Kehamilan

Jangan Panik Bila Doktor Sahkan Bayi Dalam Kandungan Besar. Sebaik-baiknya Elakkan Makan Mangga, Pisang & Anggur

Share

Ada segelintir ibu berasa bimbang apabila doktor memaklumkan bayi dalam kandungan bersaiz besar. Khuatir berlaku komplikasi semasa proses kelahiran.

Namun, tahukah anda apakah punca bayi boleh menjadi besar? Dr Azirawaty Mohd Tadzri, Pegawai Perubatan di Klinik My Family, Ampang menjelaskan isu ini.

Makrosomia adalah terminologi untuk bayi yang lahir lebih daripada 4000 gram, tidak kira pada bila usia kandungan dilahirkan. Untuk makluman, sesetengah negara mengambil kira berat bayi yang lebih daripada 4.5 kg. Namun di Malaysia, mana-mana bayi yang dilahirkan lebih daripada 4000 gram atau 4kg, baulah dia tergolong di bawah bayi makrosomik.

Pengesanan bayi dalam kandungan bersaiz besar boleh dilakukan melalui pemeriksaan abdomen pada ibu. Ia dilakukan dengan memeriksa ketinggian rahim (fundal height). Jika bayi bersaiz besar, ukuran itu lebih daripada tiga minggu daripada usia kandungan.

Pertumbuhan bayi yang laju dan besar, boleh dikesan dengan pemeriksaan ultrasound
juga. Dalam pemeriksaan ini, doktor melihat kepada purata berat bayi dengan mengukur lilitan abdomen dan kepala bayi serta panjang tulang femur (paha). Antara lain, bayi yang besar turut boleh dikesan melalui indeks air ketuban. Paras indeks air ketuban di dalam perut yang tinggi boleh dikesan seawal 28 minggu!

Banyak unsur jadi faktor

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan bayi di dalam kandungan bersaiz besar. Yang paling biasa ialah disebabkan oleh masalah diabetis mellitus yang berlaku sama ada sebelum ibu mengandung atau semasa mengandung.

Apabila ibu menghidap diabetes sama ada sebelum mengandung atau gestational diabetes (GDM), paras gula tidak dikawal dengan baik akan menyebabkan bayi menghasilkan insulin berlebihan termasuk gula. Jadi, hal ini akan merangsang pertumbuhan lemak bayi yang berlebihan lalu menyebabkan dia mengalami makrosomik.

Faktor genetik si ibu dan si ayah pun diambil kira. Jika seorang ataupun kedua ibu bapa bersaiz besar, maka tidak menjadi sesuatu yang luar biasa untuk bayi yang dikandung itu turut boleh bersaiz besar. Jika ibu bersaiz obes, bayi di dalam kandungan pun boleh bersaiz besar juga.

 

Sekiranya ibu mengalami kenaikan berat badan yang terlalu berlebihan ketika mengandung, ia menambahkan risiko untuk bayi bersaiz besar. Purata kenaikan berat badan yang sihat ialah sekitar 11kg hingga 13kg. Jika lebih daripada itu, maka ia boleh menjadi faktor bayi bersaiz besar.

Umur ibu semasa mengandung yang lanjut iaitu lebih daripada 37 tahun ke atas pun boleh menjadi puncanya. Paling jarang berlaku ialah masalah genetik sindromik seperti Beckwith Wiedemann.

Sehubungan itu, pemakanan yang seimbang dan penuh dengan khasiat dan berwarna-warni seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang berbeza amat penting untuk kesihatan bayi dan berat bayi yang sihat. Namun begitu, jika ibu lebih banyak mengambil makanan yang tinggi gula dan lemak, hal ini boleh menjadi penyumbang faktor saiz bayi dalam kandungan menjadi lebih besar.

Jangan panik jika bayi besar

Bagi mana-mana ibu yang disahkan mempunyai bayi bersaiz besar, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah jangan panik. Jika ia dikesan awal, pemeriksaan lanjutan perlu dituruti. Antaranya ujian langsung ultrasound berkala setiap dua minggu untuk memastikan saiz bayi.

Dalam masa yang sama, diri pun sentiasa kekal aktif. Libatkanlah diri dengan pelbagai jenis aktiviti riadah yang bersesuaian dengan keadaaan semasa. Paling penting, amalkan pemakanan yang sihat.

Ambil makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks, protein yang sihat dan rendah lemak tepu. Elakkan makan makanan tinggi gula seperti coklat, kek, buah-buahan yang terlalu manis seperti mangga, pisang, anggur dan minuman tidak sihat seperti jus kotak yang sedia ditambah gula dan minuman segera, 3 dalam 1.

Paling penting dan ialah kawal tekanan yang mungkin dialami. Tidak dinafikan ketika hamil, ibu mudah penat dan menjadi stres. Beringatlah bahawa stres adalah tidak baik untuk kandungan.

IKLAN