Pendengaran merupakan deria yang dianugerahkan Tuhan sejak dari lahir lagi. Ini bermakna, semasa bayi dilahirkan, deria pendengarannya telah pun sedia berfungsi. Pendengaran merupakan deria yang sangat penting memandangkan melalui pendengaranlah bayi mula menyimpan memori bunyi pertuturan mahupun bunyi persekitaran.
Apabila bayi menjangkau umur setahun, memori bunyi ini akan mula ditiru dan dihasilkan, kerana manusia belajar bercakap dengan meniru daripada bunyi pertuturan di sekelilingnya. Dengan kata lain, pembentukan pertuturan mempunyai kaitan yang rapat dengan pendengaran.
Ujian Saringan Pendengaran Bayi
Masalah pendengaran kekal merupakan kecacatan yang tersembunyi yang mana kecacatan ini tidak dapat dilihat secara fizikal. Kebanyakan ibu bapa hanya mula sedar anak bermasalah pendengaran apabila mereka tidak bercakap pada usia yang sepatutnya. Dianggarkan sebanyak 1 hingga 3 bayi daripada 1000 kelahiran disahkan mempunyai masalah pendengaran kekal (Uus & Davis 2000). Prevalens ini dikatakan lebih ketara jika dibandingkan dengan saringan penyakit yang lain seperti kekurangan G6PD dan congenital hypothyroidsm.
Oleh yang demikian, bagi bayi yang dilahirkan dengan masalah pendengaran; pengesanan seawal mungkin perlu dilakukan agar proses intervensi awal dapat dilakukan segera.
Baca artikel:
“Anak Akan Rasa Lebih Tenang Bila Rasa Diri Difahami” Cuba Teknik Ajaib Ini Kalau Anak Mengamuk
Resepi Kuih Bakar ‘Super Simple’, Hanya Bakar Guna Air Fryer Sahaja!
Tak Cukup Nutrisi Punca Ramai Kanak-Kanak Bantut. Ini Sukatan Makanan Yang Betul Untuk Anak
Ujian saringan pendengaran bayi universal bermaksud semua bayi yang dilahirkan di satu-satu hospital akan menjalani ujian saringan pendengaran. Saringan pendengaran wajar dilakukan ke atas semua bayi memandangkan terdapat bukti daripada laporan kajian yang menunjukkan 50% daripada bayi yang dikesan bermasalah pendengaran adalah terdiri daripada bayi yang berisiko rendah untuk mendapat masalah pendengaran (Watkin et.al,1991; Davis, 1997; Mehl, 1998; Kennedy, 2000).
Terdapat dua jenis ujian saringan pendengaran yang boleh dilakukan ke atas bayi bagi mengesan masalah pendengaran iaitu ujian otoacacoutic emission dan ujian auditory brainstem response.
Matlamat ujian saringan pendengaran universal adalah untuk mengenal pasti masalah pendengaran pada bayi selewat-lewatnya usia bayi 3 bulan dan langkah pemulihan dapat dilakukan selewat-lewatnya usia bayi 6 bulan (Joint Committee of Infant Hearing 1994).
Sehubungan dengan itu, ujian saringan pendengaran perlu dilakukan seawal kelahiran bagi mengenal pasti sama ada pendengaran bayi adalah normal atau bermasalah agar langkah intervensi dapat dilakukan secepat mungkin.
Apakah kesan sekiranya masalah pendengaran tidak dikenal pasti awal?
Pendengaran yang normal dapat membantu perkembangan pertuturan yang normal. Tempoh kritikal bagi perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak adalah dari sejak lahir sehingga 4 tahun yang pertama (Yoshinago-Itano;2000). Sekiranya kanak-kanak mempunyai masalah pendengaran, perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak tersebut boleh terjejas atau terbantut sama sekali. Akibat daripada masalah ini, kanak-kanak tidak dapat berkomunikasi dengan baik dan akan menjurus kepada masalah tingkahlaku kerana tidak dapat menyampaikan hasrat atau membuat permintaan. Ini disebabkan komunikasi yang dihasilkan tidak dapat difahami oleh ibu bapa, ahli keluarga dan orang sekeliling.
Di samping itu, kelewatan perkembangan pertuturan ini akan menimbulkan masalah pada kanak-kanak tersebut apabila memasuki alam persekolahan kelak. Peluang mendapatkan pendidikan terhad seterusnya prospek kerja yang rendah akan menjadikan kanak-kanak tersebut menjadi individu yang perlu bergantung kepada orang lain. Tambahan daripada itu, perkembangan sosial dan psikologi kanak-kanak juga turut terjejas.
Namun begitu, jika kanak-kanak yang bermasalah pendengaran ini diberi rawatan intervensi secara optimum sebelum berusia empat tahun, kanak-kanak ini masih lagi berpeluang untuk melalui proses pembelajaran bahasa dan belajar bertutur dan memasuki aliran normal (mainstream). Sehubungan dengan itu, masalah pendengaran yang dikenal pasti secara awal dapat mempercepat proses pemulihan sekaligus dapat mengelakkan komplikasi masalah pendengaran.
Apa perlu saya buat sekiranya bayi saya gagal ujian saringan pendengaran?
Keputusan gagal yang diperoleh semasa ujian saringan tidak bermaksud bayi anda sememangnya bermasalah pendengaran. Bayi yang berpendengaran normal boleh juga gagal semasa ujian saringan yang mungkin disebabkan \;
Apabila masalah pendengaran kekal telah disahkan oleh Pegawai Pemulihan Perubatan Pendengaran (audiologis), anak anda juga perlu menjalani pemeriksaan lengkap oleh doktor Otorinolaringologi untuk memastikan punca serta masaalah klinikal atau sindrom yang berkaitan serta rawatan khusus yang perlu.
Bayi anda juga perlu menjalani penilaian oleh Pegawai Pemulihan Pertuturan supaya perancangan rehabilitasi boleh dilakukan. Bayi anda akan disarankan menggunakan alat bantu dengar. Implan koklea akan dicadangkan sekiranya alat bantu dengar tidak dapat membantu masalah pendengaran secara optimum bagi kes-kes yang bersesuaian mengikut kriteria sedia ada. Bayi yang telah memakai alat bantu dengar atau implan koklea ini juga perlu komited menjalani sesi terapi pertuturan yang berkala oleh Pegawai Pemulihan Pendengaran Pertuturan untuk pemulihan pembelajaran bahasa dan pertuturan.
Apakah bayi saya mungkin mendapat masalah pendengaran walaupun lulus ujian saringan pendengaran?
Ya. Bayi atau kanak-kanak yang dilahirkan dengan pendengaran normal boleh mendapat masalah pendengaran pada waktu lain. Masalah pendengaran ini mungkin berlaku disebabkan penyakit atau penggunaan ubat tertentu, mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat kemalangan serta berisiko mendapat masalah pendengaran pada masa yang lambat (delayed onset hearing loss). Sentiasa perhatikan tingkahlaku mendengar dan perkembangan pertuturan anak dan bawa anak anda ke klinik untuk rujukan sekiranya sangsi dengan respon mendengar atau perkembangan pertuturan mereka. Sila rujuk carta SENARAI SEMAK PERKEMBANGAN PENDENGARAN NORMAL KANAK-KANAK untuk membandingkan perkembangan anak anda dari semasa ke semasa.
Melalui ujian saringan pendengaran universal, masalah pendengaran pada bayi dapat dikesan dengan lebih awal seterusnya mempercepat langkah intervensi bagi memastikan bayi tersebut dapat berfungsi sebagai individu normal di dalam masyarakat.
Perlu difahami bahawa keberkesanan rawatan masalah pendengaran serta proses pemulihan ini sangat bergantung pada pematuhan pemakaian alat bantu dengar oleh kanak-kanak tersebut serta iltizam yang sepenuhnya oleh ibu bapa dan ahli keluarga semasa proses rehabilitasi pertuturan.
Kredit: MyHealth Portal
Jom, join Gathering Ibu Hamil Menawan sekarang! Banyak aktiviti dan hadiah menarik menanti dan penampilan istimewa Pn. Nad Masrom. Klik DAFTAR segera!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!