Ibu bapa boleh menuntut pelepasan cukai sebanyak RM2,000 jika mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah yang dihantar ke taman asuhan atau pra-sekolah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), berbanding RM1,000 sebelum ini.
Peruntukan menarik
Pelepasan cukai itu antara peruntukan menarik terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat buat kali pertama, hari ini.
Berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2020
Menurut RUU itu yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pindaan itu berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2020 dan tahun-tahun berikutnya.
Mengikut buku RUU yang diedarkan kepada media hari ini, RUU itu juga menggariskan pelepasan cukai pendapatan hingga RM6,000 diberikan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan bagi penyakit serius yang diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan.
RUU itu dibentang bagi mewujudkan suatu akta untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Jualan 2018, Akta Kewangan 2010 dan Akta Kewangan 2018.
Bacaan kali kedua dijangka dibentangkan
Selain itu, RUU itu juga memasukkan subseksyen baharu iaitu pemberian rebat cukai ke atas levi pelepasan dibayar di bawah Akta Levi Pelepasan 2019 oleh seorang individu yang meninggalkan Malaysia melalui udara untuk menunaikan umrah atau ziarah agama lain.
Perbahasan RUU itu untuk bacaan kali kedua dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini yang berlangsung sehingga 5 Disember depan.
Sumber: Bernama