Semakin anak membesar, dia semakin suka untuk belajar dan buat semuanya sendiri. Ada masanya ibu ayah akan halang kerana tak mahu susah, tapi sebenarnya tak ada masalah. Yang bersepah boleh dikemas. Yang berterabur boleh dikutip. Janji anak-anak dapat belajar perkara baharu dan menjadi lebih berdikari.

Tahukah ibu ayah, si kecil yang cuba buat sendiri semua perkara akan lebih cepat bijak, berdikari dan matang. Ini kerana ia belajar merangsang otak serta perkembangan motoriknya?

Salah satu perkara yang anak mahu lakukan sendiri apabila mereka semakin membesar adalah makan sendiri. Tapi sesetengah ibu tidak mahu makanan bersepah dan malas untuk mengemasnya. Jadi mereka lebih selesa untuk menyuap anak-anak makan sehinggalah mereka besar.

Memang elok kalau anak makan disuap ibu sebab katanya bagus untuk ‘bonding’ anak-beranak tapi dari aspek perkembangan motorik anak ia mungkin sesuatu yang tidak baik.

Sebenarnya bila mendedahkan anak sejak usia kecil lagi untuk makan sendiri, ia dapat melatih kemampuan motorik mereka. Selain itu kaedah ini juga dapat dijadikan salah satu cara meningkatkan keyakinan diri anak. Sebelum mengajar si kecil makan sendiri, pastikan ibu tahu bila masa sesuai untuk ajar anak.

Artikel Menarik: [Ibu Bapa Yang Cepat Takut Atau Risau Aka Pindahkan Ketakutan Itu Pada Anak]

Syarat pentingnya anak mesti sudah boleh mengawal lehernya dengan baik. Jangan ajar anak makan sendiri sekiranya dia belum dapat mengawal leher sendiri kerana ia boleh membuatkan anak tercekik. Selain itu anak juga mesti sudah diperkenalkan dengan makanan pejal yang mula diberi pada usia 6 bulan.

Tunjuk contoh cara makan
Bayi anda belajar daripada contoh yang ditunjukkan kepadanya. Oleh kerana si kecil cepat meniru dan mengikut perbuatan orang dewasa maka tunjuk cara makan yang betul ya! Mulakan dengan cara mengambil makanan, memasukkannya ke dalam mulut dan mengunyahnya. Sesekali ajak anak makan bersama. Momen tersebut akan menjadi momen yang baik kepada si kecil untuk belajar makan dengan betul.

Artikel Menarik: [Banyak Cakap, Letih Melayan. Tapi Kalau Dia Tak Ada, Mulalah Ibu Rindu Teruk!]

Finger food bantu proses belajar makan lebih mudah
Memberi anak finger food atau makanan jejari yang mudah dipegang dan disuap menggunakan tangan anak sendiri juga cara mudah mengajarnya makan. Antara contoh finger food yang anda boleh bagi anak adalah lobak merah, brokoli yang direbus biskut dan macam-macam lagi. Namun, elakkan daripada memberi si kecil makanan yang boleh menyebabkan dia tercekik seperti anggur, kismis, kekacang dan sebagainya.


Keselamatan mesti diutamakan
Jangan anggap kalau anak sudah boleh makan sendiri maka anda boleh biarkan mereka makan tanpa diperhatikan. Mereka tetap si kecil yang tak pandai mengawal diri lagi. Mungkin ada anak yang akan makan lebih baik jika ibu tidak duduk di sebelahnya. Oleh itu anda mungkin boleh memberikan waktu kepada si kecil untuk makan sendiri tetapi tetapi mengawasinya dari jauh sambil membuat aktiviti lain. Ini bertujuan supaya anda dapat segera bertindak sekiranya si kecil tersedak dan sebagainya.

Mengajar si kecil makan sendiri bukan semudah yang disangka.
Ibu ayah kena banyak bersabar sebab akan berlaku kekecohan, makanan tertumpah, berterabur dan macam-macam hal lagi. Jangan cepat melenting dan marahkan anak. Ibu juga jangan cepat hilang sabar melihat anak lambat makan dan segera memberikan bantuan sebab geram tengok makanan lebih banyak bersepah berbanding yang masuk ke dalam mulut si kecil.

Artikel Menarik: [Kalau Anak Main Ketuk Periuk Belanga Ibu, Maknanya Dia Bijak. Janganlah Dimarah!]

Normal kalau bersepah sana-sini sepanjang proses tumbesaran mereka. Sebab mereka tengah belajar kemahiran yang pelbagai kan? Yang penting, sediakan tempat makan yang akan memudahkan proses anda mengemasnya nanti. Ingat ya ibu, melatih anak belajar makan sendiri juga satu kemahiran penting untuk mendidik mereka menjadi anak yang berkeyakinan diri dan berdikari. Anak yang suka melakukan semuanya sendiri lebih berdikari dan tentunya lebih BIJAK!