Semestinya ibu-ibu ada pengalaman ni kan? Anak nak tidur, mesti nak kita ada sebelahnya. Selain tu ada juga yang perlu bantal busuk, kain, hisap jari, gentel baju, gosok telinga dan macam-macam lagi.
Istimewanya juga anak kita ni, bukan itu saja yang boleh buat mereka lena, ada juga nak pegang telinga ibu, pegang jari, main rambut dan sebagainya sebagai ubat penenang sebelum lena dibuai mimpi
Disebabkan ini, ada sesetengah ibu rasa rimas tapi momen inilah yang buatkan si anak lebih rapat. Jangan risau, anak-anak bila mereka besar, secara automatiknya tabiat ini mereka tinggalkan.
Tunggulah bila mereka besar, apabila anda ceritakan tabiat masa kecilnya pasti mereka tersenyum malu.
Nak tahu bahagian anggota badan ibu yang anak suka-suka, di sini ada beberapa contoh.
PERUT
Bahagian ini paling disukai anak lelaki, tidak kira ketika hendak tidur atau menyusu. Kalau hendak tidur dia mesti mahu pegang, picit dan tepuk perut kita hingga lena.
Ads
Ada juga anak yang suka pegang perut kerana suka-suka. Sedang sibuk main, dia akan lari sekejap mencari perut si ibu. Kalau dapat picit sekejap pun jadilah.
Dia biasanya akan beri pujian supaya diberikan peluang pegang perut kita. “Perut mama geramlah, nak cubit” atau “Perut mama besar best-lah, nanti makan banyak lagi!”
Nampak mesra hubungan anak dan ibu. Tetapi hati-hati jangan dibiasakan sangat, nanti ke mana-mana pun mahu pegang perut saja. Nanti, susah hendak kawal tabiat tu. Jangan sampai depan tetamu pun anak lari dan tarik baju kerana mahu cari perut.
SIKU
Orang kata bahagian ini lebih disukai anak nombor tiga? Betul ke?
Anak kita bukan setakat gentel siku, kadang-kadang dikoreknya siku sampai merah dan sakit. Kalau dilarang menggentel, digentelnya siku adik beradik pula! Apabila adik beradik pula menolak, gentel siku sendirilah jawabnya.
Ads
Ibu bapa dengan anak yang sukakan siku tidak perlu risau apabila terpaksa meninggalkan anak dengan orang lain. Jenis ini senang fijaga, kalau hendak tidur boleh pinjam mana-mana siku berhampiran! Tapi pastikan siku tidak sekeras tapak kaki, nanti anak reject!
DAGU
Kalau perasan, anak kita biasa sukakan dagu si ayah yang berjanggut. Bukan setakat gentel, dipusing-pusing dan ditariknya sampai ayah menjerit.
TELINGA
Mungkin disebabkan bahagian ini lembut tidak bertulang dan sejuk, anak tertarik menggentel telinga. Anak biasanya akan gentel telinga sendiri sama ada ketika menyusu atau duduk sendirian hingga tertidur.
Melihat anak gentel telinga sudah pasti satu cabar bagi ibu yang kaki geli. Jadi, kenalah tahan geli hingga anak tidur! Tabiat ini bagaimanapun akan hilang apabila usia anak bertambah! Ketika itu, anak akan cari bahagian lain pula untuk digentelkan.
Bahagian ini paling popular. Mungkin agak normal kerana rata-rata anak suka pegang jari ibunya atau hisap jari sendiri.
Ada kes tertentu, anak suka menggentel celahan jari atau kulit hingga sampai kemerah-merahan. Malah, ada anak suka bermain dengan ibu jari, dan kalau terlampau geram, terus saja digigitnya
6. RAMBUT
Anak yang suka mengusap rambut ibu, terutama ketika tidur memang nampak comel dan romantik. Selain usap rambut, mereka juga suka kalau rambut itu dilayurkan ke wajah mereka. Cara ini boleh membuatkan dia tidur lebih mudah.
Sumber: bumbumcak
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebagai ibu bapa tentu kita nak anak hormat kita. Jadi jangan pandang ringan layanan pada anak sejak mereka kecil lagi.
Sedar atau tidak, kadang-kala kita sebagai ibu bapa sendiri yang mendidik anak dalam aura negatif.
Asal anak buat salah sahaja, cepat kita marah dan tengking tanpa mengambil kira faktor usia anak tersebut.
Menggunakan kuasa veto sebagai ibu bapa, kita mahu anak-anak hormatkan kita tapi diri sendiri terpekik terlolong marahkan si anak yang teruja nak berkongsi lukisan yang dibuat di sekolah kerana kita penat baru balik dari kerja.
Betullah seperti hasil tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam blog beliau, hari ini memang ramai ibu bapa yang bagi layanan terbalik kepada anak-anak. Hasilnya anak membesar sebagai individu penuh dendam dan tidak menghormati orang tua.
Layanan Terbalik Ibu Bapa Yang Pelik
“Kamu ni tak faham-faham ke? Berapa kali emak nak cakap, emak ni penat!” tengking seorang ibu kepada anaknya.
Jari telunjuknya tajam mencucuk-cucuk dahi anaknya yang berusia dalam lingkungan lima ke enam tahun.
“Kamu buat apa di sini? Balik!” herdik seorang bapa kepada anak remajanya yang sedang duduk berbual bersama kawan sekelasnya.
Ayat-ayat ini adalah habuan telinga yang biasa mengiringi kita menuju dewasa. Jika tidak diri sendiri yang jadi mangsa, kawan-kawan di sekeliling biasa mengalaminya.
Entahlah, saya cukup tidak tahan melihat ibu bapa yang ‘bising’ apabila marahkan anak, terutamanya jika marah itu tidak kena cara. Ibu bapa saya bukanlah jenis yang begitu, lantas mungkin saya tidak biasa dengannya. Tetapi apakah ganjil kerana tidak biasa dengan cara begitu, dan tidka mahu ia diterima sebagai kebiasaan yang normal? Sebaliknya yang normal itu ialah pada menerima, bahawa menengking dan mengherdik merupakan cara kita mendidik anak-anak.
Saya bukan mahu bercakap tentang wajar atau tidak herdik dan tengking menjadi bahasa pilihan antara ibu bapa dan anak. Tetapi kali ini saya mahu muhasabah tentang ibu bapa yang lupa melihat kekerdilan juga kedewasaan anaknya.
LAYAN CARA KECIL ATAU DEWASA
Anak kecil dilayan seperti orang dewasa, anak yang sudah dewasa dilayan seperti budak kecil. Lantas layanan itu hanya menyemai bibit benci dan dendam anak-anak kepada ibu bapa.
Apa yang seorang anak berusia lima tahun faham, tentang keletihan dan stress seorang ibu yang baru pulang kerja selepas bergaduh dengan majikan? Seorang anak berusia lima tahun hanya faham satu perkara, iaitu ibu adalah ratu hatinya. Tempat dia mencari perhatian, kasih dan sayang. Maka anak-anak di usia lima enam tahun itu mengikut naluri yang betul apabila cuba bermesra dengan ibu dan bapanya. Dia tidak faham keletihan dan kerunsingan seorang ibu dan bapa. Dia tidak peka dan tidak peduli dengan keletihan ibu bapanya.
Ibu dan bapa adalah hero mereka. Maka mereka hanya mengharapkan ibu dan bapa yang sentiasa bersedia untuk mereka.
Anak-anak itu mahu berkongsi cerita, kisah gurau sendanya dengan kawan-kawan di sepanjang hari persekolahan. Tiba-tiba bapa melenting marahkan anak, “kamu tidak tahukah aku penat?”
Bagaimanakah akal seorang anak berusia lima tahun menafsirkan herdikan yang begitu? Sampaikah akal kanak-kanak di usia itu untuk memahami susah payah ibu bapanya bekerja? Dia masih anak kecil. Kita melayannya seperti dia sudah dewasa.
Sesungguhnya itulah ibu bapa tempang yang belum dewasa dalam menghayati naluri manusia, anaknya sendiri.
YOP KENA MARAH
“Kenapa Yop masam muka ni?” saya kehairanan. Anak saya bermasam muka sepanjang hari.
Bukan sahaja mukanya masam, gelagatnya pun lain dari biasa. Naurah menjadi mangsa kemarahannya. Bila ditegur, jadi merampus tidak tentu hala.
Kalau nak diikutkan hati, memang geram. Kita tanya secara baik, dia membalasnya dengan cara sedemikian rupa. Tetapi sebagai bapa atau ibu, kitalah yang sepatutnya sudah cukup berakal untuk mengorek isi hati si anak. Tahan sabar.
Jika seorang paediatrik berdepan dengan cabaran untuk membantu seorang budak menjelaskan sakit fizikal yang dialaminya, ibu bapa juga harus profesional dalam mengorek masalah anak-anak, terutamanya masalah jiwa dan perasaan. Emosi anak yang gagal diluahkan akan menjadi penyakit di dalam personalitinya. Janganlah kita sebagai ibu bapa yang menjadi punca virus dan bakterianya.
Semasa Yop berusia sekitar dua tiga tahun, beliau mudah ditenteramkan dengan dialog. Saya tarik dia masuk ke bilik, bercakap face to face biar pun saya tahu beliau tidaklah begitu memahami apa yang saya katakan. Tetapi sesi itu selalu selesai dengan Yop memeluk saya dengan tangisan. Tetapi apabila usianya meningkat dewasa, usaha melembutkan hatinya yang keras menjadi semakin sukar kerana dia sering keras membatu.
“Tadi cikgu marah Yop” anak saya mula mahu bercakap.
“Kenapa cikgu marah?” saya cuba lagi untuk memahaminya.
“Cikgu marah sebab buku Yop kotor. Bukan Yop buat. Naurah yang conteng” katanya. Bibir memuncung.
“Yop cakap tak pada cikgu, Naurah yang conteng buku Yop?” saya terus bertanya.
Anak saya mengangguk.
“Tapi cikgu cakap buku Yop, Yop la kena jaga” katanya.
Saya tergamam.
Jika cikgu merotan tangan anak saya kerana bukunya diconteng oleh si adik, mampukah anak saya pada usia 5 tahun faham konsep accountability dan responsibility? Saya rasa anak saya pada usia begitu hanya mampu faham, dia patut dihukum atas kesalahan yang dia buat secara langsung. Maka jika bukunya diconteng oleh Naurah, Naurahlah yang sepatutnya dikenakan tindakan, bukannya dia. Pada Yop, dia telah dihukum atas kesalahan yang dia tidak buat.
Inilah yang saya maksudkan, anak kecil dilayan macam orang dewasa.
Naurah juga masih terlalu kecil untuk faham menconteng buku abang itu salah. Pada fikirannya, ia suatu keseronokan, dan seronok itu baik.
NASIB ABANG DAN KAKAK
Selalu juga berlaku di dalam sebuah keluarga, anak sulung sama ada Abang Long atau Kak Long, sentiasa disuruh mengalah kepada adik.
“Bagilah benda tu kat adik kamu. Kamu dah besar. Dia budak lagi” marah ibu atau bapa kepada anak.
Anak sulung sering disuruh mengalah.
Tetapi jangan kita lupa, ketika anak sulung dimarah, dia sedang berada pada usia intensif pembentukan identiti dan emosi. Identitinya perlu dibangunkan, dan emosinya perlu dibentuk. Sedangkan si adik kecil yang mahu dimenangkan itu belum faham apa-apa. Maka kesilapan kita ketika marah, impaknya pergi kepada anak yang telah faham maksud kecil hati dan dendam itu.
Marah boleh marah, tetapi janganlah sampai tiada didikan dalam kemarahan itu.
Akhirnya anak sulung menjadi taat mengikut arahan. Bukan kerana jadi baik, tetapi kerana rendah keyakinan diri.
Sikap melampau ibu bapa memenangkan anak kedua, menjadi anak sulung membesar dengan inferiority complex, manakala si adik pula terus membesar dengan superiority complex. Rosak kerana dimanjakan hingga tidak belajar mengikut arahan. Si sulung terlebih menerima arahan, yang adik terlebih mendapat kelebihan.
Perbahasan lanjut mengenai peringkat pembelajaran oleh Erik Erikson ini boleh dibaca di https://www.psychologynoteshq.com/erikerikson/
Erik Erikson di dalam teori perkembangan psikososial beliau, mengusulkan bahawa kanak-kanak semenjak lahir hingga dewasa, menempuh pelbagai peringkat pembelajaran yang unik. Di setiap peringkat umur, tindak tanduk anak-anak merupakan bentuk-bentuk pembelajaran yang memerlukan sokongan kita agar itu terbentuk dengan betul. Misalnya ada usia 18 bulan ke 3 tahun, si anak mula menerokai autonomi. Mereka mula mengambil tanggungjawab ke atas dirinya. Pakai baju sendiri, ke tandas sendiri, menyuap makanan sendiri, dan kita perlu menyokongnya. Bukan melakukan bagi pihak mereka, atau memarahi mereka apabila salah dalam melakukannya.
Demikianlah juga pada peringkat-peringkat yang lain.
Apatah lagi anak yang sudah meningkat remaja. Sudah faham erti maruah diri, membina identiti, memisahkan identiti diri daripada identiti ibu bapa, tiba-tiba marah kita memalukan dia di depan kawan-kawan, memusnahkan perkara induk yang si anak sedang bina. Ia langsung tidak mendidik malah hanya mencetuskan dendam. Janganlah buat anak remaja kita macam budak-budak. Jangan juga anak kita yang masih budak, dilayan seolah-olah dia sudah besar remaja.
“Bukanlah kuat dan tegas itu pada kuat pertarungan. Tetapi kuat dan tegas yang sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal dirinya ketika marah”
Itu pesan Nabi, sallallahu alayhi wa sallam.
Hasrizal Abdul Jamil
Sumber: abah.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ibu ayah jika anak usia 2 tahun ke atas suka explore, melompat tu bagus. Cuma anda perlu tahu cara yang betul untuk rangsang perkembangan anak tanpa mengehadkannya. Tak semestinya anak tak duduk diam itu hiperaktif ya!
Sebab itu, menurut Terapis Cara Kerja, Puan Siti ‘Aisyah Rozalli, kemahiran melompat merupakan kemahiran yang penting untuk dikuasai oleh kanak-kanak. Pada usia 2 tahun, kanak-kanak akan boleh mula melompat (kaki terangkat dari lantai, bukan hanya “bounce” tanpa mengangkat kaki).
Kanak-kanak yang lambat menguasai kemahiran melompat, biasanya akan turut berisiko mempunyai kelewatan dalam perkembangan lain termasuk kemahiran motor halus dan kemahiran berkomunikasi.
KEBAIKAN MELOMPAT ATAS TRAMPOLINE
Stimulasi Sensori Vestibular & Proprioception
Bila anak-anak melompat di atas trampoline, daya lonjakan dari trampoline yang anjal akan menyebabkan berlaku tekanan (pressure) pada bahagian sendi-sendi utama kaki dan tulang belakang semasa anak-anak ‘mendarat’ di atas trampoline. Ini adalah stimulasi proprioception. Manakala semasa anak-anak melonjak, daya tujahan yang diberikan oleh keanjalan trampoline akan menyebabkan anak-anak melompat lebih tinggi dan perlu mengawal keseimbangan tubuh dari terjatuh. Ini adalah stimulasi vestibular.
Kesedaran Bahagian Tubuh
Stimulasi proprioception yang berlaku semasa anak-anak melonjak di atas trampoline akan membantu mereka untuk mengenalpasti bahagian tubuh dengan lebih baik. Input sensori yang lebih baik dapat disampaikan kepada tubuh badan. Ini akan membantu anak-anak untuk lebih sedar akan pergerakan tulanh belakang dan sendi utama kaki. Kesedaran ini akan membantu anak-anak untuk kurang hiperaktif, menguatkan ‘core muscles’ serta membantu meningkatkan ‘alertness’ pada persekitarannya.
Mempunyai Kekuatan ‘Core Muscles’ Yang Baik
Ini akan membantu anak-anak untuk mempunyai ‘endurance’ yang lebih panjang kepada aktiviti statik. Aktiviti statik seperti belajar sambil duduk di atas kerusi akan lebih mudah dilakukan bila ‘core muscles’ anak-anak lebih kuat.
Fokus Dan Koordinasi Visual
Apabila anak melompat di atas trampoline sambil memandang anda, atau membaling bola pada target sambil melompat di atas trampoline, atau memandang pada satu poin di dinding, ini akan membantu fokus dan koordinasi visual anak-anak. Perkara ini adalah amat penting bagi membantu anak-anak mempunyai fungsi tubub yang lebih bersedia untuk belajar perkara yang berkaitan dengan visual motor-perseptual seperti MEMBACA dan MENULIS.
Mengurangkan Hiperaktif
Melompat di atas trampoline adalah antara ‘diet sensori’ yang biasa akan diberikan oleh terapis bagi anak-anak yang hiperaktif. Memberikan waktu untuk anak-anak melompat sepuasnya, akan mengurangkan keinginan dan tenaga bagi anak-anak yang sentiasa ingin berlari, dan memanjat ke sana ke mari.
Meningkatkan Kemahiran Memahami Arahan
Melakukan aktiviti melompat di atas trampoline sambil mengajak anak bermain permainan “jump, jump, jump, jump, stop!” akan membantu anak-anak yang sukar mengikut arahan, hiperaktif dan suka melakukan kerja dengan cepat-cepat sehingga kelihatan ‘clumsy’. Ajarkan anak untuk lompat semasa anda sedang menyebut “jump, jump, jump”. Dan minta anak anda berhenti bila anda sebut “stop!”. Jika anak anda sukar mengikut arahan pada awalnya, gunakan bantuan fizikal atau modelkan pada anak anda untuk membantunya faham permainan ini.
