“Jangan nangis-nangis, petang ibu ambil ye.” Itu pesanan terakhir arwah Nurul Ashikin Kamaruddin, 27, pada anak sulungnya Muhammad Arfan Ziqri berusia 1 tahun 10 bulan ketika menghantar anaknya ke rumah pengasuh.
Perkara ini telah dikongsikan oleh pengasuh anak arwah yang dikenali sebagai Nor. Namun ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menolaknya apabila beberapa jam selepas itu dijemput ilahi bersama suami setelah terlibat dalam kemalangan.
Arwah Nurul Ashikin dan suaminya, Lans Koperal Muhammad Shakiran Shamsuddin, 30, disahkan maut dalam kemalangan kira-kira jam 7.59 pagi semalam selepas motosikal ditunggangi melanggar sebuah lori di Jalan Syed Putra menghala pusat bandar.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC datang dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar telah melanggar bahagian kiri belakang sebuah lori yang sedang berhenti akibat kesesakan lalu lintas.
“Mangsa bagaimanapun gagal mengelak dan melanggar lori terbabit,” katanya.
Beliau berkata, mangsa (Nurul Ashikin) cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Shakiran yang ketika itu parah di bahagian perut dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.15 pagi.
Dapat tahu arwah hamil anak kembar
Menurut kakak arwah Muhammad Syakiran, Nur Azmawati Shamsuddin, hasil bedah siasat juga mendapati arwah adik iparnya sedang hamil anak kembar.
“Kami memang terkejut sebab mereka belum memaklumkan lagi kepada keluarga tentang kehamilan anak kedua yang juga kembar kali ini.
“Kami sangat sedih apatah lagi saya dimaklumkan kandungan sudah hampir berusia dua bulan,” katanya selepas ahli keluarga memaklumkan menjumpai buku pink (buku pemeriksaan kandungan) dalam beg tangan adik ipar.
Muhammad Shakiran merupakan anggota yang bertugas di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam manakala isterinya adalah penjawat awam di Jabatan Kerja Raya.
Bercerita lanjut, Nur Azmawati berkata, Allahyarham adiknya, Muhammad Syakiran juga mempunyai kembar sama jantina bernama, Muhammad Syakirin, yang tinggal di kampung dan sudah berkahwin.
Baru saja berkumpul di rumah arwah
Menambah kesedihan katanya, apabila ahli keluarganya baru sahaja berkumpul di rumah arwah di kuarters polis memandangkan adik bongsu mereka, Muhammad Nazrul,19, berada di Kuala Lumpur untuk bersiar-siar di sana.
“Arwah adik dan isteri baru sahaja menghantar Nazrul menaiki bas malam kelmarin dan Nazrul tiba di Kelantan pada jam 7 pagi semalam.
“Tidak berapa lama selepas itu kami di kampung menerima berita mereka berdua maut dalam kemalangan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian & FB Nuraz Shamsuddin