Tanyalah pada mama papa mana sekalipun pastinya merasakan tempoh membesarkan anak-anak adalah waktu yang sukar. Melayan karenah mereka, rajuk mereka dan tidak kurang perangai yang berbeza-beza menjadikan semakin sulit.
Namun semua inilah momen terindah yang seharusnya dikenang oleh mama dan pama. Jangan sekali-kali merungut kerana sampai masalah kita akan merindui detik-detik indah ini.
Perkongsian ayah bernama Ahmad Affzan Abdullah di facebook ini memang sweet. Bercerita ringkas menidurkan ketiga-tiga anaknya ketika masih kecil sudah mampu menjentik rasa hati yang paling dalam. Dengarkan perkongsian ringkasnya. Mama papa kena tiru ni. Jangan merungut!
Momen-momen begini membuatkan aku bersyukur Tuhan memilih aku menjadi seorang ayah.
Saat anak tidur berbantalkan paha, berbantalkan bahu. Sampai bila pun akan dikenang.
Orang lain mungkin rimas, tapi aku suka. Biarlah aku tak bergerak dari situ pun tak apa, asal anak tidur lena. Sambil-sambil itu, akan aku usap rambutnya dan membisikkan doa serta kata-kata cinta di telinga.
Aku masih ingat ketika anakku yang pertama aku dodoikan hingga terlena di tanganku. Jam 3 pagi, setelah puas aku ‘usung’ dari bilik ke ruang tamu, ke dapur, dan kembali ke ruang tamu, namun menangis tak berhenti-henti. Dan pada pukul 8 pagi itu, aku harus kembali segar untuk mengajar.
Ketika di UK, anak aku yang kedua pula sering aku tidurkan di bahu. Dan aku pun terlelap sama, sambil duduk. Begitulah posisi kami tidur sementara menunggu isteriku pulang dari mengajar di sekolah mat saleh yang berdekatan.
2 jam tidur berpelukan begitu, pasti akan aku ingat selamanya.
Anak yang ketiga, aku tidurkan dalam keadaan diri berperang dengan depresi selepas kegagalan PhD dan kematian Abah. Tangisan kamu bergema di serata rumah, tangisan Abi siapa yang tahu. Namun cinta tak pernah kurang.
Anak-anak, kadang-kadang memang kami garang, terlepas melepaskan emosi. Tidak sekali-kali itu bermakna kami benci dan berputus asa menjaga kalian.
Dalam hati, kalianlah hidup kami.
Apa saja yang kami tak sanggup usahakan, asal kalian membesar menjadi manusia berguna kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling.
Tidurlah, nak.
Paha dan bahu kami sentiasa ada untuk kalian bermanja. Sampai masanya, terbanglah semua menunaikan amanah masing-masing sebagai manusia di bumi Tuhan.
Doa kami sentiasa diiringkan. Moga kami dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan sempurna.
Semoga Tuhan reda.
Kredit: Ahmad Affzan Abdullah
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI