Bermacam kenangan pahit dan manis yang dilalui oleh ibu mengandung. Jika awal kehamilan, ibu perlu melalui kesukaran morning sickness yang sangat tidak selesa. Tetapi apabila selesai trimester pertama, gejala mual, loya, muntah dan hilang selera makan hilang dengan sendirinya.
Ketika itu ibu mengandung sudah mula merasakan nikmatnya berbadan dua. Gembira, ceria dan bahagia sukar digambarkan dengan kata-kata. Bagi yang pertama kali hamil, rasa teruja makin menjadi-jadi apabila merasakan tendangan pertama si kecil.
Sebenarnya sebelum itu lagi sudah tertanya-tanya macam mana agaknya rasa bila bayi menendang. Maklumlah selalu dengar cerita pengalaman kawan-kawan yang mengandung, membuatkan dir sendiri rasa tak sabar hendak merasakannya sendiri.
Ia sememangnya pengalaman paling mahal dan menyeronokkan. Ibu hamil boleh ketawa sendirian kerana geli apabila bayi aktif bergerak. Biarpun geli tetapi ibu sangat bahagia dan seronok menikmati tendangan kecil tersebut.
Sebenarnya bila kali pertama bayi bergerak?
Menurut doktor pakar perbidanan & sakit puan, setiap ibu mengandung akan merasakan pergerakan anak pada masa yang berbeza-beza. Bagi yang baru pertama kali mengandung pergerakan anak akan dirasakan agak lambat iaitu pada minggu ke-20 dan ke atas. Manakala bagi ibu yang mengandung anak kedua dan seterusnya, pergerakan bayi dirasakan lebih awal iaitu sekitar minggu ke-16 kehamilan.
Bagaimana agaknya rasa pergerakan bayi itu?
Awalnya pergerakan bayi dirasakan hanya seperti jentikan sahaja. Kadang kala ibu sendiri tidak sedar pun anak dalam kandungan sudah mula bergerak. Biasanya tendangan bayi paling kuat dirasakan pada pertengahan kandungan. Ketika ini bayi sangat aktif bergerak sehingga kadang kala ibu sukar untuk tidur lena di waktu malam kerana bayi aktif bergerak.
Bagaimanapun apabila usia kandungan masuk minggu ke-34, pergerakan bayi akan kurang kuat tetapi ketika ini ibu perlu lebih prihatin kepada jumlah bilangan pergerakan kerana apa yang penting adalah bilangan pergerakan bayi bukan kekuatan dia bergerak.
Pada awal kandungan bayi banyak bergerak sebab masih banyak ruang dalam rahim ibu tetapi selepas 32 minggu ke atas, kepala bayi sudah turun ke bawah tetapi jika bayi dalam posisi lain, ibu disarankan mengikuti lebih banyak pemeriksaan dan perbincangan dengan doktor tentang cara kelahiran yang sesuai.
Kenapa ibu disuruh mengira pergerakan?
Ibu mesti mengira pergerakan anak kerana bayi yang kurang bergerak atau kurang aktif menunjukkan ada masalah lain. Jika pergerakan bayi kurang, dibimbangi bayi ada masalah lain seperti ibu kurang air ketuban atau perkembangannya terbantut. Jadi, ia memerlukan lebih pantuan daripada doktor.
Mengapa doktor biasanya menyuruh ibu mengira sebanyak 10 kali sahaja pergerakan bayi?
Sebenarnya ini adalah kiraan minimum yang doktor sarankan dalam sehari tetapi sebenarnya bayi bergerak lebih daripada 10 kali dalam sehari.
Bagaimana hendak mengira 10 pergerakan itu dalam sehari?
1. Ibu disarankan mula mengira pergerakan bayi dari pukul 9 pagi hingga 9 malam (minimum 10 pergerakan).
2. Oleh kerana ibu sibuk bekerja di pejabat atau di rumah dan kurang prihatin dengan pergerakan bayi jadi ibu disarankan mengira dahulu pergerakan anak selama dua jam sehingga mendapat 10 kali pergerakan.
3. Pergerakan atau tendangan dikira sebagai satu kali jika dalam satu-satu masa bayi bergerak melebihi sekali. (Bayi bergerak secara bertubi-tubi atau tidak berhenti-henti).
4. Pergerakan bayi terlalu lemah misalnya bila sudah pukul 9 malam pergerakan bayi masih belum mencapai 10 kali kemungkinan ada masalah pada bayi dan kandungan. Ibu disarankan segera datang ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
5. Pergerakan yang terlalu aktif juga perlu dipantau. Misalnya sekiranya sebelum pukul 12, tendangan dan pergerakan bayi sudah mencapai kiraan 10, dibimbangi bayi meronta-ronta di dalam kandungan disebabkan terbelit tali pusat.
Oleh itu ibu hamil mesti mematuhi arahan doktor untuk mengira jumlah pergerakan bayi dalam kandungan apabila sudah memasuki trimester ketiga. Jangan pandang remeh arah tersebut kerana ia penting untuk memantau keadaan bayi dalam kandungan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI