Siapa tak mahu jadi ibu bapa ohsem buat anak-anak. Maksudnya kita adalah sempurna di mata mereka. Mungkin sebelum ini, ada yang dah anggap caranya dah betul mendidik anak. Tak kurang juga yang rasa gagal sebab anak-anak susah nak dengar kata.

Menurut Pakar Motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, mak ayah kena yakin kita adalah ibu bapa hebat dan mampu memberi kecemerlangan untuk anak-anak. Cuma bagaimana acuannya bergantung kepada cara kita mengemudi.

Bagaimanapun ramai ibu bapa rasa mereka tak layak nak jadi ibu bapa ohsem pada anak-anak kerana tak belajar tinggi, kerja biasa-biasa dan bukanlah dari golongan yang senang. Ingat sebenarnya Allah dah cipta sebaik-baik kejadian.

Cuma bagaimana kita melaksanakannya bergantung pada kehendak kita. Dengan syarat kita dah didik anak itu dengan betul, doa tak pernah putus serta sentiasa memberi semangat positif dalam diri anak.

Ingat guru pertama anak adalah ibu. Jika ibu lebih peka, cemerlang, cakna tak mustahil anak mampu berjaya dunia akhirat walaupun kita hanya biasa-biasa sahaja.

Paling penting tanamkan dalam hati niat yang baik. Bila hati bersih apa yang kita doakan mudah termakbul. Sebaiknya ibu cubalah luangkan masa untuk lakukan solat sunat, baca al-quran dan buat kebaikan sepanjang masa.

Nak jadi ibu bapa yang ohsem, kena selalu positif. Setiap anak dah ada rezeki dan kehebatan masing-masing. Cuma trend sekarang ini ramai pasangan dah siap-siap cakap saya nak dua je anak sebab tak mampu, kos sara hidup mahal dan macam-macam lagi. Apa-apa pun sepatutnya berbalik la pada qada dan qadar Allah.

Berdasarkan kajian juga 75 hingga 85 peratus pemikiran kita adalah negatif. Sebab itu Rasulullah selalu berpesan kena sentiasa bersangka baik pada diri, anak dan orang sekeliling kita.

Selain itu, jagalah ibadah dan tingkah laku kita selain amalkan suasana rumah tangga kondusif. Paling penting, rezeki yang di bawa balik kena berkat.

Lagi satu ciri nak jadi ibu bapa yang ohsem juga adalah bila cakap dengan anak kena ikut tahap kefahaman akal anak. Anak kecil lain, anak besar lain, anak keras hati lain. Bila mak-mak positif, anak pun positif.

Bila ibu nak anak dengar cakap tapi ibu pun tak nak dengar anak cakap, tak adil. Jadi berubahlah demi kebaikan semua.

Sumber: Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah