Sekiranya anak bawah setahun demam, dan lambat dirawat, kemungkinan jangkitan kuman diselaput otak boleh berlaku.
Menurut Pakar Kanak-Kanak, Dr Salehuddin Sulaiman, meningitis (jangkitan kuman di selaput otak) antara yang boleh berlaku pada bayi bawah setahun tapi tak disedari oleh ibu bapa. Jika terlewat mendapat rawatan mungkin anak akan mengalami perkembangan yang lewat atau cacat apabila besar.
Hari ni, ada satu kes sedih. Seorang bayi berumur 8 bulan datang dengan masalah ‘terkejut-kejut’ dan mengeras kaki tangan. Hampir 3 bulan berlaku masalah ni. Datang jumpa saya sebab ‘Ustaz dah sahkan tiada masalah makhluk halus’.
Bila korek balik cerita, rupa-rupanya semasa umur 5 bulan, bayi ni pernah mengalami demam panas selama seminggu dan menangis tak berhenti. Dah bawa jumpa doktor di klinik dan juga kecemasan di hospital daerah. Dirawat sebagai demam biasa. Yang lebih menarik, ialah explanation kenapa menangis tak berhenti. Antaranya ialah:
‘maybe bayi lapar’
‘perut kembung la tuh’
Dan yang paling best
‘Saya rasa ini disebabkan oleh gangguan makhluk halus’
Rasa terkedu sekejap dengar cerita parents bayi tu.
Alhamdulillah, demam dan episod menangis tak berhenti tu berhenti sendiri selepas seminggu. Cuma mereka dapati bayi ni kembali lembik tengkuk, kerap ‘terkejut-kejut’, dan tidak memandang kepada muka mereka.
Apa yang sebenarnya terjadi? Jangkitan kuman di selaput otak (meningitis) yang tak dirawat, menyebabkan kerosakan otak. Dan seterusnya menyebabkan sawan, dan perkembangan lewat (dalam kes ni, mengundur ke belakang), buta dan kemungkinan besar akan cacat.
Apa yang saya nak sampaikan sebenarnya? Meningitis ini bukan main-main. Masalahnya, untuk diagnos meningitis tak mudah. Tanda-tanda meningitis selalunya vague, samar-samar. Doktor pun boleh missed diagnosis ini. Terutama kalau terjadi kepada bayi bawah setahun.
Tanda-tanda Meningitis
Tanda-tanda meningitis yang paling common ialah demam dan sawan. Kalau anak anda demam dan terjadi sawan, tolong bawa ke hospital dengan segera.
Ya, memang ada yang lambat bawa ke hospital. Ada gangguan lah. Makhluk halus lah.
Jumpa ustaz dulu, dukun dulu. Tiup-tiup, jampi-jampi dulu.
Kalau nak percaya kepada benda tu juga, fine. Tapi bawa jumpa doktor dulu. Bawa ke hospital dulu. Lepas tu nak jampi, baca, hembus sampai basah kepala budak dengan air liur pun, tafaddhal.
Kalau nak bawa dukun/ustaz datang ke hospital pun, (waktu melawat saja ya) takpe.
Yang penting, make sure bukan jangkitan kuman di otak.
Saya teringat satu kes. Bayi dimasukkan ke wad sebab demam dan sawan. Peringkat awal, dirawat sebab demam sawan (febrile fit). Tapi sawan tu dah berlaku beberapa kali dalam tempoh 2-3 hari sebelum datang ke hospital.
Saya mengesyaki meningitis, dan memohon keizinan untuk membuat CT scan otak dan seterusnya mengambil air tulang belakang. Naturally, parents bayi tersebut memohon keluar wad dengan risiko sendiri (AOR discharge). Kebetulan bayi tersebut telah diberi antibiotik 1-2 dos, dan demam telah kebah. Mereka memberitahu bahawa ustaz kenalan mereka memaklumkan bahawa anak mereka di’ganggu’ dan perlu dirawat.
Selepas sehari pulang ke rumah, saya dimaklumkan bahawa bayi tersebut dibawa kembali ke kecemasan, cuma kali ini, bayi tersebut sudah terbujur kaku.
Tragis, tapi benar.
Tanda lain ialah kalau anak anda demam dan menangis tak berhenti-henti, atau menjadi sangat-sangat meragam (cranky). Kadang-kadang, menangis macam Ahmad Albab. Hanya berhenti bila mata pejam. Pujuk dengan susu, mainan, lagu Ting Tang Ting pun masih menangis. Ini antara tanda yang selalu orang missed. Macam dalam kes yang saya ceritakan dipermulaan post ini.
Antara tanda lain ialah anak tak berapa aktif, lembik dan tak bermaya. Kurang menyusu. Ubun-ubun tiba-tiba menjadi keras. Ini semua tanda yang tak specific.
Untuk kepastian, dapatkan pandangan daripada doktor anda.Meningitis, kalau dirawat awal, insya Allah tidak membawa kesan jangka panjang.
Sumber: Dr Salehuddin Sulaiman