Jujurnya ada yang malu-malu untuk berniaga sedangkan hakikatnya ilmu berniaga ini sudah tertulis di dalam al Quran sebagai resipi dan tip untuk berjaya. Ajar dan didiklah anak-anak kita untuk berniaga, jangan malu sebaliknya sokong mereka.
Perkongsian Dr Norzila Zakaria ini menarik juga untuk kita jadikan semangat untuk anak-anak berdikari dan punya pendapatan sendiri kelak. Latih anak-anak kita untuk berdikari dan punya pengalaman dalam bidang ini.
Sila baca dengan fikiran terbuka. Saya adalah produk pelajar yang tidak diajar berniaga sejak dari bangku sekolah. Oleh sebab itulah bila saya cuba berniaga, saya gagal.
Kali pertama dapat pegang duit sendiri ketika saya masih belajar. Ambil upah mengait ‘chair back’, zaman tu saya baru berusia 12 tahun. Upah mengait sama mahal dengan harga segulung benang bulu. Sakit tangan mengait tapi upahnya tidak berbaloi.
Kemudian saya ambil upah menjahit baju. Saya mula menjahit baju sendiri pada usia 11 tahun siap buat tulang belut di leher. Anak-anak zaman sekarang dah tak kenal apa itu tulang belut. Boleh tahan juga halusnya jahitan saya. Sebab tu bila saya mahu menempah baju saya perlu cari yang jahitannya lebih baik dari saya untuk rasa berbaloi.
Saya mula belajar menjahit seawal usia 9-10 tahun. Masih teringat sukarnya memahami memotong pesak baju kurung dan menjahitnya terbalik kanan dan kiri. Entah berapa kali buka jahitan sehingga lah sudah boleh memberi tip bagaimana memudahkan jahitan pesak.
Saya mengambil upah menjahit baju kurung lepas habis sekolah menengah. Ketika itu saya tidak pandai meletak harga upah.
“Ikutlah nak beri berapa pun” jawab saya bila orang tanya harga upah.
Ada yang bagi RM 10, RM15. Saya berkata demikian sebab saya bukan tukang jahit terlatih. Belajar menjahit dari emak tukang jahit kampung.
Mindset ketika itu nak buat baju sebab mahu tolong orang sahaja. Jahit tulang belut pun ambil masa dua jam baru siap (ketika itu) . Tidak berbaloi dengan upah RM10 ( 30 tahun yang lalu).
Kemudian semasa belajar di UKM Jalan Raja Muda Kuala Lumpur, saya meniaga kain, beli di Chow Kit. Dapat duit biasiswa MARA saya belikan kain yang telah siap dipotong 4 ela di pasar Chow Kit dan Jalan Tunku Abdul Rahman. Jual kepada kawan-kawan emak dan emak sedara di kampung.
Zaman tu tidak banyak kedai kain seperti sekarang. Corak pun memang tidak jumpa di kedai kain biasa di Banting. Bila jual saya ambik untung sikit saja dalam RM 5-10, boleh hutang pula tu. Ada yang bayar dua kali. Mana nak pusing modal!
Kemudian saya berniaga tudung bawal pula (setelah berkahwin dan tinggal di Kelantan). Kedai Kak Yah Golok di Pasar Siti Khadijah tempat saya memborong tudung. Puluh ribu juga modal meniaga.
Masa ni sudah pandai kira margin keuntungan. Tapi sebab mahu tolong orang kampung masih lagi jual hutang. Ok juga lah keuntungan tu tapi yang tidak bayar pun ramai. Biasanya yang ambil banyak dan jual semula kepada kawan-kawan mereka.
Semuanya kerana tiada ilmu berniaga. Maka itulah hasilnya tiada mentor dan banyak membuang masa namun hasilnya sedikit atau rugi. Hanya untung pengalaman. Tapi kalau tiada mentor lambat lah mahu berjaya dalam perniagaan.
Anak-anak saya semasa bersekolah di Australia telah didedahkan untuk mencari dana untuk membeli sesuatu keperluan untuk aktiviti sekolah. Mereka ada mindset berniaga. Bila mereka keluar mereka pastinya ada idea mahu mencari pendapatan sampingan jika dilatih sebegini.
Boleh ke sekolah kita buat aktiviti begini? Ha pasti ada yang menjawab nanti orang kantin marah kalau pelajar menjual makanan. Nanti koperasi sekolah tak laku jual barang. Apa salahnya cutikan sehari aktiviti kantin. Beri peluang anak-anak bawa barang untuk dijual di sekolah.
Biar mereka belajar menjual dan tawar menawar. Belajar mengira kos dan keuntungan. Belajar mencari pasaran dan pelanggan. Belajar mencari pusingan modal dan pasaran tetap.
Inilah yang cuba saya beritahu Hafiz yang cuba-cuba berniaga “slime” dengan kawan-kawannya. Maka terpaksalah saya beritahu peraturan sekolah. Jangan berniaga dalam sekolah nanti jadi isu besar!
Hafiz perlu mencari pelanggan di luar sekolah dan saya akan bantu dengan idea untuk mencari pelanggan.
Saya kongsikan kesungguhan Hafiz untuk berniaga. Saya sokong 200%. Go go Hafiz!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI