Bagi anak-anak yang menggunakan botol susu, sangat penting bayi ibu ayah membersihkannya dengan baik bagi mengelakkan ‘pencemaran’ yang merosakkan kualiti susu. Nampak remeh tetapi kepentingan untuk mencucinya dengan baik perlu dititikberatkan supaya botol susu tahan lama dan tidak membiak bakteria.
Langkah demi langkah ketika membersihkan botol susu anak sangat penting. Kesilapan mencuci peralatan penyusuan boleh menyebabkan ia kurang bersih dan membiakkan pelbagai kuman yang boleh menyebabkan penyakit seperti keracunan, cirit birit sebagainya.
Pensterilan juga perlu dilakukan sebagai cara menyahkuman. Mensterilkan peralatan penyusuan boleh dilakukan menggunakan pelbagai kaedah seperti merebus, menggunakan pensteril elektrik, bekas pensteril yang menggunakan ketuhar gelombang mikro, pensteril tanpa air dan sebagainya.
Susu ibu lazimnya meninggalkan kesan berminyak manakala susu formula pula meninggalkan kesan dan bau masam sekiranya tidak dibersihkan segera. Bukan sahaja botol susu, bahagian breast shield pam payudara, milk collector, nipple shield, cawan, mangkuk, sudu dan puting (pacifier) juga perlu disterilkan.
Bagi anda yang mempunyai bayi bawah 12 bulan, steril semula peralatan jika tidak digunakan selepas 24 jam untuk mengelakkan recontamination (Pencemaran pada susu).
PENTING UNTUK STERIL BOTOL SUSU ANAK
Peralatan penyusuan bayi yang berusia di bawah 12 bulan perlu dinyahkuman atau disterilkan. Ini kerana sistem keimunan mereka masih lemah. Maka, langkah pencucian rapi dan pensterilan boleh merendahkan risiko jangkitan dan penyakit kepada si manja. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, bakteria seperti E. sakazakii boleh berkembang biak sekiranya langkah ini diabaikan.
Ads
Permukaan peralatan penyusuan yang selalunya melibatkan puting, botol, dan gegelang. Bahagian ini perlu dipastikan bersih dan steril sebelum diberikan kepada bayi. Ibu bapa perlu mengelakkan daripada cuai dalam melakukan langkah ini untuk mengelakkan bayi daripada terkena cirit birit dan muntah akibat keracunan.
8 INFO PERLU TAHU UNTUK STERIL BOTOL ANAK
Ads
Pastikan tangan anda bersih semasa proses mencuci peralatan penyusuan.
Sebaik-baiknya cuci botol bayi sebaik selepas penyusuan. Elakkan membiarkan susu rosak dan berkulat sehingga membuatkan keadaan di dalam botol menjadi berbau dan kekotoran sukar ditanggalkan.
Gunakan berus botol khas untuk botol susu untuk menanggalkan sisa yang tertinggal di dalamnya.
Berus khas untuk puting perlu digunakan untuk membersihkan puting.
Pastikan peralatan dibilas dengan air sehingga bersih.
Pastikan air mendidih semasa memasukkan peralatan yang ingin disteril.
Selepas disteril, pastikan ia tidak disentuh dengan tangan kotor. Anda boleh memasang ia selepas kering untuk mengelakkan kontaminasi semula.
Berus yang digunakan juga perlu bersih. Cara mencucinya ialah dengan perlu direndam dengan larutan cuka dan air suam dengan nisbah 1:5 setelah dicuci bagi mengelakkan pembiakan bakteria.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wany Hasrita sama seperti ibu-ibu yang lain selepas bersalin suka makan makanan yang manis. Dek kerana kerap makan makanan dan minuman yang manis, berat badannya naik mendadak.
Demi menjaga kesihatan, Wany mula mengawal pengambilan gula dalam diet hariannya. Pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita ini mengakui bahawa antara punca berat badannya meningkat secara mendadak kerana pengambilan gula berlebihan.
Wany Hasrita ‘Craving Sugar’ Selepas Pantang
“Masih lagi naik, dalam fasa ‘sugar craving’. Selepas beberapa minggu (habis berpantang), saya memang nak makanan manis.
“Akibat daripada itu, berat saya naik mendadak,” katanya.
Jelas Wany lagi meskipun ‘mengidam’ namun beliau perlu melawan keinginan tersebut demi menjaga kesihatan. Tindakan paling utama yang perlu diambil adalah mengawal pengambilan gula.
Mula Jaga Diet Bila Berat Naik Mendadak
“Sekarang ini saya sedang berusaha hendak ‘cut sugar.’
“Inisiatif lain pula, saya perlu menjaga kalori dan melakukan senaman,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan baru mengeluarkan lagu baharu bertajuk ‘Cinta Hatiku’.
Menurutnya, lagu tersebut dibuat khas untuk cahaya mata sulungnya, Aishah Al Iman.
“Lagu ini berkisar tentang cinta seorang ibu kepada anak,” katanya.
Untuk rekod, Wany dan suami, Mohd Al-Adib Fahmi mendirikan rumah tangga pada 22 Julai 2022. Pasangan berkenaan dikurniakan cahaya mata perempuan, Aishah pada 8 Julai 2023.
Pelakon Ayu Raudhah selamat melahirkan bayi keempatnya di salah sebuah pusat perubatan swasta pada pagi 14 Februari.
Isteri kepada pemain bola sepak, Zaquan Adha itu telah menimang cahaya mata lelaki ketiga selepas mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan.
Menerusi Instagram Ayu Raudhah, dia sangat bersyukur dengan kelahiran anak keempatnya kali ini kerana sangat mudah dan sekejap.
“Rezeki kali ini rasa sakit bersalin sekejap sangat dan doktor pun tak sempat nak sambut. Kali ini juga baru rasa betul-betul turun tanda, pecah ketuban dan rasa kontraksi.
“Bayangkan dari bukaan 3cm hingga 10cm hanya dalam tempoh satu jam lebih sahaja. Rasa sekejap sangat.
“Sebelum ini masa lahirkan anak ketiga pun mudah juga tapi untuk anak pertama dan kedua tak sempat rasa sakit betul-betul kerana ambil epidural.
“Kalau ikutkan suami, semua anak dia nak suruh ambil epidural kerana tak sanggup tengok saya sakit tapi sebagai wanita nak juga rasa sakit bersalin itu,” kongsinya.
Ayu Raudhah juga mengakui dalam keadaan sakit bersalin, suami dan mama yang bergilir-gilir jaga dan bagi semangat sepanjang berada di labour room.
“Rasa terharu sangat dengan sokongan dan kata semangat dari suami dan mama. Baru tahu pengorbanan mama. Sejak kecil hinggalah sakit nak bersalin pun mama sanggup ada bersama.
“Betullah orang kata mak ni sanggup buat apa sahaja untuk anak tapi kita sebagai anak belum tentu dapat buat yang terbaik untuk mak,” katanya.
Ayu juga mengakui dia dan suami tak pernah merancang untuk memiliki berapa orang anak. Jika Allah nak bagi akan terima dengan hati terbuka. Sesungguhnya rancangan dan kurniaan Allah yang terbaik.
“Jika dapat lagi sentiasa bersyukur. Paling penting doa untuk anak-anak biarlah mereka akan menjadi soleh dan solehah serta lading pahala dan rezeki dalam keluarga kami,” jelasnya.
Sumber: ig Ayu Raudhah & Zaquan Adha
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bersalin bukan mudah. Baik secara normal mahupun pembedahan, kedua-duanya sama sakit dan tetap menguji ketahanan mental fizikal si ibu. Mungkin disebabkan sakit kontraksi yang amat sangat, ada kes di mana ibu minta dibedah untuk mengeluarkan bayinya. Jika mampu dan tiada komplikasi untuk bersalin secara normal, buat apa request untuk dibelah perut?
Menurut Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan, bakal ibu serta suaminya perlu tahu risiko yang bakal dihadapi sekiranya proses bersalin dibuat melalui pembedahan. Tidak boleh dengan mudah minta-minta kerana ia hanya akan dibuat dengan sebab yang kuat.
“Saya tak tahan dah sakit nak bersalin ni doktor. Operate je lah! Senang, abes cerita! Nak tunggu apa lagi?”
Apabila kita berada dalam kesakitan melampau, terkadang kita hilang pertimbangan dan meminta untuk diperlakukan apa sahaja tanpa memikir baik buruk sesuatu keputusan itu.
Walau bagaimanapun jika terdapat indikasi pembedahan caeserean perlu dilakukan, kami tanpa berlengah lagi akan memastikan ianya dilakukan dengan sepantas kilat untuk menyelamatkan nyawa ibu dan bayi dalam kandungan.
Yang menjadi perhatian saya adalah ibu-ibu yang meminta agar dilakukan pembedahan caeserean ke atasnya tanpa sebab musabab yang difikirkan perlu secara perubatannya. Pembedahan caeserean bukannya benda main-main, silap haribulan segala macam komplikasi boleh timbul. Maka, kedua-dua pesakit dan suami perlu ambil tahu mengenai risiko yang bakal mereka hadapi.
Apakah risiko-risiko utama pembedahan caesarean?
🎈Kesakitan
Selepas pembedahan anda bukannya boleh berjalan segera seperti sediakala. Ada kalanya memerlukan bantuan untuk bergerak berhari-hari lamanya. Anda akan rasa sakit pada bahagian luka pembedahan dan rasa tidak selesa pada bahagian perut selama beberapa minggu selepas pembedahan.
Anda akan diberi ubat tahan sakit untuk menangani kesakitan ini, tetapi ia masih akan mengganggu aktiviti seharian anda untuk beberapa ketika.
🎈Jangkitan kuman
Sebelum dibedah, anda akan diberi satu dos antibiotik untuk mengurangkan risiko mendapat jangkitan kuman. Walau bagaimanapun, kira-kira 8 % daripada wanita yang menjalani caesarean masih mendapat jangkitan selepas pembedahan. Terdapat tiga jenis jangkitan utama yang perlu diberi perhatian:
1) Jangkitan pada bahagian luka pembedahan – Tanda-tanda jangkitan pada luka termasuk kemerahan, berair, atau kesakitan yang semakin teruk pada bahagian tersebut. Ada kala ianya mengeluarkan nanah.
2) Jangkitan pada rahim. Ini dipanggil endometritis. Masalah ini lebih berkemungkinan berlaku jika air ketuban anda pecah lama sebelum anda mula rasa sakit bersalin. Tanda-tanda jangkitan ini termasuk pendarahan yang teruk dan darah nifas berbau busuk dan juga demam ketika berpantang.
3) Jangkitan salur kencing. Semasa pembedahan, sejenis tiub kencing akan dimasukkan ke dalam salur kencing untuk mengosongkan pundi kencing anda. Jangkitan boleh berlaku melaluinya.
🎈Darah beku
Mana-mana pembedahan meningkatkan risiko anda mengalami darah beku. Ini boleh jadi serius, bergantung kepada di mana pembekuan itu berlaku. Jika pembekuan berlaku dalam paru-paru, ia boleh menyebabkan kematian. Tanda-tanda masalah ini termasuk:
– batuk – sesak nafas – kesakitan atau bengkak pada bahagian betis – sakit dada
Doktor mungkin akan memberi anda ubat untuk mencairkan darah dan sejenis stokin khas untuk memastikan peredaran darah menjadi lancar pada kaki anda. Anda juga digalakkan supaya berdiri dan berjalan-jalan secepat mungkin selepas pembedahan caesarean. Ini akan membantu peredaran darah dan mengurangkan risiko pembentukan darah beku.
Seperti juga pembedahan lain pada bahagian perut atau pelvis, caesarean berisiko menyebabkan lekatan (adhesion) semasa proses penyembuhan. Perlekatan yang saya maksudkan ialah kelompok tisu parut yang boleh menyebabkan organ-organ pada abdomen anda melekat sesama sendiri atau pada bahagian dalam dinding perut. Kira-kira separuh daripada wanita yang menjalani caesarean mengalami perlekatan ini dan jumlah ini meningkat kepada 83 % selepas tiga kali pembedahan caesarean.
Kadang kala perlekatan boleh menyebabkan kesakitan (adhesion colic) kerana ia mengehadkan pergerakan organ-organ dalaman.
🎈Pembiusan
Kebanyakan pembedahan caesarean dilakukan tanpa pembiusan penuh (general anaesthetia), yang membuatkan anda tidur. Sebaliknya, anda akan diberi spinal atau epidural yang akan menyebabkan bahagian perut dan kaki berasa kebas supaya pembedahan boleh dilakukan. Epidural/spinal lebih selamat bagi anda dan bayi berbanding pembiusan am. Walau bagaimanapun, apa-apa jenis pembiusan melibatkan sedikit risiko.
Apakah komplikasi lain ?
Komplikasi yang serius sangat jarang berlaku, iaitu kurang daripada 1 %. Komplikasi serius yang dimaksudkan :
🔑Kecederaan kepada pundi kencing, tiub yang menyambungkan buah pinggang dengan pundi kencing ( ureter ), atau kepada usus.
🔑Doktor mungkin perlu menjalankan pembedahan membuang rahim (hysterectomy) sebagai langkah menyelamatkan nyawa jika berlaku tumpah darah yang serius yang boleh mengancam nyawa ibu.
🔑Anda mungkin perlu menjalani pembedahan caeserean pada masa akan datang. Perkara ini akan dibincangkan semula dalam kehamilan berikutnya.
🔑Ada juga bayi yang terluka sedikit akibat terkena pisau bedah. 2% bayi mengalami luka kecil semasa pembedahan caeserean.
Akhir kata,
Buat keputusan yang sewajarnya, jangan membabi buta. Jangan ambil bulat-bulat ‘cakap-cakap’ orang. Banyakkan bertanya pada mereka yang berilmu dan bertauliah.
Takde nye saya potong orang sesuka hati, tanpa sebab yg munasabah.
Mungkin nampak mudah. Tak perlu meneran, hanya berbaring. Melalui prosedur lebih kurang 30 minit ke 1 jam, bayi akan dikeluarkan. Tapi ketahuilah, proses untuk sembuh semasa berpantang mengambil masa dan ibu jika tidak boleh terlalu aktif dalam jangka masa tertentu. Apa pun, bersalin normal atau melalui pembedahan, kedua-duanya adalah pengorbanan terbesar ibu untuk anak-anaknya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Julung-julung kali di adakan, sempena bulan Ramadan penuh mulia ini Pa&Ma dan Bintang Kecil tampil mencari kelainan yang mengadakan pertandingan Khalifah Cilik yang berlangsung pada Sabtu lalu.