“Aina…tutup peti ais tu. Kenapa asyik bukak je? Nanti habis rosak barang dalam tu!” Anak anda yang kecil ada tak buat tabiat ini? Dalam sehari asyik buka peti ais sahaja kerja mereka. Papa dan mama tentu naik rimas melihat tingkah laku tersebut. Memang kalau ada anak kecil yang sudah pandai ‘explore’ banyak benda, peti ais boleh jadi mimpi ngeri kepada ibu bapa.
Tetapi sebelum papa dan mama marah mereka cuba fahamkan dulu apa punca si kecil suka sangat ‘explore’ peti ais. Lepas dah tahu apa puncanya mungkin boleh buat langkah pencegahan dan keselamatan untuk elakkan anak daripada mendapat bahaya.
Sebenarnya ada beberapa sebab yang mungkin menyebabkan kanak-kanak kecil dari usia 10 bulan hingga 6 tahun sangat suka buka pintu peti ais. Ini antaranya:
1. Rasa ingin tahu yang sangat tinggi
Bayi dan kanak-kanak memang terkenal dengan sikap ingin tahu mereka yang tinggi. Mereka asyik lihat papa dan mama buka pintu peti ais jadi keinginan untuk mencuba turut ada dalam fikiran mereka. Bila dapat peluang memang tak akan dilepaskan.
2. Menarik perhatiannya
Bentuk objek peti ais itu sendiri sangat menarik perhatian si kecil. Apatah lagi jika selalu memerhatikan orang dewasa buka dan tutup pintu peti ais serta mengeluarkan pelbagai barangan daripadanya.
3. Kagum dengan pencapaian sendiri
Biasanya mula-mula si kecil hanya kerap berdiri depan peti ais sambil cuba membuka pintunya tetapi tidak berjaya. Namun, hasil tak mengenal erti putus asa jangan terkejut kalau anak anda akhirnya berjaya membuka sendiri pintu peti ais. Kali pertama berjaya, anak anda akan ketawa gembira dan bangga dengan pencapaiannya. Selepas itu mereka akan jadikan tabiat buka peti ais sebagai satu aktiviti wajib setiap hari. Bertabahlah mama!
4. Cari makanan atau minuman kegemaran
Oh, mereka tahu dalam peti ais ada banyak makanan dan minuman yang disimpan oleh papa dan mama.
Mungkin juga ada makanan dan minuman yang mereka tidak dibenarkan makan. Jadi si kecil berusaha untuk mendapatkan makanan dan minuman kegemarannya di dalam peti ais.
5. Melatih kemahiran tangan
Dari sudut positif, kebolehan si kecil membuka pintu peti ais adalah satu bentuk kemahiran motor halusnya apabila mereka semakin mahir menggunakan tangan. Jadi, tabiat membuka pintu peti ais boleh juga menjadi satu rangsangan positif pada perkembangan kemahiran tangannya.
6. Si kecil memang bijak
Bukankah sikap semula jadi si kecil memang meniru perbuatan orang dewasa. Sebenarnya mereka sedang meneroka persekitaran dan belajar banyak perkara daripadanya dan sememangnya si kecil anda budak bijak!
Jika anak anda sudah sampai peringkat tabiat ini, sentiasa utamakan keselamatan mereka terjamin. Berikut antara langkah keselamatan yang mesti dilakukan bagi mengelakkan anak diancam bahaya.