Jika dikira setiap satu, tak terkira banyaknya hutang masa kita dengan anak-anak. Cuma anak kecil mereka belum faham dan tak pandai nak menuntut. Bayangkan kalau setiap hari anak kecil ditinggalkan kepada pengasuh atau taska manakala anak besar bersekolah sampai petang, hanya waktu malamlah peluangnya.
Bagaimanapun bagi ibu ayah waktu malam adalah masa nak berehat setelah seharian penat bekerja sehingga ada yang tertidur dulu daripada anak-anak. Masa ni anak-anak terpaksa bawa diri dan bermain dengan adik, abang atau kakak.
Mungkin ibu bapa tak perasan pun masa ni. Namun bila anak dah besar baru kita tersedar dan ia pasti tak boleh berulang lagi kerana waktu anak kecil hanya sekali sahaja.
Perkongsian yang sangat bermakna dari Sahrol Lagiman sangat bermanfaat dan memberi kesedaran kepada kita yang dah bergelar ibu ayah kerana kesibukan bekerja.
Bukan jarang, tapi selalu kita memarahi mereka apabila terasa penat. Kita memarahi mereka padahal mereka belum benar-benar mengerti kesalahan yang telah dilakukan.
Tetapi, seburuk mana pun kita buat pada anak, mereka akan tetap mendatangi kita dengan senyum kecilnya.Menghibur kita dengan tawa kecilnya, menggenggam tangan kita dengan tangan kecilnya, seolah semuanya baik-baik saja, seolah tak pernah terjadi apa-apa sebelumnya.
Anak suka bercerita untuk kita, meskipun seringkali kita bersikap tidak acuh terhadap mereka dengan kasih sayang.
Kita sentiasa mengatakan bahawa diri kita bekerja keras demi kebahagiaan mereka semua tetapi kenyataannya merekalah yang sentiasa membahagiakan kita diketika penat lelah selesai bertugas.
Kita merasakan bahawa kita bangga dengan menghiburkan kesedihan mereka atau menghapuskan linangan air mata dari pipi-pipi comel mereka. Sebenarnya diri kitalah yang selalu mereka bahagiakan. Anaklah yang menghilangkan kepenatan kita, menghapuskan air mata kesedihan kita.
Percayalah kita terhutang banyak pada anak-anak kita.
Dalam 24 jam, berapa lama kita meluangkan waktu untuk berbicara, mendengar, memeluk, mendakap dan bermain bersama-sama dengan mereka?
Dari anak lahir ke dunia mereka sentiasa ceria, tersenyum manis dan menghormati diri kita..
Tentang anak-anak, sesungguhnya merekalah yang selalu “lebih dewasa” dan “bijaksana” daripada kita. Merekalah yang selalu mengajari dan membimbing kita menjadi manusia yang lebih baik setiap harinya.
Seburuk apapun kita sebagai ibu bapa, mereka selalu bersiap sedia untuk menjadi anak-anak terbaik. Dakaplah anak-anak kita, tataplah mata mereka dengan penuh kasih sayang.
Sumber: Sahrol Lagiman