Mengekalkan berat badan yang ideal merupakan sesuatu sangat sukar namun penting. Ini kerana kekurangan atau terlebih berat badan akan memberi impak terhadap kesihatan anak anda dan meningkatkan risiko dijangkiti penyakit kronik. Berikut merupakan 10 panduan anak anda mempunyai berat badan ideal.
Pilih makanan yang sihat
Kanak-kanak lebih cenderung menggemari makanan yang kurang bernutrisi. Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi penentu dalam pemilihan stok makanan yang selalunya disimpan di rumah kerana kanak-kanak akan makan makanan yang terdapat di peti ais atau di meja makan. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pembelian makanan yang tidak sihat. Namun begitu, anda masih boleh sekali sekala membeli snek kegemaran anak anda.
Biarkan mereka memilih makanan sendiri
Anda boleh membenarkan anak anda memilih jenis dan kuantiti makanan yang ingin dimakan mereka berdasarkan pilihan makanan sihat yang terdapat di rumah. Pendekatan ini sekaligus dapat mengajar anak anda membuat pilihan makanan yang sihat. Walaupun pendekatan ini kelihatan memberi banyak kebebasan kepada anda, ini tidak akan menjadi masalah sekiranya pilihan makanan mereka adalah hanya dalam kalangan makanan yang sihat.
Jangan terlebih makan
Pastikan anak anda berhenti makan apabila mereka sudah kekenyangan. Kebanyakan ibu bapa cenderung menyuruh anak mereka menghabiskan makanan mereka. Namun begitu, pendekatan ini hany akan membuat mereka tidak dapat mengikut kemahuan tubuh badan mereka sendiri.
Anda hanya perlu membiarkan mereka dan jangan menyuruh anak anda menghabiskan makanan mereka jika mereka sudah mengadu kenyang. Ini akan mengelakkan mereka terlebih makan dari yang sepatutnya.
Biarkan anak anda mencuba aneka jenis makanan
Kecenderungan terhadap sesuatu makanan akan bermula sejak awal usia lagi. Oleh itu, anda perlu menawarkan aneka makanan kepada mereka. Anda boleh mula memberikan aneka jenis makanan baharu kepada anak anda tetapi jangan memaksa mereka. Sebaliknya, tawarkan mereka secebis daripada makanan itu untuk mereka mencubanya.
Pelbagaikan menu
Kanak-kanak mungkin ada makanan kegemarannya tersendiri. Namun begitu, mereka juga mungkin ingin mencuba makanan baharu jika menepati citarasanya. Ketika makan di luar, biarkan anak anda mencuba makanan baharu yang tidak pernah dicuba oleh mereka. Anda juga boleh menawarkan makanan anda sedikit atau memesan pemanis mulut untuk mereka mencubanya.
Minum minuman yang kurang kalori
Minuman soda atau bergula mempunyai kalori tambahan dan tidak bagus untuk anak anda. Ini hanya akan meninggikan risiko anak anda mengalami obesiti. Sebaliknya, galakkan anak anda untuk minum lebih banyak air putih dan susu yang sememangnya merupakan minuman terbaik untuk mereka. Kanak-kanak juga tidak memerlukan jus yang banyak walaupun ia merupakan jus yang asli. 4 hingga 6 auns sehari sudah memadai buat mereka.
Kawal pengambilan gula
Pengambilan manisan tidak menjadi masalah buat kanak-kanak namun jangan jadikan manisan ini sebagai punca utama anak anda mahu makan malam. Apabila manisan ini menjadi habuan kerana berjaya menghabiskan makan malam, kanak-kanak akan menganggap nilai manisan adalah lebih tinggi berbanding makan malam mereka. Anda perlu memastikan mereka tidak melebihkan manisan daripada makanan lain.
Jangan gunakan makanan sebagai ganjaran
Apabila makanan digunakan sebagai bentuk ganjaran di atas suatu pencapaian, mereka akan mula menganggap makanan adalah satu cara untuk mengawal tekanan dan emosi mereka. Sebaliknya, anda boleh menunjukkan penghargaan anda dengan ungkapan, pujian, pelukan dan perhatian berbanding pemberian makanan.
Jangan galakkan perbuatan makan sambil menonton televisyen
Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengurangkan waktu menonton televisyen juga dapat mengurangkan lemak dalam badan mereka. Makan di hadapan televisyen akan membuatkan mereka sukar untuk menumpukan perhatian terhadap kekenyangan mereka lalu mengundang kepada masalah terlebih makan. Anda perlu hadkan waktu mereka dengan televisyen atau komputer dan biarkan mereka akan melakukan aktiviti lain yang lebih sihat.
Jadi contoh yang baik
Kanak-kanak akan menjadikan ibu bapanya sebagai role model. Oleh itu, anda sendiri perlu mengamalkan tabiat pemakanan yang baik. Sebagai contoh yang baik, tunjukkan kepada mereka bahawa anda juga makan makanan atau snek yang sihat, makan di tempat makan yang sepatutnya serta tidak pernah terlepas waktu makan. Elakkan makan snek yang tidak berkhasiat di hadapan anak.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI