Bila sudah punya anak, rumah tangga kita seolah-olah bertukar menjadi begitu keibubapaan. Walhal asas utamanya adalah membina rumah tangga bahagia penuh dengan rasa.
Selain memfokuskan misi utama pada anak-anak, jangan diabaikan pasangan kita. Berilah lebih masa bersama. Perkongsian Pn Sharifah Zahidah ini perlu diselami. Benar-benar belaka. Sebolehnya berikan ruang pada pasangan kita.
Kebahagiaan dalam rumahtangga adalah sumber kepada kekuatan hati kita dalam berhadapan dengan apa jua cabaran di luar sana.
Kalau rumahtangga itu sendiri goyah dan bermasalah, sehingga hilang sakinah, mawaddah dan rahmahnya – maka sekecil-kecil perkara pun akan menjadi beban yang besar buat kita.
Anak tumpahkan air kosong pun, boleh buat kita bertukar jadi singa. Anak kecil lambat mandi pun, kita marah seolah-olah dia buat dosa berjudi.
Anak sulung tanya soalan matematik yang dia tak faham, kita jawab soalan dia macam nak membaham.
Pasangan tutup pintu bilik ada bunyi, kita mengamuk macam dia bawa balik skandal seorang lagi. Semuanya jadi serba tak kena.
Lama kelamaan, sedikit demi sedikit, diri kita menjadi sakit. Rumahtangga sepatutnya berperanan sebagai medan yang menyembuhkan luka dan lelah kita dalam berhadapan dengan kehidupan. Supaya dengan rumahtangga yang dibina, hati dan emosi kita kekal kuat dan terjaga. Apapun cabaran hidup yang mendatang, kita kuat dan hadapi dengan tenang.
Sungguh malang sekali jika medan yang sepatutnya bersifat merawat itu sendiri yang menjadi medan kepada tenaga-tenaga jahat menular dan menyakiti diri kita yang akhirnya, menjadikan kita serba serbi tidak kena.
Kerana pentingnya rumahtangga menjadi medan kita merawat luka, setiap pasangan perlu BERUSAHA membina rumahtangga yang bahagia.
Bagaimana? Dengan sentiasa berusaha mengenali lenggok KEBAHAGIAAN pasangan kita. Semua ini, bermula dengan BERTANYA. Sekadar bertanya. Tetapi, LAZIMKAN ianya menjadi bualan berkala antara kita dan pasangan;
“Apa yang membuatkan awak bahagia? Apa yang membuatkan awak terluka? Boleh awak bantu saya fahami keperluan jiwa awak?”
Perlu lakukan secara berkala. Kerana, bulan ni mungkin jawapan dia A. Bulan depan, jawapan dia B. Jadi perlu selalu tahu dan berbual tentang ini.
Pasangan suami isteri perlu cipta atmosfera paling selamat untuk masing-masing mempamerkan sisi paling VULNERABLE dalam dirinya.
Vulnerability adalah antara perkara penting untuk kita ‘masuk’ dalam diri satu sama lain dan berusaha bersama seikhlas mungkin dalam membina rumahtangga bahagia. (Nanti kita sembang lanjut tentang vulnerability ini jika ada rezeki InshaALLAH).
Tetapi, jika rumahtangga yang sudah bergolak pun tetap pasangan rasa, “Eh I rasa kita okey je, perfectly married and flowing good..” Maka, rumahtangga kita dalam mode red flag sebenarnya.
Kita ini, selagi boleh usahakan membina rumahtangga bahagia, binalah. Rumahtangga bahagia bukan ilusi, bukan fantasi TV3. Ianya boleh diwujudkan jika kita berusaha ke arah itu. Rumahtangga bahagia memang ada. Yang tak ada, adalah rumahtangga sempurna.
Walaubagaimanapun. Rumahtangga ini, jika sudah terlalu kelat sehingga tidak mampu ke arah bahagia, SEKURANG-KURANGNYA selamatkan rumahtangga jangan sampai ia jadi PUNCA DERITA. At least, rumahtangga itu ‘neutral’. Ia masih boleh diselamatkan.
Adapun rumahtangga yang sudahlah tidak bahagia, menjadi pula sumber derita. Hendak dibaiki tidak jumpa punca; maka berdoalah kepada ALLAH agar ditunjuki jalan keluar yang Dia redha.
Jangan sampai rumahtangga jadi punca semuanya serba tak kena. Di rumah tak bahagia. Depan anak-anak jadi singa. Di tempat kerja jadi tak berguna. Balik kampung cuma menyendiri setiap masa. Setiap pagi dan malam bertemankan air mata. Isu kecil pun dah jadi macam masalah dunia.
Maka, tak perlulah menyeksa diri dalam situasi ini. Carilah bahagia sendiri, samada dalam keadaan berpasangan, mahupun berseorangan. Yang penting, kunci itu terletak pada kemahuan hati kita. Jangan salahkan sesiapa. Yang paling penting, jangan memangsakan anak-anak kita dengan isu kita laki bini. Ini paling ‘jangan.’ Hargailah ikatan rumahtangga kita.
Binalah bahagia BERSAMA. Jangan sekadar berumahtangga untuk menjadi ibu dan bapa. Tetapi wujudkanlah ‘pasangan bercinta’ dalam rumahtangga kita. Kita watak utama dalam rumahtangga kita. Mainkanlah peranan sebaiknya.
Allahualam.
Jom, join Gathering Ibu Hamil Menawan sekarang! Banyak aktiviti dan hadiah menarik menanti dan penampilan istimewa Pn. Nad Masrom.
Klik DAFTAR segera di https://toko.ideaktiv.com/product/gathering-mama-hamil-menawan-pama-x-numom/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Pa&Ma