Siapa tak panik kalau bayi belum boleh berjalan sedangkan bayi lain seusianya sudah boleh. Bantu si kecil anda untuk cepat berjalan. Mengikut carta perkembangan bayi, secara umumnya mereka mula boleh berjalan antara usia 9-12 bulan, dan mahir berjalan pada usia antara 14-15 bulan.
Namun, ada bayi yang masih belum mencapai kemahiran tersebut dalam lingkungan usia yang sama.
Sudah tentu ia sedikit sebanyak akan merisaukan ibu ayah tentang perkembangan anaknya. Tapi anda jangan panik dulu selagi mana si kecil tidak mempunyai sebarang masalah pada kesihatan tubuh badannya, maka anda tak perlu terlalu bimbang secara keterlaluan.
Apa kata ketahui tahap perkembangan pergerakan si kecil sebelum mahir berjalan mengikut usianya.
Pada usia 5 bulan pertama pertumbuhan anak, dia telah masuk ke tahap gerakan refleks. Kita dapat perhatikan bila meletakkan kaki si kecil pada lantai, dia akan segera bertindak balas dengan menggerak-gerakkan kakinya seolah-olah hendak berjalan. TIndak balas ini dipanggil gerakan refleks.
Memasuki usia 6 bulan pertama otot-otot anak sudah mula kuat. Ketika kakinya diletakkan di atas lantai, tindakannya menekan-nekan lantai seolah-olah hendak meloncat. Proses ini berlangsung antara usia 6 hingga 9 bulan. Pada tahap ini pula anak akan belajar merangkak, berpusing, dan duduk.
Pada usia ini, anak akan berusaha untuk berdiri. Dia akan menarik apa sahaja objek berhampiran dengannya sebagai cara untuk memaut badannya supaya tidak jatuh. Pada peringkat inilah proses anak belajar berjalan telah bermula. Bahkan ada bayi pada usia ini sudah boleh berdiri (tanpa memaut pada sebarang objek dalam masa sekejap) dan bertatih untuk mengambil mainan yang diinginkannya.
Bantu si kecil cepat berjalan
Ada cara yang ibu ayah boleh buat untuk bantu bayi supaya cepat berjalan.
1. Berdiri tegak
Caranya iaitu melatih si kecil untuk berdiri tegak ketika usianya antara 9-10 bulan. Biasanya dalam tempoh latihan ini bayi akan selalu terjatuh kerana belum stabil untuk berdiri sendiri. Berikan kata-kata semangat supaya dia mahu berdiri sendiri tanpa bantuan anda. Tetapi jangan sesekali memaksa si comel untuk terus berlatih berdiri tegak hanya kerana anda tak sabar hendak melihatnya berjalan ya!
2. Berjalan dengan memegang sebelah tangannya
Cara anda memegang sebelah tangan anak turut membantunya berlatih berjalan. Pegang sebelah tangannya kemudian ajaklah dia untuk berjalan secara perlahan. Sekiranya si kecil sudah boleh berjalan dengan betul, maka biarlah dia yang memegang tangan anda. Ini adalah cara untuk menghilangkan ketakutan anak untuk berjalan sendiri, kerana akhirnya nanti anda tetap perlu melepaskannya untuk berjalan sendiri.
3. Latih anak berjalan mengelilingnya baby cot
Cara lain yang anda boleh lakukan adalah dengan mengajak si kecil berdiri di dalam baby cotnya. Kemudian ajak anak untuk berjalan mengelilingi baby cot dengan memegang pada bahagian tepinya. Cara ini cukup berkesan untuk membantu anak cepat berjalan.
4. Gunakan mainan sebagai rangsangan
Anda boleh gunakan mainan kesukaan si kecil sebagai salah satu rangsangan mempercepatkan dia berjalan. Letakkan mainan tersebut di posisi tertentu kemudian minta dia mengambilnya dengan cara berjalan. Cara ini cukup berkesan kerana si kecil akan termotivasi untuk mengambil mainan kesukaannya.
5. Guna alat mainan yang boleh ditolak untuk rangsang anak berjalan
Anda juga boleh menggunakan mainan yang dicipta boleh ditolak oleh bayi yang baru belajar berjalan. Sekarang ada bermacam alat mainan di pasaran yang dicipta bagi membantu proses bayi belajar berjalan. Sebaiknya pilih mainan yang berukuran besar supaya ia dapat menampung saiz badan bayi anda dan keselamatannya pun terjamin.
Semoga dengan beberapa tips tersebut, si kecil boleh cepat belajar berjalan dengan selamat. Apa pun ibu atau ayah jangan paksa ya si kecil untuk berjalan cepat.