Pemakanan ketika hamil memainkan peranan penting untuk perkembangan si manja anda. Makanan tinggi gula tidak digalakkan sama sekali atas faktor kesihatan ibu dan juga bayi.

Pasti anda berusaha untuk meminimumkan pengambilan gula ketika hamil, tetapi agak rumit kerana banyak makanan mengandungi gula tersembunyi.

Artikel ini akan membantu anda mengenali 7 jenis makanan yang kononnya sihat, tetapi penuh dengan gula!

Kenapa makanan tinggi gula dihadkan semasa hamil?

Semasa hamil, pengambilan gula harus dikawal kerana ia boleh membuatkan anda berasa cepat letih.

Pengambilan gula dalam kuantiti rendah membuatkan gula dalam darah lebih stabil dan bakal ibu cenderung menghasilkan berat badan yang sihat semasa hamil.

Jika kandungan gula yang diambil ketika hamil terlampau banyak, ia boleh meningkatkan risiko diabetes gestasi, pra-eklampsia dan berat bayi berlebihan di kemudian hari.

Jumlah gula dibenarkan semasa hamil

Mengikut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom, ibu hamil tidak dibenarkan mengambil lebih 30 gram gula sehari, iaitu bersamaan dengan 7 kiub gula atau sudu teh gula.

Ini bukan bermakna ibu tidak boleh menikmati makanan yang manis semasa hamil.

Sudah tentu boleh, cuma elakkan makanan tinggi gula dan ambil pendekatan yang lebih sihat seperti menggantikannya dengan alternatif yang berkhasiat dan manis secara semula jadi.

Makanan tinggi gula harus dielakkan semasa hamil

#1 Yogurt rendah lemak

Yogurt ialah sejenis makanan yang penuh khasiat. Namun, tidak semua yogurt di pasaran mempunyai nutrisi yang sama.

Seperti kebanyakan produk rendah lemak yang lain, yogurt jenis ini selalunya tergolong dalam makanan tinggi gula kerana pemanis ini digunakan untuk meningkatkan rasa.

Mengikut Food Data Central United States, secawan 245 gram yogurt rendah lemak boleh mengandungi lebih daripada 45 gram gula, iaitu sekitar 11 sudu teh.

IKLAN

Jika anda suka mengambil yogurt, pilihlah yogurt semula jadi, penuh lemak atau yogurt Greek. Elakkan yogurt yang telah dimaniskan dengan gula.

#2 Soda diet

Banyak minuman berkarbonat di pasaran yang dijual tanpa kalori atau rendah kalori. Jangan tertipu ya!

Hal ini kerana banyak bahan pemanis buatan diletakkan dalam minuman seperti ini untuk menggantikan gula.

Ia boleh menyebabkan penambahan berat badan untuk jangka masa panjang.

#3 Smoothie siap sedia

Gabungan buah-buahan dengan susu atau yogurt pada waktu pagi ialah hidangan yang baik untuk memulakan hari anda.

Walau bagaimanapun, tidak semua smoothie sihat untuk ibu hamil.

Banyak smoothie yang dihasilkan secara komersial mengandungi bahan pemanis tiruan untuk meningkatkan kandungan gula mereka.

Sebilangan daripadanya mengandungi jumlah kalori dan gula yang sangat tinggi, melebihi 54 gram gula (13.5 sudu teh) dalam satu hidangan 16-oz atau 20-oz.

Periksa ramuan dan peka akan jumlah hidangan anda sebelum membelinya.

#4 Jus buah

Eh, takkanlah jus buah pun jenis makanan tinggi gula? Seperti buah-buahan, jus mengandungi vitamin dan mineral juga.

Walaupun kelihatan seperti pilihan yang sihat, vitamin dan mineral ini disertakan dengan jumlah gula dan serat yang sangat sedikit.

Biasanya, jumlah buah yang diperlukan untuk menghasilkan segelas jus lebih banyak daripada satu hidangan buah tersebut.

Malahan, lebih banyak gula dijumpai dalam jus buah berbanding buah segar.

Selain itu, jus buah di pasaran juga akan dicampurkan dengan gula untuk menaikkan rasa.

#5 Oat segera, makanan tinggi gula juga?

Oat merupakan hidangan yang sesuai untuk mengawal tahap kolesterol anda. Namun, oat segera mempunyai sekurang-kurangnya 14 gram gula dalam sepaket.

Kandungan gula lebih tinggi dalam oat segera yang mempunyai perisa seperti coklat, pisang dan sebagainya.

Sebelum membeli oat, periksa dulu maklumat nutrisi untuk produk tersebut.

#6 Granola

Granola sering dipasarkan sebagai makanan kesihatan rendah lemak, walaupun sebenarnya ia makanan tinggi gula dan kalori.

Bahan utama dalam granola adalah oat. Oat gulung adalah sejenis bijirin seimbang yang mengandungi karbohidrat, protein, lemak dan serat.

Akan tetapi, oat dalam granola telah digabungkan dengan kacang, madu atau pemanis tambahan lain yang meningkatkan jumlah gula dan kalori.

100 gram granola boleh mengandungi sekitar 400-500 kalori, bersamaan dengan 5-7 sudu teh gula.

#7 Sup komersial

Sup bukanlah makanan yang biasanya dikaitkan dengan gula. Apabila dibuat dengan bahan segar, ia adalah pilihan yang sihat untuk ibu hamil.

Namun, banyak sup yang disediakan secara komersial mempunyai bahan tambahan, termasuk gula.

Jenis gula tambahan yang selalunya digunakan dalam sup ialah:

-sukrosa
-malt barli
-dekstrosa
-maltosa
-sirap jagung fruktosa tinggi (HFCS)

Anda boleh memeriksa label dan kandungan produk sebelum membeli.

Pilihlah makanan anda dengan bijak

Mengejutkan, bukan? Makanan tinggi gula tak semestinya berasa manis. Oleh itu, berhati-hatilah dengan pilihan makanan anda ketika hamil.

Kredit: Hello Doktor

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)