Kehamilan

Jangan ‘Mengelat’ Minum Susu Waktu Hamil, Takut Lepas Bersalin Nanti Gigi Jadi Longgar

Share

Ada sesetengah ibu mengandung yang tidak boleh minum susu yang diformulasi khas untuk wanita hamil. Mungkin kerana rasanya yang berlemak atau perisanya yang tidak kena dengan selera, membuatkan mereka merasa muak ketika meminumnya. Bolehkah sekiranya ibu mengadung minum susu UHT yang dipasteur bagi menggantikan susu khas wanita hamil?

Ibu hamil amat memerlukan nutrisi seimbang demi memastikan tahap kesihatan diri dan pertumbuhan bayi  berada pada tahap optimum selaras dengan umur kehamilan. Keperluan nutrien semasa hamil meningkat, terutamanya semasa trimester kedua dan ketiga. Selain karbohidrat, puan juga memerlukan protein, lemak, kalsium, asid folik, zink, Vitamin B, C, D, E dan pelbagai mikronutrien lain.

Artikel Menarik: [Jangan Buat Selamba Kalau Demam Trimester Pertama. Boleh Jejas Pembentukan Organ Bayi]

Semasa hamil, ibu memerlukan lebih kurang 1,000mg kalsium setiap hari. Menurut laporan USDA, ibu hamil disyorkan untuk mengambil tiga cawan susu atau produk tenusu setiap hari. Secawan susu mengandungi kira-kira 305mg kalsium. Maka, tiga cawan susu dapat membantu ibu hamil memenuhi keperluan kalsium harian yang diperlukan.

Susu merupakan sumber kalsium yang penting. Kalsium yang terkandung dalam susu penting untuk pembentukan gigi dan tulang bayi dalam kandungan. Selain itu, kalsium juga memiliki peranan penting dalam membantu melancarkan rangsangan pada saraf dan otot bayi. Selain kalsium, susu juga mengandungi vitamin D, nutrisi penting untuk mencegah masalah bayi kurang berat dan pertumbuhan bayi terbantut (IUGR) dan mengurangkan risiko ibu hamil mendapat penyakit praeklampsia.

Artikel Menarik: [Dengar Air Gula Pun Boleh Terasa Loya, Nak Elak Muntah. Tarik Nafas & Minum Sekali Teguk!]

Di samping itu, susu juga mengandung asid folik dan DHA yang berperanan dalam pembentukan saraf serta otak bayi. Perubahan fisiologi ketika hamil juga menyebabkan puan cenderung untuk mengalami masalah pedih ulu hati dan gastrik. Pengambilan susu dapat melegakan simptom ini kerana susu adalah sejenis antacid.

Umum mengetahui akan kepentingan pengambilan susu ketika hamil. Tetapi persoalan yang sering diajukan oleh ibu hamil adalah susu yang mana lebih baik?

  1. Susu penuh krim

Ia memiliki kandungan lemak hampir 3.5 % lebih banyak dan 149 kalori secawan. Ia juga mengandungi sekitar 5 gram lemak tepu untuk satu cawan penyajian.

  1. Susu lembu yang dipasteur

Pasteurisasi adalah satu proses pemanasan makanan atau minuman dengan tujuan membunuh organisma seperti bakteria dan suatu proses untuk memperlambatkan pertumbuhan mikrob pada makanan. Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC), menyarankan agar semua wanita hamil menghindari makanan yang diperbuat daripada susu yang tidak melalui proses pasteurisasi.

  1. Susu rendah lemak

Susu rendah lemak adalah pilihan yang tepat bagi ibu hamil. Di samping mengandungi nutrien dan zat yang mencukupi, ia juga rendah kalori. Ia amat baik untuk ibu hamil yang menghidap penyakit kencing manis ketika mengandung (GDM).

Pengambilan susu rendah lemak yang dipasteur adalah disarankan untuk ibu hamil supaya kenaikan berat badan tidak berlebihan daripada skala normal. Walau bagaimanapun pengambilan susu yang diformulasikan khas untuk ibu hamil secawan sehari adalah tidak memudaratkan bagi ibu hamil yang tidak mempunyai apa-apa masalah perubatan.

Bagi ibu yang menghidap kencing manis ketika hamil (GDM) pengambilan susu formulasi adalah tidak digalakkan kerana ia mengandungi sukros yang boleh menyebabkan kawalan gula dalam badan ibu GDM menjadi tidak terkawal dan menyebabkan hyperglisemia.

Published by
Emy H