Hanya beberapa hari saja lagi kita bakal menyambut ketibaan bulan Syawal. Mungkin hari ini anda sudah bertolak pulang ke kampung. Bukan sekadar memeriksa keadaan kereta, diri anda juga harus diberikan perhatian. Sudahkah anda mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum bertolak ke kampung?
Biarpun mungkin yang memandu itu suami, anda juga harus dalam keadaan yang segar dan bertenaga. Bukannya apa, andalah yang menjadi peneman suami. Mungkin juga akan bergilir-gilir memandu jika destinasi yang dituju itu jauh.
Sudah banyak cerita kemalangan yang kita dengari, berpunca daripada pemandu yang mengantuk dan terlelap ketika memandu. Tidak perlu lama, dua saat terlelap anda akan membahayakan nyawa sendiri bahkan penumpang yang dibawa. Perhatikan suami di sebelah, jika dia menunjukkan simptom-simptom ini, berkemungkinan dia akan mengalami microsleep.
Keadaan ini berlaku ketika anda sedang memandu kemudian terlelap dalam masa satu ke lima saat. Kemudian tersentak dan terjaga seperti kepala anda ditolak orang. Terjaga, kemudian anda perasan kereta sudah berada di laluan yang salah. Untuk mengelak terjadinya kemalangan, anda dengan pantas membetulkan kedudukan stereng.
Situasi ini sangat berbahaya kerana terlelap satu dua saat pun sudah boleh menyebabkan kereta hilang kawalan dan boleh membawa maut. Sebuah kajian yang dibuat di University of Wisconsin pada tahun 2011, mereka mendapati ketika seseorang mengalami microsleep, otak seolah-olah dalam mod offline. Malangnya, salah satu bahagian otak yang tidak berfungsi adalah hypothalamus yang menjaga perihal tidur.
Peneman di sebelah boleh lihat jika ada tanda serangan microsleep:
- Ketika memandu, dia kelihatan seperti sedang berkhayal
- Ketika anda tanyakan kepada mereka, katanya pandangan kabur
- Apabila anda bercakap dengannya, dia tidak memberi sebarang respon
- Anda boleh lihat sesekali tubuhnya mengejut, seperti ada yang menolak
- Matanya mengecil dan kelihatan seperti sudah tertutup
- Ketika berbual dengan anda, dia tidak fokus dan memberi respon yang salah
- Dia mengadu mengantuk
- Menguap tanpa henti
- Pemandu kelihatan memaksa matanya untuk dibuka
- Sering mengurut tengkuk dan bahunya
Amat penting untuk anda berada dalam keadaan bersedia mental fizikal sebelum pulang ke kampung. Sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda membaca doa menaiki kenderaan. Semoga perjalanan anda ke kampung dirahmati dan selamat sampai ke destinasi yang dituju.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI