Anak lelaki selalu dibiarkan tengok TV atau main game. Jangan manjakan sangat anak lelaki tapi ibu ayah kena biasakan mereka pun buat kerja rumah!

“Kakak, pergi dapur. Tolong mama masak tu,” jerit ayah pada anak perempuan yang baru hendak duduk tengok TV.

Itu adalah arahan yang ibu dan ayah biasa berikan pada anak perempuan. Sudah menjadi budaya masyarakat kita, anak perempuan mesti diajar buat kerja rumah. Jangan sampai dikata orang nanti anak perempuan tak pandai masak dan kemas rumah!

Jangan Manjakan Sangat Anak Lelaki, Pesan Ustazah Isfadiah Biasakan Dia Buat Kerja Rumah!
Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki

Namun perkongsian daripada Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki supaya ibu ayah betulkan kembali budaya ini memang perlu beri perhatian yang penting. Kata ustazah, kebanyakan mak-mak sekarang memang jarang dedahkan anak lelaki buat kerja rumah.

Kenapa kita sebagai ibu ayah mesti dedahkan anak lelaki pada kerja-kerja rumah? Ini kelebihan yang Ustazah Isfadiah kongsikan. Sangat berguna bila dia sudah menjadi lelaki dewasa yang matang.

  1. Jaga amanah

Biasakan anak dengan tugas mudah dahulu. Ustazah Isfadiah sendiri memberi tugas mencatat barang dapur yang habis pada anak lelakinya pada usia 7 tahun. Hasilnya anak lelakinya itu menjadi seorang yang amanah dan bertanggungjawab pada tugasnya sehinggakan sanggup mengejutkan ayahnya jam 12 tengah malam semata-mata untuk membeli telur yang sudah habis stok kerana risau tiada bahan untuk dibuat sarapan keesokan pagi

Jangan Manjakan Sangat Anak Lelaki, Pesan Ustazah Isfadiah Biasakan Dia Buat Kerja Rumah!

  1. Tahu tanggungjawab

Kita biasanya akan ajar anak perempuan tugas masak nasi. Ia adalah tugas asas bila hendak belajar masak. Jangan lupa untuk ajar sekali anak lelaki masak nasi. Biar dia tahu cara basuh beras, berapa cawan perlu disukat, ukuran airnya dan lain-lain lagi. Kalau dia biasa dengan urusan masak nasi, maka nanti bila bergelar suami dia akan menjadi suami yang rajin membantu isteri di dapur, tahu tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga untuk menyediakan keperluan makanan untuk keluarga dan faham kenapa dia perlu membayar zakat (mengikut ukuran beras).

Jangan Manjakan Sangat Anak Lelaki, Pesan Ustazah Isfadiah Biasakan Dia Buat Kerja Rumah!

IKLAN
  1. Sentiasa ingat ibu ayah

Mula-mula suruh anak lelaki tugas menyenduk nasi untuk ibu dan ayah. Peringkat awal mungkin kita rasa berat nak suruh anak lelaki buat tugas ini kerana ia bukan budaya kita tapi fikirkanlah kesan untuk jangka masa panjang. Tambahan pula ini adalah sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Bayangkan jika setiap hari dia buat tugas ini selama bertahun-tahun, bila satu hari anak ini sudah berjaya dan berjawatan hebat. Walau di mana sekali pun dia berada, hatinya tetap akan ingat pada ibu dan ayah setiap kali dia menceduk nasi untuk makan.

“Eh, mak dan ayah dah makan ke belum? Makan apa agaknya mak dan ayah?”

Disebabkan tugas biasanya sejak kecil menceduk nasi untuk ibu dan ayah, ia akan menyentuh emosinya setiap kali dia hendak makan kerana teringat keadaan ibu bapanya ketika itu sama ada sudah makan atau belum.

Anak ini akan menjadi anak yang taat dan sentiasa ingat ibu dan ayah serta tidak lupa membantu kedua orang tuanya kerana tahu betapa perit jerihnya mereka membesarkan dia.

  1. Ajar erti sabar

Suruh anak lelaki turut sama buat kerja di dapur. Jangan dimanjakan sangat anak lelaki sehingga melarang mereka masuk dapur. Bila mereka belajar bagaimana proses untuk menggoreng ikan bermula dari menyiang hingga memasukkan ikan ke dalam kuali, barulah anak lelaki tahu bukan senang untuk membuat kerja memasak. Ia mengajarnya erti sabar dan sentiasa bersyukur apa sahaja hidangan masakan yang ibu sediakan tanpa banyak komplen!

  1. Lebih menghargai wanita

Biasakan anak lelaki buat kerja rumah seperti membasuh pakaian, menyidai baju, melipat baju, menyapu lantai dan lain-lain. Barulah mereka tahu penat dan lelahnya menyiapkan kerja-kerja tersebut. Walaupun awalnya anda tak berpuas hati dengan kualiti kerja mereka, tetapi lama-kelamaan mereka akan semakin mahir.

Jangan Manjakan Sangat Anak Lelaki, Pesan Ustazah Isfadiah Biasakan Dia Buat Kerja Rumah!

IKLAN

Biar mereka belajar erti susah barulah anak lelaki menghargai, memahami sukarnya membuat kerja rumah. Jadi bila sudah bergelar suami, dia akan menjadi suami yang rajin membantu isteri buat kerja rumah!

Hari ini kenapa ramai anak-anak perempuan lebih hebat dan bagus dalam semua perkara? Kerana ibu ayah lebih banyak memberikan tumpuan menjaga anak perempuan. Anak perempuan selalu diingatkan supaya tidak bangun lambat dan mesti rajin masuk ke dapur tetapi anak lelaki dibiarkan sepanjang hari menonton TV atau bermain game.

Pesan Ustazah Isfadiah lagi, kita kena betulkan kembali budaya ini maka barulah akan lahir anak-anak yang berkepimpinan, berwibawa pemimpin seperti orang perempuan. Kadang-kala kita terlepas pandang kerana asyik memikirkan keselamatan anak-anak perempuan sahaja sampai terlupa bahawa anak lelaki pun boleh ternoda dan dinoda dengan dugaan di dunia ini.

Sebenarnya dua-dua kena sekata. Biar anak lelaki dan perempuan faham perbezaan mereka bila jadi pemimpin. Perempuan kena lebih bangunkan sifat malu mereka sementara lelaki kena ada sifat kewalian iaitu sifat hero.

Jangan haramkan anak lelaki buat kerja rumah hatta semudah membuang sampah dari dalam rumah ke tong sampah luar. Jangan terlebih manjakan dan layan anak lelaki seperti raja nanti kita yang akan rosakkan mereka.

IKLAN

“Kini barulah saya faham, inilah sunnah Nabi. Inilah sebabnya mengapa Khalifah Abu Bakar r.a memerah sendiri susu kambing untuk ahli keluarganya. Ibu ayah kena dedahkan kebijaksanaan pengurusan kepada anak-anak lelaki,” demikian pesan Ustazah Isfadiah lagi.

Sumber: Abu Khadijah Studio

 

 

 

 

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI