Jangan sampai terlambat. Kalau betul sayangkan ibu ayah, selalulah beritahu mereka. Pastikan mereka tahu betapa kita sayangkan mereka. Garang mereka bertempat, setiap kali kita dirotan dulu tu semuanya untuk membentuk kita jadi ‘manusia’.
Seperti yang dikongsikan pembaca Pa&Ma kali ini, betapa menyesalnya dia kerana begitu ‘berat’ mengakui rasa sayang pada si ayah. Bila baca luahan dia, sedih sangat rasa. menitik air mata.
Admin tolong siarkan cerita aku ni. Aku nak semua orang baca dan jadikan iktibar. Kena sayang ayah, hormat ayah. Takut bila dia dah takde, baru nak menyesal. Time tu dah tak guna. Itulah cerita hidup aku.
Lelaki ego. Aku mengaku, sebab aku lelaki. Ayah aku pun lelaki. Sama-sama ada pendirian sendiri. Nak menang aje kerjanya. Aku dengan ayah memang tak pernah sebulu angin. Sejak kecik lagi, memang selalu bergaduh dengan ayah. Seawal aku 15 tahun, aku dah berani naik suara dengan ayah.
Ayah aku ni orangnya tegas. Garang gila. Maklumlah askar. Dia memang pantang kalau anak-anak dia buat pasal. Tapi memang aku lah yang selalu buat masalah. Berapa banyak jiran datang mengadu hal aku pada ayah.
Kena Rotan Sampai Berbirat
Aku ingat waktu aku form 5. Aku kantoi pancitkan tayar Ustaz Harun. Asalnya benda ni berlaku sebab Ustaz Harun tegur aku dengan kawan-kawan melepak tepi parit. Lepak-lepak budak, sambil melepak mengorat anak dara. Lepas tu main gitar nyanyi-nyanyi.
Geram punya pasal, malam tu waktu solat Isyak kat surau aku plan nak pancitkan tayar Ustaz Harun. Settle solat, aku cepat-cepat keluar, sebab bahaya kalau lambat. Nanti ada yang nampak pulak. Aku dengan member, namanya Ijam. Cepat-cepat kami pergi ke motor Ustaz.
Nak jadikan cerita kena tangkap. Kantoi! Ada yang nampak kami nak pancitkan tayar. Bising-bising waktu tu, sampai ayah aku pun keluar menjenguk. Bila dia dapat tahu anak dia yang buat hal, terus ditariknya aku keluar dari surau tu. Penampar satu kali aku dapat! Lepas tu dia kata, balik siaplah. Memang betul teruk aku kena. Balik tu ayah dah tunggu dengan rotan dia. Bukan sembarangan rotan, dia raut sendiri dari pelepah sawit. Sekali libas, boleh pengsan sakitnya.
Teruk aku kena malam tu. Emak menangis, merayu-rayu minta ayah berhenti. Kakak-kakak aku semuanya menangis, nak cakap dengan ayah tak berani. Tapi memang terbaiklah hasil kena rotan tu, penuh birat belakang badan. Sakitnya, Tuhan je yang tahu. Kalau waktu tu pukul anak macam ni kena tangkap polis, aku rasa ayah aku meringkuk kat dalam dah!
Gaduh Teruk Dengan Ayah
Habis SPM aku cakap dengan emak, malas nak sambung belajar. Aku kata cita-cita aku nak jadi pomen. Waktu tu aku berkawan dengan seorang abang kat kampung, dia ada bengkel sendiri. Dia banyak ajar aku cara-cara betulkan kereta. Aku jadi minat dengan kereta. Sebab tu aku cakap dengan emak tak nak sambung belajar dah. Aku siap minta emak belikan aku kereta second hand nak bikin-bikin kata aku. Tapi, ayah aku tak setuju.
