jika terapung di tengah-tengah gelas, telur masih boleh dimakan. Kalau telur terapung di permukaan air maksudnya telur itu tak lagi segar dan tak boleh dimakan.
3. Bau
Kalau dari luar telur kita dah boleh bau busuk, ertinya telur tu mesti terus dibuang. Telur segar tak mengeluarkan apa-apa bau.
4. Kulit telur
Periksa di sekeliling kulit telur untuk pastikan tak ada tanda retak. Jika ada kesan retak, kemungkinan besar telur tu dah busuk kerana bahagian dalam sudah tak dilindungi oleh kulit telur.
Jika was-was, buang terus telur tu. Tak berbaloi untuk diambil risiko pada anak kita.
Moga lagi ramai ibu bapa yang peka ketika menyediakan makanan yang selamat untuk anak-anak.
Baca: Elak Keracunan Makanan Sebelum Guna Telur, Uji Dahulu Masih Elok Atau Sudah Rosak!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI