Jika bayi seusianya membesar dengan pelbagai keletah, Puteri Nur Awlia Afia Azwan pula lebih kerap menangis kerana menahan kesakitan.

Baru comel berusia tiga bulan ini sudah diuji dengan masalah jantung dan sering mengalami sesak nafas, menangis dan tidak boleh berada di tempat panas.

Bapanya, Azwan Mohamed Nazir, 45, berkata, anaknya mula menunjukkan tanda bermasalah jantung ketika berusia dua bulan terutama apabila menangis lebih kerap berbanding bayi lain dan sesak nafas.

Katanya, dia dan isteri Sharina Ezuein Sazali, 35, merujuk Puteri Nur Awlia Afia ke hospital dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, selama 10 hari pada bulan lalu, sebelum jantungnya disahkan mempunyai satu injap.

“Awlia selalu penat dan tekaknya mengeluarkan banyak kahak. Kami fikir ia adalah normal sebelum membuat pemeriksaan dan mendapati jantungnya bengkak.

“Pemeriksaan lanjut di HTJ mendapati jantung anak saya berlubang. Namun, apa yang lebih memeranjatkan lagi apabila doktor memaklumkan jantungnya hanya mempunyai satu injap.

“Menurut doktor, bayi dilahirkan dengan jantung satu injap jarang berlaku dan sudah tentu memberi kesan terhadap sistem pernafasan dan peredaran darah ke seluruh badan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Satria, Senawang, Seremban, baru-baru ini.

Azwan berkata, lubang pada jantung anak bongsu daripada lima beradik itu mungkin akan tertutup dengan sendiri secara perlahan, namun masalah injap perlu diatasi dengan pembedahan.

“Minggu depan saya akan berjumpa pakar jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur untuk perbincangan lanjut dan ada kemungkinan kos pembedahan boleh mencecah RM50,000.

“Saya bimbang tidak mampu menanggungnya kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas persiaran dan tiada pendapatan tetap memandangkan ia hanya bergantung tempahan.

“Sekiranya pembedahan perlu dilakukan segera, mungkin saya tidak sempat untuk mengumpul wang sebanyak itu,” katanya.

Dia lebih bimbang memikirkan perbelanjaan rumah dan empat anak lain berusia enam, sembilan, 11 dan 12 tahun, yang bersekolah.

Bapa itu berharap mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal untuk meringankan beban ditanggung.

Orang ramai yang mahu membantu juga boleh salurkan ke akaun Maybank 514271655386 atau Affin Islamic Bank 105280004378 atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin).

Sumber: Metro