Pertama kali bergelar ibu dan bapa, sudah tentu wujud perasaan teruja dengan tahap perkembangan bayi. Antara proses yang paling ditunggu-tunggu adalah menyaksikan anak mula berjalan, kan?
Bila anak mula berjalan?
Apabila si manja sudah boleh mencapai sesuatu pastinya ia antara usaha untuk anak mula berdiri. Selepas si kecil sudah boleh berdiri dengan sendirinya, ia merupakan 1 tahap perkembangan yang paling dinantikan kebanyakan ibu bapa.
Sebelum anak mula berjalan, dia perlu mempunyai koordinasi dan kekuatan pada bahagian otot. Proses ini akan bertambah baik apabila dia mula belajar untuk duduk, meniarap dan merangkak.
Selepas anak mempunyai koordinasi dan kekuatan otot, mereka akan mula menarik sesuatu untuk membantu diri bangun atau berdiri. Kebiasaannya anak mula berdiri sambil memegang sesuatu sekitar usia 6 hingga 10 bulan.
Bermula daripada proses berdiri itu, si kecil akan mula menambahkan keyakinan serta keseimbangan dirinya. Rata-rata bayi akan mula membuat langkah pertamanya apabila menjelang usia setahun.
Pada usia 1 tahun 3 bulan, kebanyakan anak mula berjalan tanpa sebarang bantuan.
Namun, jika anak anda mungkin memerlukan masa lebih lama daripada itu, usah bimbang. Ia adalah 1 keadaan normal. Ini kerana ramai bayi yang tidak boleh berjalan tanpa bantuan sehingga berusia 1 tahun 5 bulan hingga 1 tahun 6 bulan.
Dikatakan bayi yang lebih banyak mengesot akan lebih lambat berjalan berbanding bayi yang merangkak.
Tahap perkembangan sihat
Umumnya, ibu bapa akan bimbang apabila bayi lain yang seusia dengan anak mereka sudah boleh berjalan sedangkan si manja mereka masih merangkak lagi.
Pastinya soalan yang biasa timbul adalah sama ada anak mempunyai masalah kesihatan yang serius?
Anak mula berjalan adalah 1 langkah penting dalam tahap perkembangan fizikal si kecil. Semestinya bayi yang semakin membesar tidak akan duduk diam dan berbaring di dalam buaian atau di atas katil semata-mata.
Mereka juga pastinya berasa rimas jika didukung sepanjang masa. Ini kerana mereka akan mula untuk mencuba bangun dan berdiri, bertatih, berjalan tanpa bantuan, berlari dan melompat dengan rasa penuh keyakinan diri.
Haaa…mesti ibu bapa tidak sabar menanti saat-saat itu, bukan?
Dalam keterujaan itu, diharapkan para ibu bapa sekalian dapat bersabar, ya? Jangan pula dipaksa si kecil berjalan sedangkan mereka belum bersedia lagi.
Berikut DIkongsikan tahap perkembangan anak mula berjalan.
Lahir hingga usia 2 bulan
Selepas dilahirkan, si kecil akan mempunyai refleks untuk menendang apa sahaja permukaan yang disentuh kaki mereka. Ia bukanlah bermakna mereka cuba menggunakan kaki untuk berjalan tetapi ia cuma tindakan refleks sahaja dan akan hilang selepas 2 bulan.
Sebagai contoh, jika anda memegang si kecil dalam keadaan menegak di atas paha sambil menyokong kepalanya, pastinya anda berasakan seperti mereka cuba menggunakan kaki, bukan?
5 hingga 10 bulan
Ketika mencecah usia 5 bulan, jika anda memegang si kecil dan kakinya menyentuh paha anda, mereka akan terenjut-enjut turun dan naik.
Ia adalah 1 aktiviti kegemarannya untuk beberapa bulan akan datang.
Sepanjang tempoh ini, otot kaki bayi anda akan berkembang ketika mereka belajar meniarap, duduk dan merangkak.
Menjelang usia antara 8 hingga 10 bulan, si kecil mula ‘memaksa’ dirinya untuk berdiri sambil berpaut atau berpegang pada perabot atau sebarang objek yang boleh menyokong dirinya.
Setelah beberapa minggu si kecil membiasakan diri dengan kemahiran ini, mereka akan mula bergerak secara tegak dengan berpaut pada objek.
Ada kalanya, apabila berasa yakin, mereka mungkin akan melepaskan pegangan tersebut dan berdiri tanpa sokongan.
Bilakah anak mula berjalan?
Apabila si kecil mula melepaskan sebarang pegangan, anda boleh mencuba untuk membantunya berjalan dengan memegang tangannya.
Pasti anak anda akan cuba untuk memulakan langkah untuk berjalan.
9 bulan hingga setahun
Ketika berusia 9 hingga 10 bulan, si kecil akan mula belajar untuk membengkokkan lututnya dan mengetahui cara untuk duduk selepas berdiri.
Haaa… Ini bukan 1 perkara yang mudah untuk bayi, okay?
Kebiasaannya, pada usia 11 bulan, anak anda mungkin sudah mempunyai kemahiran untuk berdiri sendiri, membongkok dan mencangkung.
Dia akan mula berjalan sambil memegang tangan anda.
Namun percayalah, dalam tempoh beberapa minggu, si kecil boleh melakukannya tanpa sebarang bantuan!
Walau bagaimanapun, ada sesetengah bayi masih berjalan berpaut untuk mendapatkan sokongan, jangan risau, ia adalah normal.
Ada juga bayi yang tidak berjalan sehingga mereka berusia 17 atau 18 bulan.
anak-mula-berjalan-ketahui-tahap-perkembangan
Biarkan anak mula berjalan secara semula jadi
Memang rasa teruja untuk melihat si kecil berjalan tetapi sebaiknya, biarkan ia berlaku secara semula jadi.
Jangan anda memaksa mereka untuk berjalan semata-mata kerana melihat bayi lain seusia mereka sudah boleh berjalan.
Tahap perkembangan setiap bayi adalah berbeza, jadi bersabar ya wahai ibu bapa sekalian.
Biarkan si kecil untuk melalui proses meniarap, merangkak, berpaut sebelum mula bergerak dan berjalan bebas tanpa bantuan.