Stimulasi Komunikasi Sambil Melompat
Melihat anak-anak yang sentiasa berkembang secara holistik, tidak salah jika anda mahu membantu kesukaran anak anda semasa melakukan aktiviti atas trampoline. Ajak anak anda mengira bilangan lompatannya, ajak anak anda menyebut “jump, jump, stop” bersama semasa bermain permainan “jump, jump, stop” dengannya, pastikan anak anda faham maksud naik dan turun, ajak anak anda tepuk tangan sambil melompat, dan apa sahaja. Gunakan kreativiti anda! Have Fun!
Tapi, jika anak anda belum boleh melompat dengan baik, fokuskan aktiviti atas trampoline untuk membantu anak anda melompat dengan baik dahulu. Kepelbagaian aktiviti tambahan, lakukan bila anak anda sudah semakin menguasai aktiviti melompat di atas trampoline.
Tips Jika Anak Anda Takut
– Ajak anak anda main dahulu permainan kegemarannya di atas trampoline sebelum anda ajak anak anda melompat.
– Anak-anak yang sering takut, biasanya mempunyai anxiety level yang agak tinggi. Melompat di atas trampoline akan membantu meningkatkan keyakinan dirinya.
Perkembangan anak dari mula dilahirkan sehingga mampu berdikari, banyak fasa sebenarnya ibu bapa kena lalui dan hadap. Bukannya anak membesar ikut usianya terus pandai buat macam-macam.
Dalam tempoh nak belajar dan pandai sesuatu kemahiran itulah, ibu bapa kena letak ‘sabar’ pada level tertinggi.
Seperti yang dikongsikan oleh Terapis Cara Kerja (Pediatrik), Puan Maryam Jamadi, nak anak pandai cakap, pandai jalan, pandai makan, pandai urus diri semua itu ibu bapa kena bersedia hadap dulu. Jangan terlalu sekat hingga anak tak boleh nak belajar.
Ingat beri kebebasan tetapi dalam masa sama pantau. Jangan pula salah anggap ya!
HADAPLAH DAHULU
Nak anak pandai cakap, kena hadap fasa anak masukkan benda/tangan dalam mulut dahulu.
Nak anak pandai jalan, kena hadap fasa anak mengesot dan merangkak merata-rata di dalam rumah dahulu.
Nak anak pandai makan nasi tanpa tertumpah, kena hadap anak mengutip apa-apa benda-benda kecil yang dia nampak dahulu.
Nak anak pandai pegang pensil, kena hadap anak asyik nak memanjat dan bergayut dahulu.
Nak anak pandai bersosial dengan kawan-kawan, kena hadap anak yang asyik nak berkepit dan peluk setiap masa dahulu.
Nak anak pandai makan tak memilih sangat, kena hadap anak yang asyik nak “rasa-rasa” benda yang dia pegang dahulu.
Nak anak pandai uruskan diri, kena hadaplah anak mengamuk nak buat semua benda sendiri walaupun belum pandai dan susah.
Nampak kan? Setiap apa yang anak lakukan semasa dari bayi ada sebabnya dan kesannya terhadap perkembangan. Bila kita sekat fitrah anak, pasti kesannya akan dapat dilihat di masa akan datang seperti,
– Lewat bercakap – Memilih makan – Masalah pegangan pensil dan menulis – Lewat berjalan – Masalah gayat – Terlampau takut dengan orang lain – Lewat skil pengurusan diri
Tetapi sebagai mak ayah, tak adalah semua perkara anak nak buat kita benarkan contohnya anak nak gigit selipar pun kita biarkan ataupun anak panjat gril sampai ke siling pun kita biarkan.
Perlu jadi mak ayah yang bijak, kenalpasti keselamatan anak dahulu barulah benarkan anak meneroka.
Banyak sangat kes yang melibatkan isu-isu di atas bila mak ayah kurang ilmu dan tak tahu kepentingan setiap perkara yang anak lakukan dari lepas lahir pasti ada sebabnya.
Tapi jangan pula masyarakat menuding jari hanya pada mak ayah bila jumpa anak yang mempunyai masalah perkembangan sebab ada juga kes dimana mak ayah dah buat segala macam cara dari bayi tapi anak tetap terlewat perkembangan.
Masalah kelewatan perkembangan ada pelbagai faktor, ini hanyalah antara beberapa faktor yang boleh menjadi punca kelewatan perkembangan.
Apa yang kita boleh lakukan sebagai mak ayah / penjaga adalah:
1. Sentiasa belajar, belajar dan belajar tentang ilmu perkembangan anak.
2. Rangsang perkembangan anak mengikut umurnya.
3. Selalu periksa perkembangan anak, kini semuanya di hujung jari.
4. Dapatkan bantuan segera sekiranya perasan anak terlewat 6 bulan dari umurnya. Semakin cepat dapatkan rawatan, semakin cepat hasilnya.
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.