Ada salah faham dalam kalangan ibu bapa antivaksin yang menyangka suntikan vitamin K yang diberi kepada bayi yang baru lahir adalah satu vaksin baru. Tanggapan ini salah sama sekali. Suntikan vitamin K diperkenalkan sejak 1961 bagi mengelakkan masalah pendarahan yang serius pada bayi. Ianya bukan vaksin.
Menurut Dr Amirul Amzar, vitamin K diperlukan oleh badan untuk fungsi pembekuan darah. Tanpa vitamin K, kecederaan yang kecil pada salur darah tidak dapat dihentikan seterusnya akan menyebabkan pendarahan serius. Walaupun seorang bayi itu dijaga dengan baik, risiko pendarahan di perut dan otak adalah tinggi jika vitamin K nya tidak mencukupi.
Dari mana kita dapat vitamin K?
Vitamin K diperolehi dari diet terutamanya dari sayuran hijau dan juga dihasilkan oleh bakteria baik dalam usus. Susu ibu juga tidak mengandungi vitamin K yang mencukupi untuk keperluan bayi terutamanya bagi ibu yang sedia ada kurang vitamin K.
Kenapa bayi memerlukan memerlukan suntikan vitamin K?
Bagi bayi yang baru lahir, kandungan vitamin K mereka rendah kerana:
Vitamin K tidak dipindahkan melalui placenta dengan baik
Kandungan vitamin K dalam susu ibu tidak mencukupi
Kurangnya kehadiran bakteria baik dalam perut bayi bagi penghasilan vitamin K
Namun ini tidak boleh dijadikan alasan untuk memberi bayi makan lebih awal dari usia 4-6 bulan kerana kesan sampingan memulakan pemakanan selain susu ibu terlalu awal adalah lebih serius.
Apa akan terjadi kalau bayi tak dapat suntikan vitamin K?
Ads
Seperti dijelaskan, vitamin K penting untuk pembekuan darah. Pendarahan yang serius boleh berlaku pada usus dan otak. Malangnya kedua-dua pendarahan ini biasanya lambat dikesan kerana ianya tersembunyi. Kebiasaannya bayi sudah kritikal atau mempunyai kerosakan otak baru pendarahan itu disedari. Dan risiko ini berterusan hingga usia 4-6 bulan sehinggalah bayi boleh menghasilkan vitamin K mereka sendiri.
Kenapa dos suntikan vitamin K bayi terlalu tinggi?
Tidak dinafikan suntikan vitamin K pada bayi adalah lebih tinggi dari keperluan harian orang dewasa. Namun perlu difahami, suntikan ini dilakukan ke dalam otot yang mana vitamin K tersebut akan membentuk depot dan diuraikan ke dalam salur darah secara perlahan-lahan. Dos yang tinggi diberi ke dalam otot tidak sama seperti dos yang diberi terus ke dalam salur darah. Malahan, dos yang tinggi ini diperlukan bagi mengawal pendarahan sampai usia bayi 4-6 bulan.
Tak bahaya ke suntikan vitamin K ini?
Ads
Ramai ibu bapa khuatir suntikan ini menyebabkan kuning pada bayi. Namun, kajian menunjukkan pada dos 0.5-1.0mg diberi secara intramuscular (ke dalam otot), ia tidak meningkatkan risiko kuning sedia ada. Setakat ini, tiada kajian yang membuktikan risiko kesan sampingan serius berpunca dari suntikan vitamin K. Suka saya ingatkan, ini bukan suntikan baru, dah lebih 50 tahun diperkenalkan dari 1961.
Dalam suntikan vitamin K ini ada sumber haram ke?
Tidak, berikut adalah kandungan suntikan vitamin K:
Vitamin K1 – didapati dari unsur tumbuhan
Polysorbate 80 – bagi melarutkan vitamin K itu, juga dari unsur tumbuhan
Propylene glycol – sebatian sintetik yang digunakan bagi mengawal kelembapan ubat, sudah lama diluluskan FDA sebagai sebatian selamat
Sodium acetate anhydrous – garam dan soda bikarbonat bagi mengawal pH ubat
Glacial acetic acid – cuka, juga untuk mengawal pH
Tiada unsur binatang khususnya khinzir dalam vitamin K. Bahan di dalamnya adalah bahan yang sama dalam kebanyakan ubat mahupun makanan/minuman diproses.
Boleh tak saya nak lewatkan suntikan ini, tengok kalau ada pendarahan baru suntik?
Ads
Tidak boleh. Suntikan vitamin K perlu diberi dalam 6 jam selepas kelahiran bagi mengurangkan risiko pendarahan pada bayi. Kalau ditunggu hingga pendarahan berlaku, suntikan vitamin K tidak lagi berkesan untuk memberhentikan pendarahan yang serius itu.
Jadi, kalau saya tolak suntikan vitamin K, apa risikonya?
Risiko menolak suntikan yang selamat ini adalah pendarahan yang serius pada bayi anda hingga menyebabkan kematian.
Dan risiko ini adalah 81 kali ganda lebih tinggi berbanding bayi yang menerima suntikan!
Kesimpulan saya, jika anda antivaksin sekalipun, tolonglah benarkan suntikan vitamin K ini. Suntikan ini selamat, dan melindungi anak anda dari berdarah hingga mati. Jangan jadikan diri anda punca kematian kejam anak anda.
Hati-hati ketika hidangkan anak buah-buahan kerana jika salah caranya ia boleh meningkatkan risiko tercekik. Ikuti 6 tip doktor ini.
Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsi pengalamannya dan kes-kes yang pernah dikendalikan berkaitan tercekik buah di kalangan kanak-kanak.
Beri anak kecil makan buah-buahan dan sayuran adalah sesuatu yang amat digalakkan. Namun, ia boleh jadi berbahaya jika kita tidak berhati-hati.
Semasa saya bertugas di Jabatan Kecemaaan & Trauma, saya ada terima beberapa kes kematian kanak-kanak kerana tertercekik buah-buahan.
Buah dalam bentuk whole boleh menyekat salur pernafasan
Jika kanak-kanak tercekik buah seperti anggur dan tomato ceri yang utuh (whole) ia boleh meyekat salur pernafasan dan boleh membawa maut.
Ada kanak-kanak yang tercekik biji buah
Ada juga kes kematian yang melibatkan tercekik biji buah buahan seperti mata kucing dan laici serta berbiji yang agak besar seperti cempedak dan durian.
6 tip ketika menghidangkan buah-buahan kepada anak kecil
Ibu bapa hendaklah prihatin kepada perkara berikut:
#1 PILIH BUAH SESUAI DENGAN UMUR
Pilih buah buahan yang sesuai dengan umur anak anda. Mula dengan buah yang lembut dan tidak terlalu berserat.
#2 BUANGKAN BIJI
Jika buah itu mempunyai biji yang keras, maka buangkan dahulu bijinya. Contoh: mata kucing, laici, cempedak, duku, langsat dan sebagainya.
#3 DIBELAH MENEGAK
Buah kecil seperti anggur hendaklah dibelah dua atau empat secara menegak(atas ke bawah). Jangan di belah melintang. Rujuk gambar.
#4 DIPOTONG PADA SAIZ SESUAI
Buah besar, hendaklah dipotong pada saiz dan bentuk sesuai. Elok dipotong memanjang atau meleper.
#5 BELAJAR TEKNIK BILA ANAK TERCEKIK
Ibu bapa disarankan agar belajar teknik mengeluarkan bendasing yang tercekik di tekak secara teknik Heimlich. Rujuk gambar.
#6 SEGERA TELEFON AMBULANS
Telefon ambulans, atau bawa anak ke hospital dengan segera jika gagal mengeluarkan benda yang menyekat salur pernafasan.
Mohon sebarkan. Informasi ini boleh selamatkan nyawa kanak-kanak.
Sejak dahulu lagi, ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan untuk memberikan puting bayi atau pacifier kepada anak sebagai salah satu cara untuk menenangkan anak. Keputusan untuk memberikan anak puting bayi atau lebih dikenali sebagai puting kosong ini, adalah terpulang kepada ibu bapa. Cuma, anda mungkin ingin tahu kesan pemberiannya kepada anak anda. Jadi, ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenai kesan yang mungkin akan berlaku.
Apa itu puting kosong?
Puting kosong adalah puting bayi yang digunakan sebagai alat penenang yang diperkenalkan oleh Joaquin Martinez bagi menangani masalah wanita tidak dapat tidur kerana bayi meragam.
Alat penenang dianggap sebagai alat selamat yang diberikan kepada bayi untuk dihisap, bentuknya seperti gegelang gigit bagi gigi yang sedang tumbuh atau kelentong bulat di hujung. Tetapi kini, puting kosong diperbuat dari silikon atau getah yang standard, dengan pengadang mulut yang diperbuat dari plastik atau silikon bersama pemegangnya. Puting lateks adalah lebih lembut dan fleksibel dari silikon, tetapi ianya tak tahan lama. Pacifier moden adalah selamat untuk digunakan, senang untuk disteril dan pengadang mulut puting mencegah bayi daripada tercekik atau menelan puting itu.
Adakah baik jika bayi gemar menghisap puting?
Ramai ibu bapa mendapati bayi mereka akan lebih tenang jika diberikan puting bayi. Ini kerana, kebanyakan bayi rasa gembira apabila dapat menghisapnya tidak kiralah puting ibunya ataupun puting tiruan. Bagi penggunaan harian, ibu bapa akan menawarkan puting bayi yang banyak dijual di pasaran. Apabila dapat menghisapnya, anda akan lihat tumpuan bayi teralih dan bayi juga mudah untuk terlena selepas letih menghisap pacifier.
Selain itu, aktiviti menghisap pacifier semasa tidur siang dan malam juga dikatakan boleh membantu mengurangkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS). Walau bagaimanapun, bagi bayi yang menyusu badan, ibu bapa adalah disarankan untuk menawarkan puting bayi selepas usia bayi 3 hingga 4 minggu.
Kesan negatif jika perkenalkan bayi kepada puting
Pemberian puting bayi ada juga kontranya. Sebelum ibu bapa menawarkan anak kepada puting bayi, ketahui dahulu apa kesannya kepada anak anda:
Pengenalan awal puting bayi kepada si manja yang masih kecil boleh mengganggu rutin penyusuannya. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan pacifier boleh mengurangkan kekerapan sesi penyusuan bayi, malahan, sesetengah bayi akan berhenti menyusu selepas beberapa bulan diperkenalkan kepada puting bayi. Namun, kajian yang dilakukan kepada bayi yang sihat, dan cukup bulan mendapati tiada impak pada penyusuan bayi.
Bayi yang mendapat pacifier juga akan terlalu bergantung kepada puting bayi dan akan menangis jika tidak mendapatnya, tidak kiralah jika hendak tidur, semasa tidur atau selepas bangun tidur.
Infeksi telinga meningkat. Terdapat hubung kait yang membuktikan mengenai penggunaan puting bayi untuk jangka masa panjang dan infeksi telinga tengah. Dipercayai bahawa menghisap puting bayi menambah kemungkinan infeksi berpindah dari mulut ke tiub Eustachia (saluran berisi udara yang menyambungkan telinga tengah dengan bahagian belakang tekak). Jika anda memberikannya kepada bayi anda, pastikan anda mengehadkan penggunaannya untuk tidur sahaja, untuk mengelakkan masalah seperti ini.
Penggunaan puting bayi untuk jangka masa yang panjang cenderung menyebabkan masalah gigi. Ramai doktor gigi tidak menggalakkan penggunaan puting kosong atau menghisap jari sebab kedua-duanya boleh menyebabkan beberapa masalah apabila gigi tumbuh dan keluar, terutama sekali jika bayi masih menggunakan puting sebagai penenang semasa gigi kekal mereka sedang menembus keluar.
Masalah pertuturan. Penggunaan pacifier tidak membolehkan bayi membebel atau babbling, iaitu satu langkah penting untuk bayi anda belajar bertutur dan berkomunikasi.
Adakah saya perlu bagi bayi hisap puting?
Sudah tentu keutamaan ibu bapa adalah menenangkan bayi. Jadi, puting bayi adalah salah satu cara untuk bayi lebih tenang, tenteram dan tidak meragam. Pemberian pacifier tiada salahnya asalkan ibu bapa tidak terlalu menjadikannya sebagai alat utama untuk memudahkan tugas ibu bapa dalam menenteramkan anak. Dapatkan nasihat daripada doktor jika anak anda susah untuk berhenti hisap puting.
Memberikan puting kepada bayi
Terdapat segelintir ibu bapa yang memberikan puting kepada bayi untuk menenangkan bayi mereka, dan terdapat juga ibu bapa yang tidak gemar untuk menggunakannya. Wujud juga ibu bapa yang berpendapat untuk tidak menggunakannya pada ketika bayi masih belum dilahirkan dan akhirnya bertukar fikiran apabila sukar untuk membuat bayi yang menangis untuk bertenang.
Jika anda ingin memberikan bayi anda puting, berikut adalah beberapa perkara yang harus anda pertimbangkan, antaranya:
Tunggu dulu sampai bayi biasa dengan rutin penyusuan.
Jangan terlalu kerap bagi bayi pacifier. Tawarkannya hanya selepas atau di antara waktu makan. Cuba hadkan pemberian puting bayi untuk masa-masa utama sahaja, seperti semasa serangan kolik atau hanya untuk menenangkan. Ini sekali gus dapat mengurangkan risiko infeksi telinga tengah dan masalah lain.
Pilih puting bayi jenis silikon, bebas BPA (bisphenol-A) dan selamat untuk bayi.
Pastikan puting bayi bersih sebelum diberikan kepada si manja.
Pastikan ia sentiasa bersih – sterilkan sama seperti puting botol.
Jangan bagi anak-anak berkongsi puting bayi.
Tawarkan bayi puting mengikut saiz yang sesuai dengan usianya.
Jangan letakkan sebarang benda manis pada puting bayi kerana akan merosakkan gigi si manja.
Ganti puting kosong bayi secara kerap – sama seperti puting botol, periksa jika ada retak, pecah atau lubang, yang boleh menakung kuman, dan gantikan dengan puting baru segera.
Sebaiknya “ceraikan” anak anda dari putingnya sebelum usia satu tahun. Ini kerana ia lebih senang untuk dilakukan pada masa ini daripada ketika bayi anda sudah menginjak usia 2 hingga 3 tahun. Dan sebaik-baiknya sebelum gigi kekal keluar, selalunya pada usia enam tahun.
Tip memberhentikan pemberian puting bayi
Sekiranya anda berdepan masalah untuk memberhentikan tabiat ini dan anak anda gemar menghisapnya setiap masa, berikut adalah langkah-langkah yang boleh membantu:
Kurangkan masa anak anda dibenarkan menggunakannya secara perlahan-lahan. Jangan terus memberhentikan pemberian puting, kerana ini mungkin boleh menyebabkannya lebih sukar untuk ditenangkan.
Beri ganjaran dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan, stiker atau carta bintang – jangan berikan gula-gula untuk menggantikannya.
Tunjukkan kepadanya budak perempuan dan lelaki yang lebih tua, yang tidak menggunakan puting – kanak-kanak prasekolah suka dianggap lebih tua.
Bertegas dalam mengehadkan masa penggunaannya kepada masa-masa utama sahaja dalam masa sehari, seperti waktu tidur atau ketika dia tidak sihat.
Penjagaan Gigi Bayi & Kanak-kanak
Ibu bapa sering menganggap bahawa penjagaan gigi anak hanya bermula selepas gigi mereka tumbuh. Salah tanggapan tersebut. Penjagaan oral dan gigi bayi khususnya, mesti bermula sejak awal, iaitu daripada si manja lahir lagi. Aspek penjagaan perlu lebih diberi perhatian jika anda memberikannya pacifier. Masalah kerosakan gigi bayi boleh bermula sebaik sahaja gigi pertamanya tumbuh.
Bila gigi pertama bayi tumbuh?
Lazimnya, bayi akan mula tumbuh gigi pertama semasa usia enam hingga lapan bulan, malah ada juga yang baru tumbuh gigi semasa usia setahun. Gigi mereka akan lengkap sepenuhnya semasa usia kanak-kanak tiga tahun.
Bagaimana penjagaan oral untuk bayi dan kanak-kanak?
Penjagaan oral atau mulut bayi perlu dilakukan secara berterusan setiap hari. Sebelum gigi pertama bayi tumbuh, anda perlu mula menjaga gusi bayi, terutamanya jika bayi anda menghisap puting. Penjagaan gusi ini tidak memerlukan anda untuk menggunakan berus serta ubat gigi. Ibu bapa disarankan untuk melakukan penjagaan gusi dan mulut bayi selepas anak menyusu dan sebelum bayi tidur. Caranya adalah dengan melembapkan kain yang lembut, kemudian, gosokkan lembut pada gusi si manja bagi membersihkan sisa-sisa susu pada mulutnya. Lakukan cara ini sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk mengelakkan bakteria daripada melekat pada gusi.
Jika gigi pertama bayi sudah tumbuh, teruskan rutin penjagaan oral bayi seperti di bawah:
Bersihkan gigi pertama yang baru tumbuh dengan meletakkan sedikit ubat gigi berfluorida pada kain lembut dan sapukan pada gigi bayi.
Jika gigi geraham sudah tumbuh, anda boleh mula menggunakan berus gigi khas untuk bayi yang banyak dijual di pasaran. Letakkan ubat gigi khas untuk bayi sebesar saiz biji kacang pis pada berus gigi tersebut.
Berus di sekitar lidah dan gusi untuk menghilangkan bakteria tersembunyi dan mengelakkan mulut bayi berbau.
Lakukan rutin ini dua kali sehari iaitu sewaktu bangun tidur pada waktu pagi dan pada malam hari sebelum tidur.
Bawa bayi anda berjumpa doktor gigi semasa gigi pertamanya tumbuh ataupun selewat-lewatnya semasa usia bayi setahun. Doktor gigi akan memberikan nasihat tentang cara-cara penjagaan gigi bayi kepada ibu bapa.
Elakkan memberi bayi anda menghisap botol susu sambil tidur. Ini kerana kandungan kanji atau karbohidrat dalam susu akan membentuk lapisan plak pada permukaan gigi yang menyebabkan kerosakan gigi.
Hindari dari mengisi air bergula dalam botol susu. Ia adalah satu tabiat yang seharusnya dielakkan.
Mencegah kerosakan gigi kanak-kanak
Masalah gigi rongak, gigi hitam dan gigi berlubang bukan lagi perkara asing untuk kita lihat berlaku pada kanak-kanak. Gigi yang dahulunya putih dan tersusun rapi kini sudah menghilang. Masalah kerosakan gigi pada kanak-kanak ini berlaku disebabkan banyak faktor seperti pemakanan, penggunaan pacifier dan cara menggosok gigi yang salah. Bagi mengelakkan masalah kerosakan gigi, ibu bapa mesti memastikan penjagaan oral dan gigi kanak-kanak dilakukan secara berterusan setiap hari.
Bagaimana kerosakan gigi berlaku?
Plak gigi yang mengandungi bakteria akan terbentuk dan melekat pada gigi si manja anda.
Bakteria akan bertindak dengan gula menjadi asid dan menyerang serta mereputkan enamel atau lapisan luar gigi. Ia akan membentuk karies gigi yang akan menyebabkan gigi mereput dan berlubang.
Jika masalah ini dibiarkan, kanak-kanak akan mengalami sakit gigi kerana bakteria di dalam karies akan terus merebak dan menjangkiti pulpa gigi.
Lebih teruk lagi, sekiranya ia tidak dirawat, si kecil bakal mengalami masalah bisul pada gusi dan radang muka.
Faktor gigi anak rosak
Faktor utama kerosakan gigi berpunca daripada cecair, minuman atau makanan bergula yang diberikan kepada anak. Minuman dan makanan ini mengandungi gula tersembunyi yang akan menyebabkan plak terbentuk sekali gus menyebabkan gigi rosak.
Selain itu, tabiat bayi dan kanak-kanak yang gemar menghisap botol dan puting bayi juga boleh menyebabkan kerosakan gigi berlaku. Apatah lagi jika si kecil menghisap botol yang berisi minuman manis ataupun minuman jus bergula.
Memantau aspek pemakanan
Penyusuan botol untuk tempoh yang panjang cenderung mengakibatkan kerosakan gigi atau karies di awal usia kanak-kanak. Salah satu cara yang berkesan untuk menghentikan penyususan botol yang berpanjangan adalah dengan menggunakan cawan. Minum dengan menggunakan cawan tidak akan menyebabkan air minuman terkumpul di sekitar gigi. Oleh itu, gunalah cawan jika minum minuman yang manis seperti jus buah-buahan.
Pengambilan makanan bergula atau yang mempunyai kandungan gula yang tinggi secara kerap, lama-kelamaan akan menyebabkan bakteria terkumpul menghasilkan asid yang akhirnya menyebabkan kerosakan gigi. Adalah dinasihatkan supaya tidak menambah gula ke dalam makanan bayi seperti susu, minuman dan bijirin. Selain itu, berwaspadalah dengan gula tersembunyi di dalam makanan.
Galakkan tabiat pemakanan yang baik dengan menyediakan menu sihat dan seimbang. Hadkan makanan dan minuman yang mengandungi gula pada waktu makan sahaja. Tawarkan makanan ringan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran di antara waktu makan.
Tip penjagaan gigi
Penyebab utama pereputan gigi bukanlah jumlah kandungan gula di dalam diet bayi anda, tetapi bergantung kepada kekerapannya makan makanan dan minum minuman yang bergula sepanjang hari. Hadkan makanan bergula semasa waktu makan sahaja dan tidak melebihi empat kali sehari. Ini termasuklah buah-buahan kering yang tinggi kandungan gula dan melekat pada gigi. Jika anda mahu memberi anak anda snek di antara waktu makan, pilih makanan yang tidak manis seperti keju atau sayur-sayuran.
Langkah pencegahan
Ibu bapa disarankan untuk mengehadkan pengambilan minuman bergula terutama di dalam botol untuk kanak-kanak. Selain itu, elakkan daripada memberikan anak menyusu botol sebelum waktu tidurnya.
Pilih ubat gigi kanak-kanak yang mengandungi fluorida, iaitu sejenis bahan mineral yang membantu menghalang kerosakan gigi dan menguatkan lapisan enamel gigi. Fungsi fluorida juga adalah untuk membuatkan gigi bertahan daripada serangan asid yang dihasilkan oleh bakteria.
Elakkan meletakkan madu ataupun manisan pada pacifier atau puting kanak-kanak. Selain itu, minimumkan penggunaan puting kerana penggunaan yang kerap akan menyebabkan susunan gigi kekalnya nanti tidak cantik.
Pentingnya penjagaan gigi susu
Sememangnya gigi susu, iaitu gigi yang akan berada bersama anak anda sehinggalah usia seawal 6 atau 7 tahun, akan diganti dengan gigi kekal. Maka ada yang berpendapat bahawa penjagaan gigi susu ini adalah tidak begitu penting dan memandang remeh aspek penjagaannya. Tetapi tanpa anda sedari, gigi susu mempunyai pengaruh yang besar dalam aspek perkembangan bayi anda. Ini kerana, apabila gigi susu anak anda sihat dan terjaga, maka ia dapat menghindari anak anda daripada berdepan kesulitan untuk mengunyah makanan. Selain itu, mulut adalah pintu utama bagi makanan sebelum ia sampai ke dalam organ pencernaan dan diserap oleh usus. Seandainya cara penjagaan dan pembersihan gigi tidak dilakukan dengan betul, maka bakteria dan kuman pasti akan membiak dan akhirnya menyebabkan jangkitan yang menjejaskan kesihatan anak anda. Oleh itu, pastikan anda membantu dan menggalakkan anak anda menjaga kebersihan gigi mereka.
Sindrom Down adalah kecacatan fizikal dan mental yang disebabkan oleh masalah genetik yang berlaku sebelum kelahiran. Kanak-kanak yang mempunyai sindrom Down cenderung untuk mempunyai ciri-ciri tertentu, seperti muka yang rata dan leher yang pendek. Mereka juga mempunyai kecacatan intelektual.
Apa yang menyebabkan sindrom Down?
Sindrom Down berlaku disebabkan oleh kesilapan genetik pada peringkat awal kehamilan dimana terdapat tiga kromosom 21 berbanding dua kromosom 21 untuk bayi yang normal. Ia juga dipanggil trisomi 21. Setakat ini mengapa Sindrom Down terjadi masih menjadi tanda tanya tetapi terdapat beberapa faktor yang meningkat risiko wanita untuk mendapat bayi Sindrom Down.
Risiko menjadi lebih tinggi jika:
Anda lebih berusia semasa hamil. Lebih berusia lebih tinggi risiko anda
Anda mempunyai seorang saudara mara yang mempunyai sindrom Down.
Anda pernah melahirkan anak dengan sindrom Down
Bagaimana sindrom Down dikesan?
Terdapat beberapa ujian saringan yang boleh doktor anda sarankan:
Nuchal Translucency (NT)
Semasa ujian ini, ultrasound yang digunakan untuk mengukur ruang pada bahagian belakang leher bayi anda. Risiko menjadi tinggi jika lebih cecair terkumpul dalam tisu leher ini. Ketepatan sehingga 70% untuk mengesan janin dengan Sindrom Down.
Ujian Darah
Ujian darah mengukur tahap hormon kehamilan yang dirembes oleh placenta. Tahap tidak normal mungkin menandakan adalah masalah dengan bayi. Jika ujian ini digabungkan dengan dengan NT ia boleh memberikan ketepatan sehingga 87%.
NonInvasive Chromosomal Check (NICC)
NICC adalah satu kaedah terbaru untuk menyaring ketidaknormalan pada kromosom pada kromosom janin.
Ia merupakan ujian darah dimana DNA janin dari darah ibu dapat diekstrak untuk dianalisa dari sebarang ketidaknormalan. Ia boleh dibuat seawal 10 minggu dengan ketepatan yang sangat tinggi melebihi 98%.
Ujian Diagnostik
Ujian diagnostik selalunya disarankan jika ujian saringan anda memberikan keputusan yang positif atau anda berisiko tinggi untuk mendapat Sindrom Down. Ujian diagnostik akan memberikan keputusan sebenar samada betul anak anda mengalami Sindrom Down dengan ketepatan 99.99%.
Amniocentesis
Adalah prosedur dimana air ketuban akan diambil menggunakan jarum yang di tusuk ke dalam rahim ibu. Sampel air ketuban tersebut akan dikaji untuk mengesan ketidaknormalan pada kromosom. Ujian selalunya dilakukan pada usia kandungan 15-20 tahun dengan risiko keguguran cuma 1%.
Chorionic villus Sampling
Chorionic villus (CVS) sampling adalah prosedur dengan mengambil sampel uri dalam rahim ibu untuk mengesan ketidaknormalan pada kromosom. Selalunya dilakukan pada usia kandungan 10-13 minggu. Risiko keguguran kurang dari 2%.
Anak bongsu menyusul pergi sebulan selepas isteri dan anak sulung terkorban kemalangan jalan raya. Seorang bapa sekali lagi diuji apabila anak bongsunya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hanya sebulan selepas kehilangan isteri dan anak sulung dalam kemalangan.