Jangan Marah Kalau Anak Asyik Ajak Main ‘Restoran’ Atau Masak-Masak. Aktiviti ‘Pretend Play’ Bagus Untuk Perkembangan Si Manja

Share

Siapa ada anak kecil tentu biasa dengan situasi main restoran atau masak-masak. Kadang-kala baru nak berehat dah kena paksa layan si kecil main ‘orang kedai makan ambil order pelanggan’.

Jangan marah atau ‘malas’ untuk layan anak main permainan ini ya papa dan mama. Sebenarnya aktiviti sebegini yang dikenali sebagai ‘pretend play’ sangat bagus untuk perkembangan si manja anda.

Apa itu ‘Pretend Play’ atau Permainan Pura-Pura?

‘Pretend play’ adalah sebarang permainan atau aktiviti yang memerlukan kanak-kanak berfikir untuk mencipta hiburan dan keseronokan. Kebanyakan kanak-kanak bermain aktiviti ini menggunakan barangan yang ada di dalam rumah.

Contohnya si kecil menggunakan alat kawalan TV sebagai telefon bimbit, susunan sofa sebagai khemah dan apa-apa sahaja yang ada di sekeliling mereka sebagai satu imaginasi watak atau permainan yang ingin mereka wujudkan.

Tanpa mengira bagaimana kanak-kanak bermain secara pura-pura, kelebihan secara pendidikan, sosial dan peribadi daripada ‘pretend play’  tidak ada bandingannya.

Ramai ibu bapa hari ini lebih senang mendedahkan anak mereka dengan permainan teknologi berbanding melayan kerenah si kecil yang sibuk mengajak mereka bermain ‘pretend play’.

Permainan teknologi tidak membantu anak-anak untuk kreatif berfikir dan berimaginasi. Si kecil memerlukan peluang untuk berimaginasi, dan mereka perlu bermula daripada bawah. Biasanya pada usia 3 tahun, kanak-kanak akan mula bercerita tentang kawan imaginasinya dan cerita-cerita rekaan.

Ibu ayah biasanya akan ketawa lucu mendengar cerita rekaan si kecil, tetapi ‘pretend play’ memberikan lebih banyak pengalaman untuk mereka membesar.

Berikut antara kelebihan yang kanak-kanak akan dapat kalau mereka dibiarkan meneroka ‘pretend play’.

1. Kemahiran bahasa lebih ‘awesome’

Biasanya si kecil akan jadi lebih kreatif untuk mencipta senario permainan mereka dan bercerita. Oleh kerana si kecil perlu bercerita tentang pengalaman ‘pretend play’ mereka maka ia dapat melatih minda anak untuk memindahkan idea kepada perkataan. Kanak-kanak biasanya meniru perkataan dan idea yang mereka dengar di rumah, tadika, daycare walaupun kadang-kala mereka tak faham maksud sebenarnya.

Bagaimanapun, pengulangan membina tatabahasa membantu si kecil menggambarkan apa yang mereka cakap terutama bila orang dewasa membantu mereka lebih faham erti perkataan yang diguna.

Ia umpama satu kelas pembelajaran kepada si kecil. Kanak-kanak yang gemar bermain ‘pretend play’ cenderung mempunyai pemahaman tatabahasa lebih advanced.

Permainan ini melatih anak untuk cuba bercakap seperti orang dewasa. Bila kemahiran bahasa si kecil semakin baik, mereka boleh mencipta lebih banyak senario yang menarik.

2.Pandai bercampur gaul

Sama ada si kecil bermain dengan kawan betul atau karektor imaginasi, ‘pretend play’ memerlukan anak untuk melihat keperluan dan keinginan selain dirinya sendiri. Ia membantu anak belajar sikap bertimbang rasa, memahami dan belas kasihan.

Kanak-kanak yang bersikap outgoing akan belajar had sempadan yang betul berinteraksi, dan kanak-kanak pemalu berlatih interaksi sosial dalam zon selesa mereka. Ibu ayah boleh bantu memberi kesan pada tabiat sosial anak untuk menjadi lebih baik dengan menetapkan satu contoh positif.

3.Bijak mengawal diri sendiri

Kanak-kanak zaman sekarang biasanya mempunyai sedikit kawalan pada diri sendiri berbanding generasi dulu. Ini kerana mereka semakin kurang bermain dengan ‘pretend play’. Semasa aktiviti ‘pretend play’, kanak-kanak perlu mengambil satu peranan dan bermain di dalam sempadan itu, terutama bila ada kanak-kanak lain terlibat. Kajian menunjukkan kanak-kanak mengawal dorongan-dorongan mereka lebih baik semasa ‘pretend play berbanding waktu lain.

 

4.Mahir selesaikan masalah

Permainan ini kadang-kala menjadikan anak melalui situasi yang lebih advance berbanding pengalaman sebenarnya sendiri. Oleh itu dia akan berusaha mencari penyelesaian kepada masalah yang wujud.

Biasanya cara mereka selesaikan masalah akan ditiru dengan cara dilakukan oleh ibu bapa dalam situasi yang lebih kurang sama. Walaupun kadang-kala kanak-kanak tidak bertindak logik tetapi proses menyelesaikan masalah melatih mereka jadi lebih mahir untuk bersedia menjadi kreatif bila berhadapan masalah sebenar dalam kehidupan mereka nanti.

5.Lebih mudah faham pelajaran

Sebenarnya dengan melakukan banyak aktiviti permainan ‘pretend’, anak akan lebih banyak belajar secara tak langsung. Contohnya kalau mereka bermain ‘restoran-restoran’, mereka belajar cara berkomunikasi dengan orang,  belajar pelbagai jenis menu makanan, belajar mengira harga makanan (walaupun pengiraan tak betul lagi) dan macam-macam lagi kemahiran. Bukankah kanak-kanak perlu belajar sambil bermain, jadi inilah masanya untuk mengajar mereka banyak perkara yang berkaitan dengan jenis ‘pretend play’ yang dipilih.

6.Sihat dan menyeronokkan

Apa yang penting dalam hidup anak kita adalah mereka sihat dan seronok bermain dan belajar. Walaupun anak akan membuatkan rumah bersepah dan asyik ‘mengheret’ anda bersama dalam permainan mereka tapi apa yang penting adalah keseronokan yang si kecil perolehi berbanding kalau anda biarkan dia duduk diam bermain dengan gajet.

7.Cara senang untuk bonding

Jangan marah atau malas bila anak anda ajak main ‘pretend play’ bersama mereka. Sebenarnya inilah cara paling mudah bonding dengan anak. Daripada anda membiarkan anak bermain seorang diri lebih baik anda join dia main sekali. Sekurang-kurangnya dapatlah anda bantu dan ajar si kecil banyak perkara tentang dunia orang dewasa. Anak tentu lebih seronok dan bertambah cerdik!

Sebagai ibu bapa mungkin anda rasa bosan melihat anak asyik ulang main aktiviti yang sama sahaja tetapi percayalah dunia mereka sebagai kanak-kanak tak pernah merasa bosan dengan ‘pretend play’ yang mereka pilih itu.

‘Pretend play’ adalah sumber terbaik merangsang kreativiti, wawasan dan kematangan untuk kanak-kanak. Permainan yang datang dalam hidup si kecil melalui imaginasi membentuk kemahiran dalaman dan luaran mereka.

Published by
Hasnita Sawal