Mengugut anak dengan mengatakan ‘Jangan nakal, nanti ibu tak nak beli apa-apa mainan’ antara cara kita mengugut anak supaya mereka dengar cakap.

Tahukah anda kesan mengugut anak? Walaupun kita menganggap ia antara perkara yang biasa untuk peringatan anak namun kesannya adalah sebaliknya.

Sebenarnya dengan cara mengugut anak kita tiada ruang untuk berkomunikasi dan mendengar permasalahan anak. Anak perlu patuh jika mahu ibu sentiasa di sisi. Muktamad! Ikuti perkongsian dari Muhammad Naim Abd Manaf yang merupakan seorang guru mengenai kesan mengugut anak kepada perkembangan sosial.

Salahkah kaedah ini?

Tidak. Tetapi kaedah ini tidak sesuai lagi dipraktikkan pada masa sekarang.

Cara kita mendepani anak-anak harus seiring dengan zaman yang dilalui. – Harus berhemah dan mempunyai komunikasi dua hala agar semua pihak (ibu dan anak) berasa puas dan lega.

Ini penting agar disiplin terbentuk dalam suasana hormat dan faham, bukan kerana patuh akibat diugut dan dipaksa.

Biasa kita lihat cara ibu mengugut anak adalah sesetengah ibu berpura-pura mengugut meninggalkan anaknya dengan menolak anak ke luar rumah dan mengunci pintu dari dalam untuk beberapa ketika. Tersenyum lebar mendengar anak-anak menjerit dan merayu memanggil namanya.

Kesan ini bukan sahaja meninggalkan fobia dalam diri anak tetapi anak menyimpan dendam pada ibu bapa sendiri.

Betulkah cara mengugut ini boleh mendisiplinkan anak?

Perlu kita tahu, setiap pendidikan yang berasaskan kekasaran akan memberikan pulangan yang serupa kepada kita.

Jangan terkejut kalau pada alam remajanya nanti anak akan mengunci pintu biliknya sehari suntuk dan membiarkan kita merintih, melaung dari luar kerana tidak bersetuju dengan beberapa hal kecil.

– Akibat daripada kita mengajar mereka berbuat begitu sejak dari kecil. Mereka terkesan dengan cara kita menyelesaikan masalah.

Apa yang boleh kita harapkan dari seorang budak? Selagi usianya budak memanglah mereka akan memekak, menumpahkan air, menyakat adik-adik, degil dan enggan patuh pada ketika-ketika tertentu. Hendak cari dimana budak yang tidak nakal dan tidak berbuat salah?

Bukan langsung tidak boleh menghukum dan membuat tegahan, tetapi biarlah bersesuaian dengan kecerdasan insan yang ingin dilahirkan. Sejauh yang dilihat, ugutan sebegini tidak membantu dalam mendisiplinkan anak.

Yang  jelas anak menjadi lebih takut untuk mencuba sesuatu yang baru dalam hidupnya. Takut salah dan ditinggalkan pergi. Padahal itu semuanya adalah lakonan.

Mendidik dengan lebih kreatif!

Sebagai penyelesaiannya, dalam mendidik anak kita harus kreatif. Sesuatu masalah boleh diselesaikan hanya dengan sepatah dua perkataan yang lembut dan sedikit kesabaran. Jangan dera minda suci anak dengan taktik-taktik mengugut sebegitu.

Walaupun tujuannya adalah baik, namun kesannya belum tentu memihak kepada apa yang kita sangkakan. Tetapi yang nyata, minda anak akan terdera dengan pengalaman ngeri yang kita berikan.

Takut-takut yang terbentuk nanti adalah mindset, “Hendak menyelesaikan masalah ialah lari dari rumah, tinggalkan semua orang.”

Kalau ini yang berlaku, siapa yang mengajarkannya kalau bukan kita?

 

Sumber: Muhammad Naim Abd Manaf

Tinggalkan Komen