Jari Tangan Dan Kaki Bayi Perlu Dijaga Dengan Baik, Elak Kotoran

Share

Haish, geram tengok jari-jemari si kecil yang halus. Tetapi adakah anda tahu cara menjaga jari dan kaki bayi?

Ada tip penjagaan khusus yang perlu anda ketahui. Teruskan membaca perkongsian artikel ini.

Penjagaan jari dan kaki bayi
Bayi yang baru lahir sememangnya mempunyai jari dan kaki yang sangat halus yang memerlukan penjagaan khusus seiring dengan usianya.
Untuk mengekalkan kulit yang lembut dan kuku yang rapi memerlukan perancangan yang betul.

Berikut dikongsikan perkara berkaitan penjagaan khusus jari dan kaki bayi khas buat para ibu bapa sekalian:

Memastikan kuku sentiasa rapi
Sebagai ibu bapa, anda perlu memastikan kuku bayi anda dipotong dengan baik.

Walaupun kuku si kecil mungkin nipis, tetapi hakikatnya ia tajam dan boleh mendatangkan kecederaan kepada mereka.

Oleh sebab si manja tidak mempunyai kawalan motor yang sempurna lagi, maka dia akan cenderung untuk mengerakkan jarinya yang halus dan menggaru diri dalam proses itu.

Kuku bayi tumbuh dengan cepat, maka anda perlu untuk memotongnya sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Berbeza dengan kuku kaki, ia tidaklah begitu tajam dan pertumbuhnya agak lambat, anda cuma perlu memotongnya 1 atau 2 kali sebulan.

Pastikan anda menggunakan pengetip kuku bayi atau gunting khas untuk memotong dan merapikan kuku si manja.

Elakkan daripada memotong terlalu hampir dengan kulit.

Jika tanpa sengaja ketika memotong kuku bayi anda terlihat titisan darah, jangan panik!

Ini kerana si manja akan sembuh dengan cepat. Tetapi jangan pula anda menggigit kuku anak anda, kerana ia boleh menjadi punca jangkitan kepada mereka.

Periksa jari dan kaki bayi dengan kerap
Anda mungkin akan terkejut melihat rambut atau benang yang terkumpul pada jari dan kaki si kecil.

Bayi yang baru lahir, sememangnya cenderung untuk mempunyai genggaman yang kuat – ini aspek normal dalam perkembangan bayi.

Disebabkan faktor itu, anda perlu memeriksa sekitar jari dan kaki setiap kali menukar lampin dan sebaiknya lap tangan mereka dengan kain lap yang bersih.

Jika anda terlihat sebarang luka pada hujung jari, tidak mengapa, ia akan sembuh sendiri.

Tetapi ibu bapa harus berwaspada jika berlakunya sebarang jangkitan seperti kemerahan, bengkak atau rasa panas.

Penggunaan sarung tangan dan kaki
Penggunaan sarung tangan dan kaki pada bulan-bulan pertama selepas dilahirkan merupakan antara cara terbaik menjaga jari dan kaki bayi.

Sarung tangan pastinya dapat memberikan perlindungan kepada bayi daripada menggaru sehingga menyebabkan luka.

Sarung kaki pula boleh memberikan kehangatan dan mengelakkannya daripada kesejukan.

Jika anda sedang menunggu saat melahirkan bayi, pastikan anda memasukkan sepasang sarung tangan dan kaki bayi untuk kegunaan selepas bersalin.

Kuku kaki yang tidak tumbuh
Apa rasanya jika kuku pada bahagian kaki tidak tumbuh dengan elok? Pasti sakit dan rasa tidak selesa, bukan?

Itulah yang mungkin dialami si kecil, cuma malangnya kita tidak memahami kesakitan yang diluahkan mereka.

Bayi turut berisiko untuk mengalami masalah kuku tidak tumbuh dengan elok.

Jadi pastikan anda merapi dan memotong kuku kaki anak anda secara berkala.

Ia sekali gus dapat menghindari masalah kuku yang tidak tumbuh.

Losyen bayi
Kebanyakan ibu bapa tidak menggunakan losyen bayi dan ia adalah pilihan anda.

Jika bayi anda tidak mengalami sebarang masalah kulit kering atau mengelupas pada sekitar kuku jari dan kaki bayi, mungkin anda tidak perlukan losyen.

Tetapi jika anda ingin menggunakan losyen, pilih losyen yang lembut dan sesuai untuk kegunaan bayi.

Sebaiknya, sapukan losyen beberapa minit selepas mandi untuk mengekalkan kelembapan kulit.

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa