“Jangan Ulangi Silap Saya.” Ibu Ini Kongsi Masa Anaknya 2 Tahun Dah Bijak Di Anggap Hebat Tapi…

Share

Kesilapan yang mungkin ibu bapa tak sedar, tapi berlaku dalam kalangan anak-anak kita hari ini.

Tengok anak pandai berjalan, petah bercakap, dah boleh kenal huruf dan nombor kita akan rasa anak kita hebat kerana perkembangan cepat. Tapi adakah kita terfikir mungkin disebaliknya ada kelemahan yang kita tak perasan.

Ingat setiap anak mereka masih ada kekurangan tapi bagaimana cara ibu bapa mengilap dan membantu untuk menjadi seorang anak yang seimbang dari aspek perkembangan dan akademik bergantung pada cara kita usahakannya untuk berjaya.

Perkongsian dari seorang ibu, Puan Wawa Shauqi mengenai anak sulungnya yang dah dianggap cepat tapi sebenarnya ada masalah deria dan mungkin boleh menganggu proses pembelajarannya nanti.

Ini Ammar, anak sulung saya. Dia seorang yang cepat berjalan dan cepat bercakap. Pada usia dia 2 tahun, dia telah mengenal huruf dan dapat memadankan kesemua huruf kecil dan huruf besar.

Pada usia 3.5 tahun, dia mula membaca dan menghafal lebih dari 20 surah. Sekarang usianya 4 tahun, telah masuk separuh buku Iqra’ kedua.

Nampak macam perkembangannya cepat, tetapi ada perkara yang dia tidak mahir kalau nak dibanding dengan teman seusianya yang lain.

Pada usia 3 tahun, dia masih belum boleh menangkap bola pada paras dada. Malah tangannya tak cukup kuat untuk menyepit objek menggunakan forcep mainan. Tangannya juga tak mampu bergayut walau 2 saat di ‘monkey bar’.

Saya sangka, mungkin kekurangannya itu kecil dan biasa. Mungkin pencapaian motor kasarnya tak mengikut carta milestone kerana dia bukan kategori ‘body intelligence’.

Yalah, sangka saya setiap budak ada kelebihan dan kekurangannya.

Tapi bukan itu sahaja. Ammar seorang penggeli. Dia geli memijak pasir, geli duduk pada kerusi kulit (atau pvc) dan menjerit bila memegang ais.

Gelinya kadang-kadang keterlaluan. Pernah dia menjerit waktu kami lalu di sebuat kedai mainan. Ingatkan apa yang ditakutnya, rupanya ‘Magic Stretch Ball’. Seronok betul kami menyakat dia dengan bola tu.

Saya tak pernah sangka kesemua masalah ini mempunyai perkaitan yang sama. Malah masalah dia meraung bila mencuba kasut baru di mall dulu juga, ada kaitannya.

Dia mempunyai tanda-tanda yang kebiasaan ada pada anak-anak yang ada kecelaruan neurologi. Tanda-tanda yang disebut OT Maryam itu mengesahkan yang Ammar mempunyai masalah sensori sentuhan, atau dalam istilahnya Sensori Processing Disorder (SPD) terhadap deria Tactile (Hypersensitif).

Ammar mungkin membaca awal dan cepat tangkap dalam pembelajaran, tapi masalah ini jika saya tak sedar dari awal, akan mengganggu pembelajarannya bila dia mula bersekolah nanti.

Nasib baik saya cepat sedar. Mujur Allah cepat temukan saya dengan pakar.

Alhamdulillah setelah saya lakukan pelbagai aktiviti ransangan, sekarang ‘sensitiviti’ Ammar dah banyak berkurangan. Cuma dengan Magic Ball tu masih takut-takut. Fobia kesan dari kena sakat masa kecil agaknya.

Kadang-kadang kita terlalu mahukan anak pandai, lalu kita hulur anak buku, pensil & kertas dan kita nafikan fitrah anak bermain.

Sedangkan dari bermain itulah anak-anak membina asas akademik mereka. Dari bermainlah anak akan belajar komunikasi dan membina keyakinan diri. Dan dari bermainlah daya tumpuan anak dipertingkat.

Dari bermain jugalah kesemua deria mereka berstimulasi dan berintegrasi bersama dengan baik.

Apa kaitan DERIA ini semua dengan akademik?

Eh penting sangat. Deria sentuhan yang baik adalah asas untuk anak kuasai kemahiran motor halus seperti menulis dan mengguna tangan dengan baik.

Deria rasa pula membantu memberi stimulasi awal untuk anak menggunakan mulut untuk bercakap, selain mengelakkan masalah ‘picky eater’ pada anak.

Deria visual dan auditori pula penting untuk memberi tumpuan yang baik semasa dalam kelas dan mengenal huruf, nombor, bentuk serta simbol.

Deria sendi dan kestabilan akan bantu anak-anak menguasai hampir kesemua kemahiran dalam hidup.

TAPI.

Tapi bermain pun perlu ada tujuan. Setiap permainan perlu betul caranya supaya merangsang perkembangan anak-anak.

Seperti yang diajar OT AisyahRozalli, main pun perlu ada 5 target. Antara targetnya adalah supaya anak mahir berkomunikasi, mahir berdikari dan mahir guna tubuh.

Haa! Ajar anak main pun kena ada ilmu tau.

Ya, memang tak dapat dinafikan setiap ibu bapa ada cara didikan yang tersendiri. Tetapi ilmu masih perlu kita cari. Tempoh tumbesaran anak singkat untuk kita cuba-cuba dan buat silap.

Ikut rapat-rapat ikon-ikon keibubapaan ustaz ustazah dan para terapis, supaya kita tak silap mendidik anak.

Sumber: Wawa Shauqi.

 

Published by
Wan Amy