Ayah aku kata aku anak jantan. Jadilah askar macam dia. Punyalah bengang aku. Aku cakap nak buat jadi askar. Anak sendiri tak pandai jaga, berangan nak jaga negara. Teruk aku bergaduh dengan ayah waktu tu. Merasalah penampar sedas dua. Penumbuk ayah pun naik kat muka. Pergh! Pecah mulut. Memang ayah aku marah betul aku tak nak sambung belajar.
Malam tu aku dah tak tahan. Aku bungkus kain baju, salam emak. Minta maaf pada emak. Lepas tu aku keluar dari rumah. Aku rasa lega. Dapat lepas dari cengkaman ayah aku. Tak ada tempat nak pergi, aku minta tumpang rumah Ijam malam tu. Ijam ni memang kawan baik aku, sampai sekarang kami masih berhubung. Bini-bini kami pun berkawan baik.
Dia lah yang tahu segala cerita pahit manis kehidupan aku dengan ayah. Aku tumpang rumah Ijam dalam sehari dua, lepas tu aku ke KL. Dia tak bagi aku pergi, sebab katanya kami tak ada kenalan kat sana. Aku tetap berdegil, jadi dia punya sayang kat aku, dia pun ikut sekali.
Kerja Mekanik, Sewa Bilik RM200 Dengan Ijam
Rasanya ada juga dalam 2 minggu aku dengan Ijam tidur kat masjid waktu kami datang KL. Kerja tak ada, rumah tak ada. Berbekalkan duit yang emak aku dan Ijam bagi, lepaslah buat beli makan. Sambil tu cari kerja. Takkan nak kalah dengan ayah aku kan? Sebagai jantan, aku kena buktikan pada ayah aku, yang aku boleh hidup tanpa dia.
Akhirnya rezeki menyebelahi aku dan Ijam. Aku dapat kerja jadi pomen, Ijam kerja kat pasar raya. Bolehlah untuk buat hidup. Dapat jumpa sebuah bilik sewa. Sebulan RM200. Punya sempit, tapi muat untuk kami berdua. Itulah pengalaman kami duduk berdua. lama juga kami kerja di KL dan duduk di bilik sewa tu.
Dalam 2 tahun juga. Dalam tempoh tu, susah senang kami share sama-sama. Kami berjaya buat bisnes sama-sama. Dapat modal dari bos aku. Memang dia banyak duit. Dia kata nampak kesungguhan aku, jadi dia nak support aku buat bisnes. Si Ijam ni dia bijak sikit part pengurusan duit dan kira-kira, jadi aku ajak dia bisnes sekali.
Tak senang, tapi tak mustahil. Kerja bagai nak gila. Akhirnya bisnes aku berjaya. Ijam minta izin untuk dia usahakan bisnes sendiri. Tapi katanya tetap akan bantu aku. Memandangkan dia suka memasak, sebab emak dia kat kampung memang ada gerai. Jadi dia nak buat bisnes makanan.
Aku support dia. Tapi aku kata, bisnes ni buat sama-sama sampai kami masing-masing dah berjaya. Lepas 5 tahun usahakan kedua-dua bisnes ni, aku dah berjaya ada 2 bengkel. Ijam cuma ada satu cawangan tapi dia ada buat bisnes katering jugak.
Beli Kereta Untuk Ayah
Walaupun aku bergaduh dengan ayah, setiap kali raya aku balik. Sebab sibuk, aku jarang balik kampung. Tapi duit belanja untuk emak dan ayah aku hantar. Aku ni anak bongsu. Kakak aku ada empat orang. Jadi selalu juga emak minta aku balik sebab katanya ayah rindu. Dia kata, aku sajalah anak lelaki dia. Tapi dia tak pernah nak beritahu dia rindu, sebab jatuhlah ego dia.
Aku balik kampung satu hari tu, bawa kereta untuk ayah. Aku tahu ayah bangga dengan aku. Waktu aku balik tu, dia dah tunggu depan rumah. Bila aku tunjukkan kereta baru untuk ayah, senyum simpul dia. Ucap juga terima kasih, tapi nampaklah masih tegas. Ayah kan, pusing-pusing celah mana tetap aku sayang. Aku tahu, dia pun sayangkan aku.
Tapi aku tak sangka, itulah salahnya aku. Sebab sepanjang aku bergaduh dengan ayah tu, tak pernah sekali pun aku beritahu yang aku sayangkan dia. Itulah yang aku sesalkan sampai sekarang. Bila aku dah serius nak berkahwin dengan gf aku waktu tu (sekarang dah jadi wife aku), aku minta izin pada emak dan ayah. Tak ada halangan pun dari pihak mereka. Mereka setuju saja walaupun aku masih muda, lebih kurang 22-23 tahun. Tapi mungkin sebab aku dah stabil dari segi kewangan, orang tua aku pun izinkan.
Pengakuan Lain: [“Hanya Layan Keluarga Ayu.” Cucu Jauh Hati, Nenek Pilih Kasih. Rasa Tak Adil!”]
Jatuh Tangga, Kena Serangan Jantung
Waktu aku nak kahwin, sibuklah ayah besarkan bilik aku. Nak bagi cantik katanya. Biar selesa nanti aku dengan wife nak duduk situ. Macam-macam dia buat. Dah besarkan bilik, dia cat pula cantik-cantik. Minta emak hiaskan bilik. Seronok agaknya nak dapat menantu perempuan tunggal.
Satu hari tu dia nak buat wiring, sebab nak pasang lampu untuk bilik aku. Dia pun memanjat sebab tinggi kan? Emak dah larang, tapi ayah tetap berdegil. Dibuatnya juga kerja tu. Entah macam mana, mungkin ayah terkenan serangan jantung waktu tu, dia jatuh. Bila emak jumpa dia, dia dah tak sedarkan diri. Terus emak minta tolong jiran sebelah untuk bawa ayah ke hospital.
Bergegas aku dengan kakak-kakak semua balik ke kampung. Sedihnya bila tengok keadaan ayah. Dia masih tak sedarkan diri. Wayar berselirat sana-sini. Doktor kata ada darah beku pada kepala ayah. Sekarang ayah koma, tapi tak pasti seberapa lama. Doktor tak nak berikan harapan. Lebih kurang seminggu juga ayah terbaring koma, masih tak menunjukkan tanda-tanda akan pulih.
Doktor kata dah tak ada harapan. kami perlu cabut alat bantuan pernafasan ayah. Katanya, bila dicabut ayah akan ‘pergi’. Jadi kami sepakat untuk ikut saranan doktor. Setakat itulah panjangnya umur ayah. Dia meninggalkan kami sekeluarga. Sedih sungguh rasanya. Semata-mata dia nak sediakan bilik yang selesa untuk aku dan isteri, dia jatuh tangga. Akulah yang paling terkesan dengan pemergian ayah, sampai aku minta untuk tangguhkan perkahwinan. Mujur isteri dan keluarganya faham. Terima kasih sayang…
Pengakuan Lain: [“Jangan Berhenti Doakan Anak.” Ibu Kongsi Cara Didik Anak, Tak Perlu Marah Atau Pukul]
Paling menyedihkan, ayah macam dah boleh agak dia akan meninggal dunia. Dia ada tulis sepucuk surat untuk aku. Ya, macam dalam filem kan? Tapi itulah yang berlaku. Ayah aku tulis surat dan dalam tu dia luahkan perasaan dia. Dia minta maaf pada aku dan beritahu betapa dia bangga dan sayangkan aku. Ya Allah, remuknya hati aku. Sedihnya. Memang aku down sangat. Aku menyesal, sebab selama ni tak pernah beritahu yang aku pun sayangkan dia! Maafkan aku, ayah!
Untuk korang yang masih ada anak, hargailah mereka. Jangan malu mengakui yang korang sayangkan dia. Jagalah dia sebaik-baiknya. Jangan jadi macam aku, sampai hujung nyawa dia, tak sempat beritahu yang aku sayangkan dia.
Sekiranya anda mempunyai cerita atau pengalaman yang mahu dikongsikan dengan Pa&Ma, boleh klik KONGSI CERITA.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI