Semua ibu pastinya pernah berhadapan dengan masalah anak mengawal remote control atau telefon di tangan mereka. Gagal untuk meminta secara baik, pastinya ramai di antara kita yang dengan mudahnya merampas dari tangan anak.
Sebenarnya hal ini salah kerana ia mendidik anak untuk sama meniru perbuatan yang kita lakukan kepadanya. Malah banyak kesannya kepada perkembangan otak si kecil.
Dr. Aimi Jaafar bercerita cara sihat berinteraksi dengan anak kecil secara tepat.
Alat kawalan jauh.
Atau lebih dikenali dengan ‘remote control’,
itulah ‘mainan’ kegemaran Aydin Alhaq.
Adakah mungkin disebabkan banyak butang-butang beraneka bentuk dan warna yang boleh ditekan, ataupun kebolehannya untuk mengawal dari jauh?
Sedang semua mata tertumpu di kaca televisyen, menunggu langkah seterusnya oleh sang naga kecil dalam cerita ‘How to Train Your Dragon 2’ yang baru dibeli oleh kakak-kakak sepupunya Aydin, tiba-tiba poof, kaca televisyen berubah menjadi semut-semut yang diikuti oleh bunyi bingit tidak bermakna.
Liar mata-mata mencari punca pertukaran channel itu.
‘Aydin~~~~!’
Jari-jari halus itu rancak memicit butang-butang yang tidak diketahui fungsinya, dengan senyuman penuh kepuasan terlukis di riak wajah comel itu.
Bagaimana mahu mengambil mainan kegemarannya itu dari tangannya? Kalau dirampas, pasti menangis. Kalau diminta, fahamkah si kecil yang baru berusia 9 bulan itu?
Kakak-kakak sepupu Aydin sudah mula bermasam muka, Aydin killed the excitement.
Oklah. ‘Aydin, meh kasi remote tu sekejap. Ni ada satu lagi remote, ada lampu dia, kita tukar ok?’
Mata galak itu memandang alat kawalan jauh yang dihulurkan kepadanya. Seperti ada bintang-bintang bersinar di matanya, langsung dilepaskan alat kawalan jauh di tangannya, dan dicapai yang baru.
‘Tett, tett, tettt’, dengan beberapa picitan, kaca televisyen kembali menayangkan gambar si pahlawan kecil di atas naga.
‘Yayyyy’, semua pun kembali memberi tumpuan ke kaca televisyen, fokus mengikuti plot cerita itu.
Semua, tapi tidak semua. Ada sepasang mata yang galak, memandang dengan sepenuh perhatian pada alat di tangannya, memicit setiap butang, mengkaji mainannya yang baru.
———————————————————————-
Walau tidak nampak kepentingannya sekarang, sebenarnya bagaimana kita melayan anak sewaktu masih kecil adalah sangat sangat penting. Waktu inilah mereka belajar. Belajar bagaimana menjadi manusia berperasaan, beradab, beretika.
Jika si anak sering dirampas sewaktu kecil, dia akan belajar untuk merampas dari yang lain. Jika si anak sering dihalang untuk melakukan semua benda, dia akan belajar untuk menjadi penakut, dan apabila besar, berubah menjadi pemberontak.
Sebagai ibu bapa, kita pasti mahukan yang terbaik. Kadangkala anak kita mengambil sesuatu yang bahaya, seperti gunting, pastilah kita akan terus melepaskannya dari tangan anak kita.
Tapi pastikan ada kata-kata yang menjelaskan kenapa ia diambil dari tangannya. Walau kita rasa dia belum faham, tapi secara luar sedar, dia akan lebih tenang dan jiwanya akan memahami. Apa yang dia faham? Yang kita bukan marah atau paksa, tapi kita sayang dan risau.
Anak kecil juga punya perasaan, bukan?
Kredit: Dr Aimi Jaafar.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI