“Jarang Nak Tengok Anak Besar Rapat Dengan Ayah” Rahsianya, Banyakkan Berbual Dengan Anak – Jozlyn

Share

Tak banyak kita tengok keluarga yang betul-betul rapat terutama anak lelaki dan ayahnya. Kalau ada pun jarang-jarang berlaku. Mungkin sesetengah masyarakat kita masih lagi mengamalkan tradisi dimana anak perlu takut dengan ayah atau lebih tepat corak didikan gaya autoritarian.

Namun ada juga yang mengamalkan didikan gaya autoritatif iaitu tegas dalam sesuatu hal namun boleh menjadikan anak-anak sebagai kawan. Rapat dan mesra. Begitulah yang boleh digambarkan bagi keluarga Jozlyn, Johan raja lawak dan Ozlynn wati, pelakon terkenal.

Jozlyn melalui instagramnya berkongsi gambar anak sulung bersama johan meluangkan masa bersama selepas sahur. Ozlyn juga menitipkan beberapa nasihat buat ibu bapa lain agar sentiasa mengawal dan memahami anak-anak agar anak-anak dapat menjadi anak yang soleh.

Lepas sahur awal sementara nak subuh.. lepak..Suka tengok bonding ni.. jarang anak bujang nak melepek kat bapak.. kalau anak perempuan selalu.. tapi betul la.. anak-anak aku sume suka menempel.. pelik betul.. kdg geram.. sb bapak dorg ni seminggu sekali mesti hangkut anak2 tdo bilik aku.. bila aku ckp mane boleh mcm ni.. nanti jadi kebiasaan.. dia akan pelok aku dan terus ckp “ kena share la syg, tgk skrg ni pun mcm cptnya dorg dh besar. Nanti dorg dh kawin tinggal la kita berdua.. haaa masa tu u tgk i, i tgk u..”

Bila fikir balik betul jugak kan.. sape sangka usia semuda ni kami ada anak bujang dan ada 5 org anak dah.. bersyukur sesgt..proses membesarkan anak-anak memerlukan pengorbanan besar ibubapa.

Setiap manusia diberi ujian yg berbeza.. ada org tak ada anak walaupun lama dh kawin, skrg ni kita perlu lihat dari pelbagai aspek dan kena positif.. anak adalah rezeki.. tp bukan senang nak membesarkan anak-anak.. nak mendidik dan membimbing itu juga satu cabaran..

Kami juga pernah melalui fasa yang sukar ..jadi sentiasa bersangka baik pada Allah.. yg penting usaha.. DIA maha mengetahui apa yg terbaik utk kita.. apapun kita sbg ibubapa kena sentiasa doakn yg terbaik utk anak2 kita.. selain jalankan tanggungjwp membesarkan.. pls pantau anak2 kita.. ambil tahu dgn sape dia berkwn.. bergaul.

Kepada mak ayah yang bagi anak-anak hp di bwh umur 18 tahun.. plss pantau.. makesure apa saja boleh detect kat fon korg.. zaman canggih ni sangat menakutkan.. kalau tengok instagram yang dm aku banyak budak bawah umur.. selagi terdaya aku cuba bantu dorang dari segi nasihat.. bagi semangat.. rata-rata yang dm semua bagitahu kurang mendapat perhatian mak ayah.

Aku tidak menyalahkan mana-mana pihak.. tap cukup apa yang aku boleh katakan aku nasihat mereka seperti anak aku sendiri.. akan aku pastikan dorang jadi anak yang baik soleh dan solehah.. dan aku harap korang.. yang ada anak-anak plsss rajin la berbual.. amik tau tentang apa yang anak-anak “RASA”.. bukan ikut “MASA” yang korang ada.. moga yang baik-baik saja untuk keluarga kita semua aamiin.

Asuhan merupakan satu elemen yang merangkumi aspek mendidik, memberi pelajaran dan membesarkan. Manakala mengasuh bererti memberikan pelajaran, pendidikan dan bimbingan dalam konteks memerhati, menjaga serta mengawal perkembangan fizikal, mental, sosial dan emosi. Seterusnya keibubapaan pula adalah cara, gaya, kemahiran dan ketrampilan menjadi ibu bapa. Secara umumnya, gaya asuhan ibu bapa dapat didefinisikan sebagai kaedah atau cara ibu bapa dalam membesarkan anak-anak mereka.

Oleh yang demikian gaya asuhan ibu bapa merupakan salah satu aspek yang penting dalam mempengaruhi kesejahteraan hidup remaja.

Hal ini kerana gaya asuhan ibu bapa mempunyai perkaitan yang kuat dengan pembentukan kendiri remaja termasuklah dari segi pencapaian akademik, cara remaja menyelesaikan masalah, tingkah laku berisiko, kesihatan mental, penghargaan kendiri dan kemurungan (Russell et al., 2010).

Zaman remaja merupakan satu zaman peralihan yang begitu mencabar kerana pada ketika ini adalah merupakan masa remaja untuk mencari identiti dan menilai diri. Remaja dalam pandangan umum ialah satu golongan yang berada pada zaman transisi di antara zaman kanak-kanak dan zaman dewasa. Pada tempoh tersebut, berlaku perkembangan yang pesat dari sudut fizikal, spiritual, daya intelektual, kecenderungan dan kemampuan menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Jenis Gaya Asuhan

Menurut Baumrind (1971), gaya asuhan ibu bapa adalah terbahagi kepada tiga jenis iaitu gaya autoritatif, gaya autoritarian dan gaya permisif.

Gaya Autoritatif

Gaya autoritatif adalah ibu bapa yang mengamalkan ketegasan yang diimbangi dengan kesediaan mendengar pandangan anak-anak, bertoleransi, setiakawan, serta sentiasa melibatkan diri bersama dengan anak-anak. Gaya ini dapat membentuk anak-anak yang berfikiran positif, aktif bersosial, bertanggungjawab dan meningkatkan kompeten dari aspek kognitif. Anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang demokratik cenderung untuk menjadi lebih bertenaga, suka menjelajah, mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi, berdedikasi, dapat mengawal diri dan bersikap positif terhadap rakan sebaya, Baumrind (1989).

Gaya Autoritarian

Gaya autoritarian merupakan ibu bapa yang meletakkan jangkaan tinggi terhadap anak-anak dengan mempraktikkan pendekatan kawalan, hukuman, dan peraturan yang ketat yang tidak membenarkan anak-anak mempertikaikannya. Gaya ini menyebabkan anak-anak cenderung untuk berfikiran negatif, sering memberontak, pendendam, bimbang, cemas, mempunyai konsep kendiri yang rendah dan kurang motivasi untuk berdikari.

Gaya Permisif

Gaya permisif pula merujuk kepada ibu bapa yang mesra, terlalu berlembut dan memenuhi kehendak anak-anak tanpa kawalan. Hal ini akan mengakibatkan anak-anak terlalu bergantung, kurang berdikari dan impulsif. Walaubagaimanapun, anak-anak yang diasuh oleh ibu bapa dengan gaya permisif adalah lebih gembira dan cepat pulih dari sesuatu tekanan atau pun krisis berbanding kanak-kanak yang dibesarkan secara autokratik (Baumrind, 1989).

Sumber: Jozlyn, myhealth portal

Published by
Nik Nurul Fatin Nik Mahmud