Jangan Malu Cakap Kita Sayang. Ini Kenangan Andai Pasangan ‘Pergi’ Dulu

Share

“Selagi pasangan ada depan mata, hargailah! Bila salah seorang tiada, baru kita akan rasa betapa sunyi tanpa insan yang kita sayang.” Ini yang diluahkan oleh Encik Khairul Abdullah, bapa kepada tiga anak lelaki yang membesarkan anak bersendirian setelah pemergian isteri pada Ogos 2019.

Jangan malu tunjuk kasih sayang

Menerusi perkongsiannya dalam Webinar Simpan SSPN x Pa&Ma, Detik Indah Bersama Si Manja, Encik Khairul Abdullah menitipkan beberapa pesanan kepada pasangan suami isteri agar jangan malu untuk menunjukkan kasih sayang.

“Macam saya sendiri, rasa rugi sangat tak ada banyak memori seperti video atau gambar dengan isteri. Sebelum ini kita rasa benda tu tak penting sangat, tapi bila isteri pergi dulu, rindu itu benar-benar buatkan hati ini sedih.

“Saya akui, bila rasa sedih sangat dan teringat arwah isteri, memang saya akan menangis. Walaupun orang kata tak elok tunjuk kesedihan depan anak tapi bagi saya cara ini tak salah.

“Ini seperti saya nak meluahkan pada anak, dan anak pun tak malu-malu untuk luahkan perasaannya. Selain itu jika anak-anak rindu ibunya, saya akan cepat-cepat peluk mereka,” katanya.

Semangat arwah isteri

Menurut Encik Khairul atau mesra dipanggil Super Daddy, kekuatannya membesarkan tiga anak adalah melalui semangat arwah isteri. Walaupun anak sulung saya seorang autism, tapi setakat ini masih lagi boleh urus walaupun ada ketikanya rasa ‘burn out’.

“Saya sanggup berhenti kerja selepas isteri pergi dan bekerja sendiri semata-mata nak urus anak. Sebab jika saya masih berkerja makan gaji, memang tak mampu nak urus sendiri dan mungkin terpaksa hantar ke kampung.

“Apabila difikirkan semula, dan ingat pesan isteri supaya membesarkan anak dengan tangan sendiri, saya nekad berhenti dan alhamdulillah rezeki untuk mereka tak putus walaupun saya melepaskan kerjaya pada gaji yang dah selesa.

“Saya nak anak-anak rapat dengan saya. Jadi bila kita ikhlas, tak semena-mena rezeki kami anak beranak sentiasa Allah permudahkan. Syukur sangat!,” kongsinya.

Arwah isteri banyak persiapkan diri jadi ayah hebat

Tambah Super Daddy ini lagi, dirinya sangat beruntung kerana sepanjang arwah isteri ada, arwah seorang yang sangat teliti. Saya tak kekok nak uruskan anak lepas dia pergi. Sebab masa arwah ada, dia dah biasakan saya buat kerja rumah dan urus anak. Alhamdulillah juga, bab memasak pun saya tiada masalah.

“Lagi satu, dia juga telah siap-siap buat simpanan untuk anak kami. Cuma yang dia tak sempat buat adalah tabungan pendidikan saja. Tapi lepas pemergiannya saya ambil keputusan membuka tabung pendidikan anak-anak demi masa depan. Sebabnya saya tak nak, bila saya juga dijemput ilahi, anak-anak terbiar. Sekurangnya bila ada tabungan, waris yang akan uruskan boleh guna untuk keperluan mereka,” ujarnya.

Dalam nada sebak, Encik Khairul turut berpesan pada suami-suami, jika isteri minta bantu, bantulah. Jangan berkira sebab kita tak tahu apa akan jadi pada masa akan datang. Mana tahu kalau isteri pergi dulu, disebabkan kita tak biasa urus anak dan rumah tangga, terus  hilang arah.

Jadi tak salah jika isteri nak persiapkan suaminya untuk sama-sama uruskan rumah tangga. Ambillah ini sebagai yang positif.

Hampir nak cederakan diri sebab rasa stres 

Sementara itu, ketika menjawab soalan mengenai pengalaman menjaga anak ketika musim PKP, Encik Khairul menjelaskan pengalaman itu sangat strugle buatnya sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital.

“Tahun 2020 ketika PKP kali pertama, saya sampai tahap anxiety kerana terlalu stres dan tak boleh nak keluar rumah buat aktiviti seperti biasa. Sampai rasa stres nak pitam, sakit dada, muntah-muntah dan bangun tidur rasa berpusing.

“Apabila jumpa doktor dan beritahu saya anxiety barulah saya mula belajar untuk kawal keadaan. Mana tak nya masa ni lah kita nak buat kerja, anak pulak buat hal macam-macam dalam rumah. Boleh bayangkan bagaimana suri rumah urus anak-anak.

“Apabila tahun kedua PKP, dah boleh urus dengan baik dan kurang rasa stres. Mujur juga saya cepat jumpa doktor. Kalau biar dan berterusan tak tahulah macam mana kesudahannya

“Saya nak nasihatkan kepada suri rumah jika ada perasaan ni, mintalah suami bantu. Tak ada istilah suri rumah goyang kaki. Kadang nak duduk 15 minit pun tak sempat,” kongsinya.

TIPS SUPER DADDY BUAT PASANGAN SUAMI ISTERI

1) Bantulah isteri. Isteri tak harap suami bagi duit banyak. Sebaiknya banyak kan bantu urus rumah tangga dan anak.

2) Jangan malu nak cakap “Saya Sayang Awak.. Abang Sayang Awak”. Suami isteri kena selalu beritahu, biarpun dah kahwin lama. (Ini saya rasa ralat sangat sebab kurang beritahu pada arwah isteri)

3) Banyak ambil video dan gambar sebagai kenangan. Simpanlah  untuk kenangan sebab benda ni tak boleh ulang balik dah bila salah seorang dah tak ada.

4) Sediakan kewangan untuk pasangan kita. Contoh ambil takaful atau apa yang patut sebagai persediaan untuk pasangan kita besarkan anak-anak. Ni bukan untuk suami saja tapi isteri pun kena buat jika mampu.

5) Sediakan fail setiap anak, jangan rahsiakan nombor akaun, pasword. Kongsikan juga nombor pin bank atau apa saja yang patut kita kongsi dengan pasangan. Sebabnya bila kita dah pergi dulu, semua urusan akan jadi lebih mudah. Tak payah nak sembunyi apa-apa dengan pasangan.

Nak tahu lanjut mengenai perkongsian Encik Khairul Abdullah ini, boleh klik video dibawah ini:

 

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy