Jangan Pandang Ringan Masalah Anak Sukar Buang Air Besar, Banyak Bahayanya!

Share

Tanyalah pada mana-mana ibu pasti merasa sedih dan tak sanggup melihat anak menangis teresak-esak kerana sembelit dan tidak dapat ‘membuang’ seperti biasa. Bukan kadang-kadang, tetapi hampir setiap hari.

Apa yang ibu lakukan bila anak menangis kerana sembelit? Bagi ibu yang baru pertama kali berdepan dengan masalah ini, kenalah persiapkan diri dan tambahkan pembacaan mengenai hal ini. Jangan pandang ringan kerana sembelit boleh membahayakan anak.

Apa punca anak sembelit

Menurut Puan Rose Hanizan Mat Hassan dari Hospital KPJ Pakar Perdana, Kota Bharu, Kelantan, sembelit pada anak biasanya berlaku disebabkan oleh kurangnya pengambilan makanan berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran serta kurang minum air masak dalam menu harian anak.

Sebagai ibu kitalah yang menentukan pengambilan jenis makanan berserat ini. Jika anak tidak mahu makan sayur, ibu seharusnya berusaha untuk menjadikan buah-buahan sebagai makanan kegemaran anak bagi membekalkan serat yang diperlukan setiap hari.

Bahaya Sembelit

Jangan sesekali pandai ringan dan menganggap masalah anak sembelit sebagai hal yang remeh. Bila anak sering berdepan dengan masalah ini anak mungkin berdepan dengan bahaya yang datang mengundang.

Menurut Rose Hanizan lagi, sembelit memang berbahaya di mana ia menjurus kepada penyakit berkaitan usus atau anal. Sekiranya anak mengalami masalah sembelit di peringkat yang kritikal, ia boleh menyebabkan masalah buasir dan memudaratkan kesihatan dan perkembangan si kecil.

Sembelit Tanpa Rawatan?

Jangan biarkan sahaja bila anak menderita sembelit sebaliknya bawalah segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Sebagai salah satu usaha iaitu  mendapatkan ubat pelembut najis yang membantu masalah pembuangan di peringkat awal.

Sekiranya tidak membantu pembuangan dan dirawat pada peringkat lebih awal, sembelit boleh menyebabkan buasir yang teruk dan sekaligus membawa kepada kanser usus kerana kawasan usus tidak lagi sihat.

Sebaiknya kita perkenalkan pada peringkat awal sayur-sayuran dan buah-buahan atau makanan berserat lain serta kuantiti air masak yang mencukupi kepada anak-anak untuk mengelakkan perkara ini berterusan.

Menurut petikan daripada www.mayoclinic.org, anak sembelit disebabkan oleh beberapa perkara. Ini antara sebab-sebab biasa kenapa anak anda kena sembelit:

  • Perubahan Diet – Anak-anak yang tidak mahu makan dan memilih makanan cenderung mengalami masalah ini. Kebanyakan dari mereka makan makanan yang tinggi tenusu, manis dan makanan proses tapi rendah serat dan cecair yang mencukupi.
  • Bertukar Susu – Menukar susu juga adakalanya menyebabkan anak sembelit. Jadi berusahalah mencari susu yang sesuai dengan anak dan pastikan najisnya elok dan lembut bagi mengelakkan sembelit berlaku.
  • Ubat – Beberapa ubat seperti antibiotik atau suplemen yang tinggi kandungan zat besi boleh menyebabkan si kecil sembelit.
  • Tahan buang air besar – Aktiviti anak yang sentiasa aktif dan sarat dengan pelbagai aktiviti membuatkan anak banyak menahan daripada membuang air besar. Ini adalah salah satu punca usus tidak dilatih dengan betul setiap hari, pada waktu sepatutnya.
  • Takut – Rasa takut dan tidak yakin untuk membuang air besar menyebabkan anak menahan untuk membuang air besar pada tempoh yang lama.
  • Waktu Rutin Terganggu – Perubahan masa, tempat dan jadual seperti travel dan sebagainya turut menjadi penyebab waktu pembuangan anak terganggu dan anak juga rasa tidak selesa.

Jadi ibu kena pastikan anak makan makanan berserat dan paling penting berikan jumlah air masak yang mencukupi pada anak setiap hari. Latih anak untuk membuang air besar pada waktu yang tepat dan berkala serta banyakkan aktiviti fizikal untuk membantu memudahkan pembuangan. Anak sihat, ibu pun senang hati!

 


Published by
SRM