Kerap kali terjadi kelahiran tanpa dirancang. Ada ibu yang terpaksa bersalin di rumah atau di dalam kenderaan kerana tidak sempat untuk ke hospital. Sesiapa sahaja boleh melalui detik melahirkan sebegini kerana itu ibu-ibu perlu persiapkan diri. Dr Nurul Azwa Hasny, pakar perbidanan dan sakit puan Salam Medical Centre memberikan butiran mengenai kelahiran kecemasan atau born before arrival ini.
Kelahiran boleh berlaku bila-bila masa dan di mana sahaja. Lebih-lebih lagi bagi kehamilan yang sihat dan kandungan sudah melewati usia 37 minggu. Menurut Dr Nurul Azwa, sebaik-baiknya sentiasa bawa bersama buku rekod pemeriksaan kehamilan dan beg hospital yang berisi kelengkapan bersalin apabila kandungan menghampiri tarikh jangkaan bersalin.
Bagi kes yang melibatkan sakit tiba-tiba ketika memandu di jalan raya atau ketika berseorangan di rumah, beberapa langkah perlu dilakukan untuk memastikan proses kelahiran tidak menyebabkan kemudaratan kepada ibu dan anak.
- Sekiranya ibu terbabit sedang memandu, maka dia perlulah berhenti di tempat yang selamat seperti di tepi jalan.
- Hubungi orang lain seperti suami, jiran atau adik-beradik yang tinggal berhampiran supaya segera menghubungi talian kecemasan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 bagi mendapatkan bantuan kecemasan.
- Jika tidak ada orang lain bersama hubungi 999 sendiri dan berikan maklumat penting iaitu anda sedang hamil minggu ke berapa dan sedang sakit bersalin serta alamat lokasi bagi memudahkan bantuan kecemasan disalurkan.
- Bagi ibu yang berseorangan di rumah, cuba berbaring di atas katil atau permukaan yang rata.
- Jika ada seseorang yang boleh membantu menyambut bayi, disarankan untuk duduk di hujung katil bagi memudahkan proses menyambut kelahiran.
- Bernafas dengan kuat dan cepat (panting) supaya tidak terteran sebelum benar-benar bersedia.
Tanda-tanda kelahiran amat dekat
Ibu perlu tahu tanda-tanda ini supaya boleh mengenal pasti bahawa kelahiran akan berlaku dan tidak sempat untuk ke hospital. Pada kebiasaannya bagi anak pertama, kelahiran akan mengambil masa lebih lama manakala bagi kehamilan anak kedua dan seterusnya akan berlaku lebih cepat.
- Kontraksi yang kerap iaitu antara dua hingga empat minit sekali.
- Gesaan untuk meneran atau rasa ingin buang air besar.
- Pecah ketuban secara tiba-tiba.
Empat keperluan asas perlu ada
Selain segera mendapatkan bantuan kecemasan, sekiranya masih sempat, sediakan peralatan asas bagi memastikan kelahiran lebih mudah dikendalikan.
- Sediakan alas tempat perbaringan seperti plastik alas meja atau hamparan kain yang tebal. Ini kerana proses kelahiran akan melibatkan pengeluaran lendir dan darah yang banyak dan alas tersebut memudahkan proses membersihkan kelak.
- Kain lampin atau tuala yang bersih dan kering dalam kuantiti yang banyak.
- Kain lampin untuk menyambut bayi dan kain untuk membalutnya.
- Air suam yang diletakkan dalam besen yang bersih. Ia diperlukan untuk membuang kekotoran lendir pada bayi dan mencuci tangan.
Tip elak panik dan bersedia segera
Ibu perlulah berkeyakinan diri untuk melalui proses bersalin walau pun terpaksa melakukannya seorang diri atau tanpa sempat ke hospital. Kata Dr Nurul Azwa, dahulu sebelum adanya teknologi perubatan, kebanyakan wanita melahirkan anak di rumah dengan bantuan bidan kampung atau suami. Bersalin adalah proses semula jadi bagi seorang wanita. Jika kedudukan bayi betul dan sudah berada di bahagian rongga pelvis, kelahiran akan mudah dan tidak mengambil masa yang lama.
Walau pun begitu, pastikan faktor kebersihan dititikberatkan untuk mengelakkan jangkitan kuman kepada ibu dan anak. Ibu perlu mencuci bahagian intim dengan air atau dengan sabun dan air sebelum proses kelahiran. Bidan, ibu atau sesiapa sahaja yang akan menyambut bayi juga perlu bersih.
Ibu tidak perlu meneran bagi kes kelahiran seperti ini. Sebaik-baiknya jangan meneran. Bernafas dengan cepat dan berbunyi boleh mengelakkan ibu meneran dan bayi meluncur keluar dengan sendirinya. Hal ini adalah untuk mengelakkan koyakan pada tisu-tisu lembut, melengahkan masa untuk persiapan dan mengelakkan kecederaan atau bayi terjatuh jika ibu masih belum dalam posisi yang membolehkannya menyambut bayi.
Bila si kecil sudah keluar!
- Saat ini ibu atau orang yang menyambut bayi perlulah bersedia untuk mengampu kepala bayi dan dorongnya keluar dengan lurus untuk mengelakkan koyakan teruk pada ibu.
- Perhatikan kedudukan tali pusat. Alihkan untuk mengelakkan ia mencerut leher atau badan bayi.
- Sambut badan bayi.
- JANGAN potong tali pusat untuk mengelakkan jangkitan kuman!
- Lap seluruh badannya terutama pada bahagian mulut dan hidung yang mungkin mempunyai lendir dengan kain lembut seperti kain lampin.
- Urut perlahan bahagian belakang bayi untuk merangsang bayi menangis supaya dia boleh bernafas dengan baik.
- Letakkan bayi di dada ibu (atau perut ibu jika tali pusat pendek) secara menangkup atau melekap untuk sentuhan kulit ke kulit. Selimutkan tubuh bayi untuk mengelakkan kesejukan.
- Sambut uri keluar dan biarkan tali pusat tidak dipotong. Melambatkan pemotongan tali pusat boleh memberikan 20 hingga 30% lebih darah dan oksigen kepada bayi. Tunggu sehingga bidan memotongnya menggunakan peralatan yang steril.
- Dapatkan posisi yang selesa untuk ibu boleh memulakan penyusuan kali pertama.
- Sementara menunggu kehadiran pihak perubatan, peralatan bayi dan ibu boleh disediakan kerana kemungkinan ibu dan bayi akan ditahan di hospital sekurang-kurangnya sehari untuk prosedur penskrinan penyakit, pemeriksaan jaundis dan sebagainya.
Dr Nurul Azwa menegaskan bersalin di rumah amat tidak digalakkan. Dengan kemudahan perubatan yang banyak, ibu perlu mengelakkannya kerana ada risiko terjadinya musibah kepada ibu dan bayi amat tinggi kerana kedua-duanya tidak dapat dipantau oleh petugas perubatan.
Sekiranya sudah hampir dengan tarikh bersalin, pastikan anda menyimpan nombor telefon klinik atau bidan untuk dihubungi sekiranya berlaku kes sebegini. Selain itu, pastikan telefon boleh berfungsi sebagai persediaan. Elakkan berada keseorangan di rumah atau membuat perjalanan jauh seorang diri apabila kandungan mencecah 37 minggu atau tarikh bersalin semakin hampir.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI