Jika Bayi Kerap Batuk & Selesema, Hidung Tersumbat, Buat Urutan Ini. Confirm Bayi Lega

Share

Selesema dan batuk merupakan antara penyakit yang sering dihadapi oleh bayi. Ia disebabkan oleh pelbagai faktor seperti cuaca dan sistem kekebalan tubuhnya yang belum sempurna. 

Walaupun selesema dan batuk dikategorikan sebagai penyakit ringan, namun ibu bapa, jangan sesekali memandang enteng masalah ini, Jika diabaikan, dikhuatiri ia boleh mengganggu keselesaan bayi. Lebih teruk lagi, jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh membawa kepada penyakit yang lebih serius seperti bronkitis dan radang paru-paru atau pneumonia. Jika bayi anda selesema dan batuk, ikuti langkah-langkah berikut.

Langkah 1

Pastikan tangan dibersihkan terlebih dahulu sebelum mahu mengurut bayi. Kuku jari anda juga perlu pendek agar urutan yang menggunakan teknik Vitaflex lebih berkesan. Teknik ini hanya menggunakan jari di mana jari-jari anda akan mengaktifkan titik refleks menggunakan minyak pati. Cas elektrik akan dikeluarkan dan menghantar tenaga melalui laluan neuroelektrik.

Langkah 2 & 2A

Mulakan urutan di bahagian kaki menggunakan teknik Vitaflex bagi sebelah kaki selama satu minit. Golekkan jari anda di titik pernafasan (1sm daripada jari kaki bayi). Ulang langkah yang sama pada sebelah lagi tapak kaki.​

Langkah 3

Urut lembut bahagian dada dalam tempoh setengah minit. Lakukan butterfly massage sehingga ke bahagian bawah perut. Jika bayi selesa, langkah ini boleh diteruskan sehingga 1 minit. Ambil kesempatan ini, untuk bermesra dengan bayi.

Langkah 4

Lakukan urutan lembut bahagian belakang bayi. Jika bayi batuk teruk, lakukan teknik tepukan percussion. Pastikan tangan melengkung dan ibu jari berada pada kedudukan selari dengan jari-jari yang lain. Setelah itu, barulah anda boleh menepuk belakang bayi bagi melonggarkan kahak atau lendir yang ada. Lakukannya dalam masa dua hingga tiga minit. Namun, ia bergantung pada tahap keterukan batuk yang dialami oleh bayi.

Langkah 5

Bagi bayi yang berumur enam bulan ke atas, anda boleh lakukan teknik mengurut di zon T mukanya dengan menggunakan minyak. Manakala bayi yang lebih kecil, anda tidak digalakkan untuk melakukan langkah ini walaupun ia selamat untuknya. Cukuplah sekadar urutan di bahagian tapak kaki,​ dada dan belakang untuk bayi di bawah usia enam bulan.

Jika hidung bayi tersumbat, ulangi langkah-langkah ini setiap 15 hingga 30 minit untuk dua jam. Selepas selesema atau batuk berkurangan, jarakkan kekerapan urutan.

Bahan-bahan penyembuh semula jadi

Bahan-bahan semula jadi berupa pati tumbuh-tumbuhan eksotik sememangnya diketahui umum dapat menjadi penyembuh sesuatu penyakit. Minyak zaitun biasanya digunakan sebagai carrier oil agar ia mudah menyerap pada kulit dan selamat digunakan untuk semua peringkat usia.

Lavender pula sangat baik untuk melegakan saluran sistem pernafasan yang bengkak akibat selesema dan batuk berpanjangan, selain daripada bertindak sebagai penenang tubuh dan minda. Pudina pula dikenal pasti sebagai anti viral yang dapat membantu melegakan masalah pernafasan dengan aroma yang menyegarkan. Maka tidak hairanlah minyak pudina popular dalam kebanyakan produk bagi merawat selesema.

Sementara itu pati lemon bersifat anti virus, sesuai dengan sifatnya sebagai buah sitrus yang boleh melawan jangkitan. Begitu juga dengan keunikan gam arab iaitu tumbuhan khas yang mampu meningkatkan daya tahan tubuh. Di samping bertindak membantu melonggarkan kahak agar bayi mudah memuntahkannya.

Kredit: MajalahPa&Ma

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa