Jangan Pandang Remeh, Selalu Herdik & Pukul Anak Buat Mereka Hilang Hormat. Membesar Jadi Biadap!

Share

Setiap ibu ayah pasti menginginkan yang terbaik untuk anak-anak. Bahkan sanggup berbuat apa saja demi anak-anak. Dalam proses membesarkan anak-anak, harus juga diterapkan nilai murni serta disiplin dalam diri mereka. Terlalu menginginkan anak mengikut cara didikan kita sehingga mengguris perasaan mereka.

Ummu Aminah berkongsi tentang kesilapan yang sering dilakukan oleh ibu ayah ketika mendidik anak-anak.

PARENTING TERULUNG CARA MENDIDIK ANAK

Herdik. Jerit. Pukul.
Perbuatan ini hanya akan mendatangkan kekecewaan dan perasaan serba salah kepada ibu bapa apabila terkenangkan cara parenting mereka mendidik anak. Malah ada kanak-kanak yang telah menjadi lebih aggressive dan berani untuk melawan dan menengking semula ibu bapa mereka. Hanya kerana kesilapan kecil ibu bapa yang mengikuti kehendak nafsu amarah dan lokek tentang hal-hal memahami dunia kanak-kanak menjadi satu penyesalan seumur hidup. Lebih tragis, apabila kesan di masa hadapan kehidupan anak-anak mereka hancur atas perbuatan “kasih-sayang” ibu bapa sendiri.

Berapa ramai kanak-kanak yang mengalami gangguan emosi dan tekanan mental kerana trauma atas tingkah laku ibu bapa yang merobek rakus jiwa mereka sewaktu kecil. Sedihnya, kerakusan itu sering terlepas pandang oleh ibu bapa sendiri mereka menyangka cara itu adalah yang terbaik untuk mendidik dan mendisplinkan anak. Namun, hakikatnya ia hanya membuka lembaran buruk terhadap kehidupan kanak-kanak tersebut apabila mereka meningkat remaja.

Artikel Lain: [Jangan Suruh Anak Berhenti Waktu Menangis. Dia Pun Nak Luah Perasaan Jadi Biarkan]

Akhirnya, di usia dewasa mereka menonjolkan sifat aneh seperti bipolar disorder, kecelaruan indentiti, kaki pukul, menipu, salah guna dadah, skizofrenia, jenayah mencuri, merompak, mencabul, merogol, membunuh dan berbagai lagi. Hanya kerana kesan memori lampau memori kanak-kanak yang buruk.

Anak menipu, melawan, menengking, menjerit, memberontak adalah kerana refleksi dari ibu bapa sendiri atau itulah karekter yang dimiliki anda sewaktu kecil. Momen itu akan berulang di hadapan mata anda pada hari ini. Secara real!. Kerana Karma itu wujud. Kifarah itu pasti.

Selama saya menetap di bumi Mekah ini, banyak yang Allah telah ilhamkan kepada saya tentang ilmu parenting pastinya itu adalah untuk peringatan dan rujukan diri saya sendiri. Namun, saya mahu mengambil kesempatan ini untuk berkongsi kepada anda semua yang masih tercari-cari teknik paling berkesan bagaimana untuk menjadi ibu bapa sejati dalam membentuk amanah Allah yang akan disoal di akhirat kelak. Setiap benih yang bercambah di dalam rahim, pasti akan di tanya dan di hisab akan perihal bagaimana kerja-kerja menuai dan baja dilakukan.

Bagaimana pula perkembangan pucuk dan bunga. Adakah ia kembang mekar mewarnai kehidupan orang lain. Sehinggalah ia menjadi pohon yang kukuh dan berbuah ranum. Adakah buah itu manis yang boleh dinikmati orang lain. Atau sebaliknya? Paling ditakuti sekali, jika benih yang bercambah di dalam rahim itu akan dituai menjadi pohon berduri serta buah beracun yang akan membunuh setiap yang menyentuh dan yang memakannya. Nauzubillahiminzalikh.

Cara parenting terulung ini akan melengkapi setiap fitrah ibu bapa muslim di atas muka bumi. Antaranya ialah:

1. Jika ibu bapa menginginkan anak yang baik dan taat. Anda terlebih dahulu wajib melakukan ketaatan kepada Allah swt pencipta sekalian alam. Allah lah yang mengurniakan zuriat penyejuk mata ketika anda memohon dan meminta kepada-Nya agar dihadirkan sinar dalam kehidupan anda. Iatu, sinar yang bernama anak. Taatlah kepada Allah dengan menghambakan diri kepada Nya dalam kelazatan ibadah malam. Qiamullail. Seorang Ayah yang sering sujud kepada Allah dan bergantung kepada Nya, pasti akan roboh tembok-tembok ego dan amarah. Seorang ibu yang sujud kepada Allah dengan penuh keikhlasan, pasti Allah mendorong hati dan tangannya dalam mendidik jiwa anak-anak serta damai seisi rumahtangga.

2. Jika mahu anak menghargai anda, ibu bapa harus menghargai sifat kehambaan kepada Allah sedalam-dalamnya. Tunaikanlah solat, perbanyakkan bacaan al-quran, berzikir, dan bersedekah di jalan Allah. Ibu bapa yang menghargai Tuhan-NYA, pasti mendapat balasan setimpal yang lumayan. Allah akan menjadikan anak-anak anda orang yang menghargai kedua ibu bapanya.

3. Jika tidak mahu anak menipu, Ibu bapa jangan menipu kepada Allah. Jangan sesekali menyembunyikan kesalahan berbohong di hadapan Allah. Meski anda tidak dapat melihat Allah, namun Allah sentiasa melihat anda di setiap waktu dan ketika. Jangan menipu dalam urusan mencari rezeki, jangan menipu terhadap hubungan suami isteri kerana sifat ini mengundang kemurkaan Allah. Pasti anda akan dibalas perasaan ditipu yang menyakitkan sekali. Iaitu dibohongi oleh anak sendiri.

4. Jika tidak mahu anak melawan dan derhaka kepada ibu bapa. Anda terlebih dahulu jangan menderhakai Allah dalam urusan dunia. Sedar atau tidak, ibu bapa sering terlepas pandang urusan harian mereka hingga mengundang syirik kepada Allah. Bahaya syirik akan menelan kebahagiaan hidup hingga lumat dan musnah. Apakah syirik yang berlaku dalam isu parenting? Tahyul. Kepercayaan kuno dengan memberi makan tertentu (jampi serapah) kepada anak untuk jadikan anak dengar dan akur perintah ibu bapa. Memberi anak pelindung dan tangkal selain dari Allah kerana rasa kurang yakin dengan pertolongan serta penjagaan Allah. Perbuatan ini masih mekar dalam budaya masyarakat melayu. Yakinlah, bahawa yang memegang hati manusia itu sebenarnya Allah. Jika anda tidak derhaka kepada Allah, pasti anak-anak tidak akan menderhakai anda.

Artikel Lain: [Nak Ajar Anak, Biar Dari Kecil. Jangan Dah Besar, Dia Buat Salah Sibuk Nak Marahkan!]

5. Jika tidak mahu anak memalukan anda dengan kelakuan maksiat maka ibu bapa jangan bermaksiat kepada Allah. Jika zaman muda-mudi dahulu anda telah bermaksiat lalu bertaubatlah bersungguh-sungguh. Tinggalkan perkara yang dibenci Allah. Arak, judi, penipuan, suka bermain perempuan mahupun lelaki, tidak menutup aurat dengan sempurna atau tingkah laku lain yang buruk segeralah berubah dan kembali kepada Allah. Jangan tangguh lagi. Agar hal ini tidak berbalik kepada anak-anak anda. Anak anda hari ini adalah diri anda di masa lampau. Diri anda pada hari ini, adalah gambaran anak anda di masa akan datang.

Sebelum anda mencari dan mengkaji tentang diri anak-anak. Kaji dahulu tentang diri anda sendiri. Allah tidak akan mengubah hidup sesuatu kaum, melainkan mereka sendiri yang mengubahnya. Setelah itu, barulah akan terjawab segala persoalan tentang kerenah anak-anak dan penyelasaian bagi pendekatan yang bersesuaian dengan diri mereka. What goes around, comes around. What you give, you will get back. Share jika ilmu ini bermanfaat.

Nota Parenting Dari Bumi Mekah,
Ummu Aminah.

Published by
Emy Haznida Hazairul Sham