Jangan Pandai-Pandai Bagi Bayi Makan Macam-Macam Nak Hilangkan Kuning. Yang Penting Susukan Je!

Share

Macam-macam petua yang dikongsikan bila bayi kuning. Tapi pernah tak terlintas petua yang dilakukan itu boleh memudaratkan nyawa bayi anda sendiri.

Mungkin kalau yang bernasib baik, bayi boleh cepat baik tapi jika sebaliknya bagaimana? Risiko-risiko seperti inilah perlu anda tahu sebelum nak buat apa-apa pada anak.

Nak tahu sebab dan cara yang selamat untuk merawat bayi kuning, perkongsian dari seorang jururawat, Bel Nawhen mungkin memberi satu ilmu dan penjelasan pada semua ibu.

Bayi kuning, kena bagi makan apa? Perlu ke bagi bayi berusia 7 hari minum/makan anggur 1cm x 4 sehari dan sengkuang cina?

Persoalannya, mengapa masih ada lagi orang sesekeliling yang gemar memberikan nasihat yang tidak-tidak kepada si ibu terutama apabila ibu sedang galau memikirkan keadaan anak yang mengalami jaundis?

Normalnya, hati menapis bilirubin dari pembuluh darah dan melepaskannya ke saluran usus.

Ketika dalam kandungan ibu, hati ibu yang akan membuang bilirubin ini. Selepas kelahiran, bayi akan membuang bilirubin tersebut melalui hati mereka sendiri. Namun demikian, disebabkan hati bayi masih belum mampu sepenuhnya untuk melawan bilirubin ini, maka terjadilah Jaundice ini.

Bahkan, apabila bayi baru dilahirkan, sel darah mereka akan bertambah untuk mengangkut oksigen ke seluruh badan, kadangkala ginjal bayi yang masih belum kuat juga masih belum mampu untuk melawan biliribun secara berlebihan.

Kebiasaannya, apabila kandungan bilirubin mula meningkat dan Jaundice mula menyerang, ia akan bergerak bermula dari kepala, turun ke tengkuk, turun ke dada dan dalam keadaan yang kronik, ia akan mula bergerak sehingga ke jari kaki.

Jaundice dalam keadaan bayi yang normal disebut jaundice fisiologi, dan biasanya muncul pada hari kedua atau ketiga kelahiran.

Penyebab lain jaundice adalah :

  • Perdarahan dalaman (hemorrhage)
  • Infeksi pada salur darah (sepsis).
  • Infeksi disebabkan virus atau bakteria.
  • Jangkitan semasa dalam kandungan (TORCHES).
  • Masalah jangkitan pada salur kencing.
  • Ketidaksesuaian antara darah ibu dan darah bayi (Bila ibu mempunyai Rhesus negative atau kumpulan darah ‘O’).
  • Kelainan sel darah merah bayi.
  • Trauma di kepala disebabkan oleh kelahiran secara forsep atau vakum.
  • Masalah dengan enzim darah merah (G6PD)- Kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu.( Bagaimanapun tidak lebih dari 5% bayi mengalami masalah ini. Sekarang semua bayi akan diperiksa status G6PD nya sejurus selepas lahir).
  • Masalah hati dan hempedu seperti biliary atresia / dubin johnson / neonatal hepatitis.
  • Hormon tiroid yang rendah (hypothyrodism).
  • Jaundice di sebabkan oleh susu ibu (setelah semua penyebab di atas telah di kenalpasti negatif)

Antara langkah pencegahan jaundice dari berlalu adalah dengan memastikan proses penyusuan bayi berjalan dengan lancar.

Beri susu kepada bayi 2-3 jam sekali termasuk waktu malam. Jika memberikan susu formula, seeloknya berikan bayi susu sekitar 1-2 auns 2-3 jam sekali.

Elakkan dari membiarkan bayi tidur sahaja kerana apabila bayi tidur, proses penyusuan akan terganggu.

Tidak perlu sumbat apa-apa pada bayi.
Tidak perlu ikut petua entah apa-apa.
Usus belum matang dan bayi mempunyai risiko kecederaan / usus tersumbat (‘intestinal obstruction‘).

Sekali lagi, susu ibu adalah yang terbaik bagi bayi. Jika bayi anda jaundis selepas kelahiran, jangan berikan apa-apa selain susu ibu.

Ada bayi, jaundis akan sembuh tanpa perlu intervensi dan ada pula perlu mendapatkan rawatan dihospital seperti fototerapi.

Warna kuning pada kulit bayi kerana kehadiran pigmen bilirubin yang berlebihan dalam darah lalu mendap di kulit dan memberikan warna kekuningan pada kulit bayi.

Notakaki:
Sengkuang cina, air anggur, serbuk mutiara BUKAN ikhtiar menurunkan kuning bayi tetapi berkemungkinan memberikan mudarat.

Sumber: Bel Nawhen

 

Published by
Wan Amy